Showing posts with label Novel. Show all posts
Showing posts with label Novel. Show all posts

Wednesday, 8 February 2017

Iris Di Kala Hujan

Tajuk: Iris Di Kala Hujan

Tajuk asal: Ame No Hi No Iris

Penulis: Takeshi Matsuyama

Muka surat: 272

Sinopsis: 

Kat sini ada kerangka robot. Namanya Iris. Nama rasmi yang didaftar ialah Iris Rain Umbrella. Dia robot pembantu rumah yang dicipta Profesor Umbrella, seorang penyelidik robot.

Asalnya Iris disayangi macam ahli keluarga tuannya dan dia tak pernah ada sebarang masalah dalam hidup. Tapi kenapa segalanya boleh berakhir macam ni? Buku ni akan menceritakan segala-galanya - perkara yang dilihat, didengar, dirasai dan juga permintaan Iris - semuanya diperolah dari ingatan dan data dalam litar mental.

Karya yang 4 kali terpilih dalam Anugerah Novel Dengeki ke-17. Kami persembahkan kepada anda sebuah karya tentang robot menyentuh perasaan.

*Gambar dan sinopsis diambil daripada gempakstarz.com

Ulasan saya:

Iris Rain Umbrella - Robot gadis yang dicipta menyerupai adik profesor Wendy Von Umbrella. Comel dan lincah, Iris disayangi bagaikan ahli keluarga oleh profesor muda itu.

Lilith Sunlight - Robot gadis yang bekerja di tapak pelupusan sampah. Cekal dan keras hati, Lilith ialah sumber kekuatan bagi Volkov.

Volkov Galosh - Bekas robot tentera yang berbadan besar. Walaupun nampak menggerunkan, Volkov memiliki sifat yang prihatin dan ingin melindungi rakan-rakannya.

-----

"Iris, saya sayangkan awak" - Wendy Von Umbrella

Saya jatuh cinta dengan karya ini.

Permulaan cerita walaupun agak perlahan, tetapi cukup untuk membuat saya teruja dan jatuh cinta kepada Iris.

Iris kesayangan profesor Wendy berkhidmat sebagai pembantu rumah di kediaman rumah agam Umbrella. Tugasnya termasuklah memasak, membersihkan rumah, membeli barang di pasar, dan lain-lain lagi. Kehidupannya bersama profesor Umbrella sempurna. Kasih sayang yang diberikan profesor Umbrella kepadanya dibalas kembali dengan rasa cinta dan kasih yang mendalam kepada wanita itu. Pada masa-masa terluang profesor Umbrella, mereka akan menghabiskan masa bersama seperti menonton wayang dan mendapat kuliah daripada profesor.

Hinggalah suatu tragedi buruk menimpa.

Hidup Iris berubah.

Daripada seorang gadis yang sempurna, Iris kini menjadi robot yang hodoh dan terpaksa bekerja di tempat pelupusan.

Di situ, Iris berkenalan dengan Lilith dan Volkov. Mereka kemudian membentuk Kelab Buku Malam. Iris akan membaca buku sementara Lilith dan Volkov menjadi pendengarnya.

"Kami semua menjalankan tugas dengan senyap. Lilith dan Volkov membongkok dan mengutip sisa-sisa tubuh rakan sekerja kami yang berbau minyak tanpa berkata apa-apa." - Iris


Selepas menyaksikan di depan mata sendiri pengakhiran beberapa buah robot di tempat pelupusan, Iris, Lilith dan Volkov merancang untuk melarikan diri dari situ.

"Gembiranya dapat jumpa awak" - Volkov

"Sebab tu tak apa. Awak boleh terus hidup walaupun seorang diri. Kena ada sikit keyakinan diri. Sebab awak - robot yang disayangi hingga akhir..." - Lilith

"Tapi profesor, saya pun suka hari hujan juga. Sebab kali pertama jumpa profesor masa hari hujan juga" - Iris, surat kepada profesor

-----

Walaupun novel ini ialah terjemahan daripada bahasa Jepun, saya dapat merasai unsur-unsur perasaan di dalam novel dengan jelas. Tahniah saya ucapkan kepada sesiapa yang bertanggungjawab menterjemah Ame no Hi No Iris ke bahasa Melayu.

Jalan cerita novel ini ini sangat menarik. Langsung tiada pembaziran babak di mana-mana naratif. Semuanya saling berkait langsung atau secara tidak langsung. Tema yang diutarakan membuat kita terfikir akan erti kewujudan kita. Dan, adakah hanya 'manusia' sahaja yang layak menggunakan perkataan 'wujud' dan 'bebas'? Bagaimana pula dengan robot? Adakah mereka sekadar alatan yang dicipta sahaja? Tidak layakkah mereka mendapat layanan seperti manusia?

Pada saya, kekuatan cerita ini banyak bergantung pada perasaan Iris kepada profesor Umbrella dan persahabatan Iris-Lilith-Volkov. Kerana rasa kasihnya pada profesor, Iris terus berusaha hingga ke saat akhir. Dan kerana persahabatan yang dihulur Lilith dan Volkov kepadanya, Iris menemui cahaya baru dalam hidupnya. Kewujudan Lilith dan Volkov berjaya menarik Iris keluar daripada kesedihan dan kegelapan.

11/10 bintang saya berikan untuk novel ini. :D

Tuesday, 3 January 2017

Teroris: Aku Bukan Teroris


Tajuk: Teroris: Aku Bukan Teroris

Penulis: Syauqie M.K.

Muka surat: 528

Sinopsis:  

Filipina (2010) USD18 juta saham dijual…..
Thailand (2010) USD55 juta hartanah dilupuskan…..
Indonesia (2010) USD35 juta aset dicairkan…..
– Financial Intelligence Unit, Interpol

– – –

SAFWAN HAMDAN – seorang pegawai kanan Bank Kebangsaan Malaysia, terjebak dengan jemaah rahsia yang menjanjikan kebangkitan dan kembalinya kegemilangan Islam di bumi Nusantara. Namun, apabila hampir menjadi korban dalam suatu insiden letupan terburuk di Jakarta, Safwan mulai sangsi dengan perjuangan jemaah itu. Dia nekad mencari kebenaran.

Sekeping nota ringkas menjadi kunci segala persoalan.

Kemunculan ARISYA secara tiba-tiba di dalam hidupnya menjadi tanda-tanya.

Sementara itu satu persatu penama di dalam nota misteri itu menjadi sasaran pembunuh upahan di Jakarta, Bangkok dan Kuala Lumpur .

Siapakah dalang di belakang tabir jemaah misteri itu??
Safwan perlu merungkai satu konspirasi kompleks dan berbahaya yang bakal menggegar pelosok Nusantara.

**Sinopsis kulit belakang buku daripada bukuso.com
**Gambar daripada bukuso.com

Ulasan saya: 

Jalan cerita dipenuhi dengan saspens dan misteri. Siapa kawan dan siapa musuh, semuanya samar-samar terlihat.

-----

Safwan Hamdan- watak utama. Bekerja sebagai pegawai kanan di Bank Kebangsaan Malaysia dan terjebak dalam satu kumpulan jemaah yang menamakan diri mereka Jemaah Nusantara.

Arisya - Gadis misteri yang muncul dalam hidup Safwan Hamdan. Bijak dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri, Arisya bagaikan sinaran yang menerangi jalan gelap yang dilalui Safwan, menariknya keluar dari segala kekusutan.

DSP Hakim - Seorang yang sangat dedikasi dalam tugasanya. Terlalu mempercayai orang hingga akhirnya kepercayaan itu dibayar dengan nyawanya sendiri.

Datuk Khaled - Timbalan Gabenor I Bank Kebangsaan Malaysia dan juga salah seorang pemimpin dalam Jemaah Nusantara. Dendam lama yang tersimpan di hati membuatnya sanggup memanipulasi Jemaah Nusantara demi kepentingan peribadinya.

Shamsul Bahari - Anak angkat Datuk Khaled. Licik dan memiliki agenda yang tersendiri.

Kamal - Apabila jihad disalah tafsirkan, manusia yang bijak juga boleh hilang pertimbangan dan kewarasan akal.

-----

Ini bukan kali pertama saya membaca cerita bertemakan 'Teroris'.

Namun, cerita Teroris yang ini jauh berbeza dengan cerita Teroris yang saya pernah baca dahulu.

Kekuatan cerita ini bergantung banyak kepada plot yang kompleks dan jalan cerita yang lain daripada yang lain. Karakter setiap watak, walaupun menyerlah dan memiliki keperibadian masing-masing, masih agak terikat dengan plot. Walaupun begitu, saya sangat menggemari watak DSP Hakim. Kecekalan dan kesabarannya dalam menjejaki JN amat saya kagumi. Kematiannya di penghujung cerita sangat memberi kesan kepada mood saya. Mungkin kerana saya sudah lihat watak ini bersusah-payah mengekori ahli-ahli Jemaah Nusantara sejak awal cerita

Gaya penulisan Tuan penulis juga sangat smooth dan mudah difahami. Tuan penulis membuat kajian yang menyeluruh untuk plot di dalam cerita. Dan sebagai pembaca, saya mendapat banyak info dan pengetahuan baru ketika membaca naskhah yang sungguh berkualiti ini. Syabas kepada Tuan penulis! Tuan telah menambah seorang lagi peminat tegar novel Tuan.

Akhir reviu, saya menyukai novel ini. Harapan saya ialah melihat novel ini dibaca oleh lebih ramai orang dan seterusnya mendapat adaptasi filem agar saya boleh lihat DSP Hakim menunjukkan aksi-aksi yang hebat di panggung wayang.

11/10 bintang.
 
-Farhanah Atiqah

Monday, 4 January 2016

Lengloi



Tajuk: Lengloi

Penulis: Maria Kajiwa

Muka Surat: 496

Sinopsis: 

Seorang demi seorang cuba membuka perniagaan di Lot 55, sayangnya semua berhadapan dengan gangguan yang menakutkan. Seorang demi seorang mati dalam keadaan tragis menjadikan kedai di Lot 55 itu semakin digeruni dan dikatakan berpuaka. Semuanya tewas di tangan Lengloi. Kehilangan Suzy juga langsung tidak dapat dikesan. Siapakah yang dipanggil Lengloi? Dari mana asalnya dan kenapa dia menghuni Lot 55? Apa yang dimahunya? Ke mana Suzy menghilang?

“Kematian seseorang manusia itu tak dapat dilewatkan atau dicepatkan walau sesaat. Apabila sampai masanya, tercabutlah roh dari jasad. Cara sahaja yang berbeza.” – PAK CIK KASIM

“Saya akan cari jalan. Saya mahu bomoh bunuh itu hantu.” LIM

“Gua cinta lu sampei gua mati.” – SUZY


*sinopsis diambil daripada bukuprima.com.my

Ulasan saya:

Lengloi ialah novel pertama novelis Maria Kajiwa yang saya baca.

Garapan ceritanya yang kemas, teliti, dan penuh dengan info-info berkaitan kehidupan masyarakat sekeliling menunjukkan yang penulis membuat kajian yang mendalam berkenaan adat resam dan pantang larang sesuatu kaum. Watak-watak yang diperkenalkan dalam cerita ini juga daripada pelbagai bangsa, sesuatu yang jarang saya lihat di dalam novel Melayu.

Pada saya, apa yang menyokong cerita ini dengan kukuh ialah persahabatan di antara kaum yang pelbagai seperti persahabatan di antara keluarga Muthu, Lim, dan Pak Cik Kassim. Walaupun akhirnya salah seorang daripada mereka pergi, persahabatan ini tetap berterusan. Saya benar-benar terharu dengan apa yang dilakukan oleh Lim untuk ahli keluarga sahabatnya.

Selain itu, penulis juga berjaya menyelami emosi setiap watak dengan baik. Saya terkesima dengan kedalaman emosi setiap watak yang ditunjukkan. Karakter watak yang berbeza ragam dan sikap membuatkan watak itu hidup dan tidak kelihatan seperti watak 2 dimensi.

Cara misteri di dalam cerita ini dileraikan juga menarik, walaupun saya sudah dapat mengagak apa yang sebenarnya telah menimpa Suzy.

Bintang: 10/10

Sumber gambar: bukuprima.com.my

Thursday, 17 September 2015

Nota


Tajuk: Nota

Penulis: Shaz Johar

Muka surat: 300

Sinopsis: 
“OK. Siapa dalam dunia ni yang percaya cakap orang gila?” – Rekha.

Dalam menghasilkan novelnya yang kedua, Ray cuba menyelami kisah hidup seorang wanita yang telah dituduh membunuh penculik anaknya dengan kejam. Kata Rekha, sewaktu polis tiba di tempat kejadian, wanita itu didapati sedang memegang tukul besi manakala baju dan mukanya berlumuran darah. Darah terpercik hingga ke siling, DNA mangsa ada di mana-mana tetapi tubuh mangsa hilang tanpa dapat dikesan. Ray telah diberikan dengan beberapa siri nota yang ditulis oleh wanita itu sendiri untuk mengetahui kisahnya yang sebenar. Tugas Ray, dia hanya perlu membaca nota itu hingga sampai ke penghujung.

*sinopsis diambil daripada fixi.com.my

P/S: Berhati-hati dengan spoiler!
 
Ulasan saya: Jalan cerita sarat dengan persoalan. Sampai akhir saya tidak pasti siapa sebenarnya yang benar-benar gila. Mungkinkah Intan tidak pernah gila? Mungkinkah dia yang bunuh Iskandar lepas itu buang mayat dan pura-pura tidak ingat apa-apa? Atau mungkin juga sebab dia kurang waras, oleh itu dia tulis semua nota palsu untuk membela dirinya, agar dia tidak masuk penjara?

Dan akhir sekali apabila diperkenalkan dengan watak Datin Rusmim, makinlah saya tertanya-tanya. Rusmim=RUSM1M?. RUSM1M bukan Vin punya ke?

Kesimpulannya, saya keliru.

Tapi kekeliruan ini saya terima dengan hati terbuka.

Sebabnya, saya bebas mencipta teori sendiri dan menyambungkan kembali cebisan-cebisan cerita.

Dan ini teori saya:

1. Melissa ialah orang yang selamatkan Intan dari bunuh diri.
2. Sebab benci sangat dengan suami dia, Intan pun bunuh suami dia.
3. Lepas tu dia culik anak dia dan serahkan pada Melissa untuk dijaga. Dia tuduh Iskandar culik anak dia supaya Iskandar kena tangkap. Iskandar pula dia bunuh dan tanam bawah pokok pisang. Lepas tu dia kerat lidah sendiri dan pura-pura jadi gila.
4. Intan pertama kali jumpa Dina di rumah sakit mental. Dina perasan yang Intan tu isteri bekas majikannya, lalu dia pun nak balas dendam. Sebab tak boleh buktikan yang Dina tu jahat, Sofia pun tulislah cerita tu, kaitkan nama Dina dengan Iskandar.

Setelah mencipta teori ini, kekeliruan saya pun bertambah-tambah lagi.

Apapun, 9 bintang untuk novel ini sebab berjaya 'mindfuck' saya.

Bintang: 9/10

Sumber gambar: fixi.com.my

Thursday, 27 August 2015

Buku-buku Di Rak Saya

Sudah lama rasanya saya tidak menulis apa-apa di blog ini.

Saya terlalu malas, oleh itu, untuk post kali ini, saya cuma memaparkan sahaja gambar buku-buku yang ada di rak saya, dan keadaan rak saya yang sedang berada dalam proses pengemasan.










Buku-buku saya:


Novel-novel terbitan Fixi. Saya paling suka Romantis dan Badut. Kedua-duanya ditulis oleh penulis dari Indonesia dan diterjemahkan serta dijual di Malaysia oleh Fixi. Saya juga menyukai novel Nota dan Asrama terbitan mereka. Ngeri dan Mangsa saya belum lagi baca. Patung pula...aneh dan susah untuk saya hadam jalan ceritanya. Paranormal tidak seperti apa yang saya fikirkan. Bisik pula, terlalu klise.

Ya, saya peminat novel seram.

Novel-novel Inggeris yang dialih bahasa oleh Fixi.

Ah...ya. Saya baca Twilight. Dan saya pernah menyukai Bella dan Edward. Please don't judge me!

Novel-novel triler tulisan Ramlee Awang Murshid


Sebahagian novel triler dan seram.

Novel-novel cinta. Belum ada lagi yang saya habis baca.

Novel-novel cinta...lagi...


Adakah anda juga ingin menjadi penulis? ; )


Batang Gembira belum habis baca lagi. Teknik pengolahan ayat yang aneh membuatkan saya sukar menghadam buku ini. Bedtime Stories Sentap pun tak habis baca juga.

Saya sukakan ilustrasi di dalam kedua-dua buku ini

Ilustrasi hadapan novel-novel ini sungguh comel!

Siri kegemaran saya. Sebab itu beli 2 set.

Gadis yang menjadi inspirasi saya. Yang tengah-tengah ialah hadiah daripada Hanan kerana dia tahu saya menyukai Anne Frank.





Divergent, okey. Insurgent, bolehlah.. Allegiant? Masuk bab 2 terus tutup buku.



Saya belum lagi dapat cari buku ketiga siri Ashes iaitu Monsters.





The Fault in Our Stars...sob sob



Matilda <3 <3 <3

Siri buku kanak-kanak kegemaran saya. : )

Cukuplah dengan The Infernal Devices. Saya tidak bercadang untuk membeli The Mortal Instruments.


Siri manga kegemaran saya, Magis Manis Chocolate (Chocolate no Mahou) oleh Rino Mizuho.

Siri pendidikan kanak-kanak yang saya suka.



Saya sayang Kak Xanseviera! I love Next Station! >.<

Komik oleh Kaoru, pelukis komik dari Malaysia.

Juga oleh Kaoru. Tapi yang ini novel grafik lama beliau.

Wasabi is the best! Tahniah KEITH!



Manga oleh Washio Mie.


Manga oleh Ozaki Ira.


Siri manga Katekyo Hitman Reborn. Keluaran yang selebihnya saya tidak dapat jumpa di kedai buku.

Yang ini tidak payah dicakap namanya. Semua orang kenal.



Sherlock Holmes versi Bahasa Melayu.




Haha. Novel cinta.


Hadiah hari lahir ke-22 daripada bestie, Cynthia. I love you!








хахаха :D

Dan di bawah ini ialah gambar-gambar yang saya juga tidak tahu mahu kategorikan sebagai apa.

Bergurau saja!

Gambar-gambar di bawah ini ialah isi-isi novel grafik dari Malaysia.

Penulis/Pelukis: Kaoru




Penulis/Pelukis: Saya sudah lupa. Tempat pertama dalam kompilasi novel grafik Bakat Baru Komik Malaysia 2005.


Penulis/Pelukis: KEITH. Novel grafik WASABI.



Penulis/Pelukis: Stanley G. Novel grafik Student King.


Rak buku yang sudah dikemas:


Dan...


Hahahahahahahaha.

-.-''


Setakat ini sahaja entri untuk kali ini.

Terima kasih kerana singgah dan membaca. : )

-Farhanah Atiqah