Showing posts with label Certot. Show all posts
Showing posts with label Certot. Show all posts

Saturday, 28 November 2015

M

“A..B..C…”

Satu langkah, dua langkah, tiga langkah.

“D..E..F…”

Tiga langkah, empat langkah, lima langkah.

Malik yang mendengar bunyi tapak kaki tersebut menggeletar ketakutan di bawah katil. Sebentar tadi dia mendengar bunyi kaca pecah di tingkat bawah. Dia yang sedang mandi di tandas sebelah lintang-pukang lari dalam keadaan telanjang lalu masuk bersembunyi di biliknya.

“G..H..I..”

Bunyi tapak kaki tersebut berhenti.

Krak! Pintu bilik dikuak.

“J..K..L..”

Pemilik tapak kaki tadi melangkah masuk ke dalam bilik.

“M…untuk makan…” ujarnya kemudian ketawa terkekeh-kekeh.

Dari bawah katil, Malik melihat kaki itu melangkah ke almari. Bunyi almari dibuka dan ditutup jelas kedengaran.

“M untuk… M untuk…” Kini pemilik kaki itu mendekati katil Malik. Langkahannya terhenti. Malik menahan nafas lalu menekup mulut.

Pemilik kaki itu berlutut lalu menjengukkan kepala ke bawah katil. Matanya memandang Malik.

“M untuk…Malik?” soalnya sambil menyeringai. Pisau di tangannya kini berada di hadapan muka.

Malik menjerit ketakutan. Kakinya menendang muka pemilik kaki itu sehingga pisau di tangan tertusuk ke wajah.

Pemilik kaki tersebut menjerit kesakitan. Malik lantas mengengsot keluar daripada bawah katil.

“Warggh!!!!” jerit Malik sambil berlari keluar dari biliknya.

*****

Ending dia?” Malik menyoal.

“Itulah ending dia,” jawabku.

“Itu je?”

“Ya.”

“Tak guna. Tulis ending dia baik-baiklah woi!”

-Farhanah Atiqah

Aku Sebatang Pen

Aku sebatang pen berjenama Kilometrico. Aku dilahirkan di sebuah kilang di Selangor. Badanku berwarna hitam, sama seperti dakwatku.

Aku kemudian dimasukkan ke dalam kotak bersama rakan-rakanku yang lain. Kami dihantar ke sebuah kedai alat tulis di Terengganu. Selepas dikeluarkan dari kotak, aku dan rakan-rakanku disusun di atas rak yang menempatkan pelbagai jenis pen jenama lain. Aku sempat berkenal-kenalan dengan mereka semua.

Dua hari kemudian, seorang remaja lelaki datang ke kedai tersebut. Dia membelek-belek aku dan rakan-rakanku yang ada di atas rak. Kemudian, dia memutuskan untuk membeliku.

Setibanya di rumah, dia memasukkan aku ke dalam kotak pensilnya. Aku hanya digunakan ketika dia mahu mencatat nota atau membuat kerja sekolah.

Suatu hari, tuanku membeli sebatang pen baru yang cantik. Dia memberikan aku kepada adiknya yang masih bersekolah rendah.

Adiknya seorang yang cuai. Dia selalu meletak aku di merata-rata tempat hinggalah suatu hari dia terlupa mengeluarkan aku daripada poket seluarnya. Aku dicuci bersama-sama pakaian-pakaian lain di dalam mesin basuh.

Selepas ibunya mengeluarkan aku dari dalam mesin basuh, ibunya memberi aku kepada tuan aku yang mula-mula kembali. Namun begitu, dakwatku sudah pun kering. Aku akhirnya dibuang ke dalam tong sampah.

Tamatlah riwayat aku sebagai sebatang pen.

-Farhanah Atiqah
~Ditulis ketika sedang bosan. -.-

Saturday, 25 July 2015

Pakar


“Aku nak jadi pakar bedah.”
          
Kata-kata Akim menyebabkan Kamil tercekik. Segera dia meneguk air untuk membantunya menelan dodol.
           
“Pakar bedah? Subjek Sains pun kau tak lepas…” ejek Kamil.
            
Akim naik geram.
           
“Apa yang perlu ialah latihan! Doktor kat TV cakap, practice makes perfect!”
            
“Suka hati kaulah. Aku nak blah ni. Bye…” Kamil menepuk-nepuk bahu Akim sebelum melangkah pergi.

******************************************
           
“Mama! Dada Mika yang koyak dah berjahit balik!” Ana menunjukkan anak patung beruangnya pada mama.
          
“Eh, siapa yang jahit balik Mika ni?” soal mama.
           
Dari jauh, Akim tersenyum memerhatikan mama dan adiknya.

******************************************
             
“Alamak, seluar aku koyaklah!” Zahid menoleh ke belakang. Seluarnya koyak di bahagian punggung.
             
“Wah, nampak seluar dalam kau!” komen Khairul.
             
“Apa nak buat ni?”
             
“Bawa sini seluar kau. Aku jahitkan,” Akim menawarkan.
           
Zahid membuka seluar dan memberinya pada Akim.
            
Set jarum dan benang dikeluarkan. Akim menjahit dengan pantas. Beberapa saat kemudian, Akim memulangkan seluar itu pada Zahid kembali.
            
“Wah, tak nampak pun kesan jahitannya,” puji Zahid.
         
“Memang pakarlah kau ni…”
            
“Ya, pakar jahit!”
             
Beberapa orang pelajar lelaki yang lain merapati mereka bertiga.
             
“Wah…pakar jahit rupanya kau ni Akim.”

Akim terkebil-kebil.

“Pakar jahit Akim!”

“Hidup Akim!”

 Akim tidak tahu sama ada dia harus berbangga atau tidak.

-oleh Farhanah Atiqah
                         

Nota



“Tolong aku.”
Berkerut dahi Hafiz membaca nota yang diselit bawah pintu rumahnya. Menyangka nota itu cuma mainan, Hafiz membuang nota tersebut.
*****
 “Selamatkan aku.”
Sekali lagi sekeping nota diselit bawah pintu rumah. Dan sekali lagi, Hafiz membuangnya.
*****
Malam keesokan, Hafiz duduk di balkoni apartmen.
Tatkala melihat satu tubuh hitam menghampiri, pantas Hafiz berdiri.
“Jangan dekat!”
 Namun, pemilik tubuh hitam itu makin merapati.
Tanpa berfikir, Hafiz memanjat balkoni lalu melompat ke bawah.
*****
 Dissociative personality disorder…” doktor itu menggumam. Hafiz yang sedang menulis sesuatu di atas cadar, dihampiri. “Nasib baik awak cuma jatuh dari tingkat 2.”

-oleh Farhanah Atiqah 
~kerana saya ada terlalu banyak masa lapang... -.-