Wednesday, 8 February 2017

Iris Di Kala Hujan

Tajuk: Iris Di Kala Hujan

Tajuk asal: Ame No Hi No Iris

Penulis: Takeshi Matsuyama

Muka surat: 272

Sinopsis: 

Kat sini ada kerangka robot. Namanya Iris. Nama rasmi yang didaftar ialah Iris Rain Umbrella. Dia robot pembantu rumah yang dicipta Profesor Umbrella, seorang penyelidik robot.

Asalnya Iris disayangi macam ahli keluarga tuannya dan dia tak pernah ada sebarang masalah dalam hidup. Tapi kenapa segalanya boleh berakhir macam ni? Buku ni akan menceritakan segala-galanya - perkara yang dilihat, didengar, dirasai dan juga permintaan Iris - semuanya diperolah dari ingatan dan data dalam litar mental.

Karya yang 4 kali terpilih dalam Anugerah Novel Dengeki ke-17. Kami persembahkan kepada anda sebuah karya tentang robot menyentuh perasaan.

*Gambar dan sinopsis diambil daripada gempakstarz.com

Ulasan saya:

Iris Rain Umbrella - Robot gadis yang dicipta menyerupai adik profesor Wendy Von Umbrella. Comel dan lincah, Iris disayangi bagaikan ahli keluarga oleh profesor muda itu.

Lilith Sunlight - Robot gadis yang bekerja di tapak pelupusan sampah. Cekal dan keras hati, Lilith ialah sumber kekuatan bagi Volkov.

Volkov Galosh - Bekas robot tentera yang berbadan besar. Walaupun nampak menggerunkan, Volkov memiliki sifat yang prihatin dan ingin melindungi rakan-rakannya.

-----

"Iris, saya sayangkan awak" - Wendy Von Umbrella

Saya jatuh cinta dengan karya ini.

Permulaan cerita walaupun agak perlahan, tetapi cukup untuk membuat saya teruja dan jatuh cinta kepada Iris.

Iris kesayangan profesor Wendy berkhidmat sebagai pembantu rumah di kediaman rumah agam Umbrella. Tugasnya termasuklah memasak, membersihkan rumah, membeli barang di pasar, dan lain-lain lagi. Kehidupannya bersama profesor Umbrella sempurna. Kasih sayang yang diberikan profesor Umbrella kepadanya dibalas kembali dengan rasa cinta dan kasih yang mendalam kepada wanita itu. Pada masa-masa terluang profesor Umbrella, mereka akan menghabiskan masa bersama seperti menonton wayang dan mendapat kuliah daripada profesor.

Hinggalah suatu tragedi buruk menimpa.

Hidup Iris berubah.

Daripada seorang gadis yang sempurna, Iris kini menjadi robot yang hodoh dan terpaksa bekerja di tempat pelupusan.

Di situ, Iris berkenalan dengan Lilith dan Volkov. Mereka kemudian membentuk Kelab Buku Malam. Iris akan membaca buku sementara Lilith dan Volkov menjadi pendengarnya.

"Kami semua menjalankan tugas dengan senyap. Lilith dan Volkov membongkok dan mengutip sisa-sisa tubuh rakan sekerja kami yang berbau minyak tanpa berkata apa-apa." - Iris


Selepas menyaksikan di depan mata sendiri pengakhiran beberapa buah robot di tempat pelupusan, Iris, Lilith dan Volkov merancang untuk melarikan diri dari situ.

"Gembiranya dapat jumpa awak" - Volkov

"Sebab tu tak apa. Awak boleh terus hidup walaupun seorang diri. Kena ada sikit keyakinan diri. Sebab awak - robot yang disayangi hingga akhir..." - Lilith

"Tapi profesor, saya pun suka hari hujan juga. Sebab kali pertama jumpa profesor masa hari hujan juga" - Iris, surat kepada profesor

-----

Walaupun novel ini ialah terjemahan daripada bahasa Jepun, saya dapat merasai unsur-unsur perasaan di dalam novel dengan jelas. Tahniah saya ucapkan kepada sesiapa yang bertanggungjawab menterjemah Ame no Hi No Iris ke bahasa Melayu.

Jalan cerita novel ini ini sangat menarik. Langsung tiada pembaziran babak di mana-mana naratif. Semuanya saling berkait langsung atau secara tidak langsung. Tema yang diutarakan membuat kita terfikir akan erti kewujudan kita. Dan, adakah hanya 'manusia' sahaja yang layak menggunakan perkataan 'wujud' dan 'bebas'? Bagaimana pula dengan robot? Adakah mereka sekadar alatan yang dicipta sahaja? Tidak layakkah mereka mendapat layanan seperti manusia?

Pada saya, kekuatan cerita ini banyak bergantung pada perasaan Iris kepada profesor Umbrella dan persahabatan Iris-Lilith-Volkov. Kerana rasa kasihnya pada profesor, Iris terus berusaha hingga ke saat akhir. Dan kerana persahabatan yang dihulur Lilith dan Volkov kepadanya, Iris menemui cahaya baru dalam hidupnya. Kewujudan Lilith dan Volkov berjaya menarik Iris keluar daripada kesedihan dan kegelapan.

11/10 bintang saya berikan untuk novel ini. :D

No comments:

Post a Comment