Showing posts with label Dari Hati. Show all posts
Showing posts with label Dari Hati. Show all posts

Thursday, 25 January 2018

Azam Baru

Azam baru.

Dua patah perkataan yang biasa didengar pada awal tahun.

Seperti anda semua yang punya azam baru untuk tahun 2018, saya juga ada azam baru saya sendiri.

Azam saya ialah mencari pekerjaan, kerana saya telah pun menamatkan pengajian sarjana saya semester ini.

Dalam masa yang sama, saya juga ada azam lain; baca lebih banyak buku, tulis banyak cerita yang menarik, habiskan tulis cerita yang dah ditulis, dan kurangkan makan. :D

Untuk pengetahuan, cerita Takdir Yang Mengikat itu saya dah tukar namanya ke Irtihal.

Saya juga ada tulis beberapa cerita baru. Saya letakkan di Wattpad dan Portal Ilham.

Saya turut merancang untuk meletakkan ia di dalam blog ini.

Cerita Perjanjian tu saya tukar namanya ke Agnieszka.

Jadi buat Takdir Yang Mengikat dan Perjanjian, saya akan muatnaik kembali ceritanya ke blog ini dengan tajuk baru; Irtihal dan Agnieszka.

Selamat membaca dan walaupun sudah terlambat, saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada rakan-rakan yang sudi singgah ke blog ini.

Terima kasih.

-Farhanah Atiqah

Sunday, 23 October 2016

Saya dan Perjanjian

Dahulu saya pernah menulis satu cerita pendek yang bertajuk ‘Perjanjian’.

Ia mengisahkan seorang lelaki yang mengikat perjanjian dengan seseorang yang mempunyai kuasa untuk memakbulkan sebarang hajat di hati.

Saya tulis cerita pendek ini di kelas Pemikiran Kritis dan Kreatif. Ketika itu saya sedang bosan.

Selepas kelas berakhir, saya kembali ke bilik dan mula menaip cerita yang saya tulis tadi.

Orang pertama yang baca cerita tersebut ialah Cynthia, sahabat baik kesayangan saya.

Cynthia memuji cerita yang saya tulis, dan memberitahu yang saya ada bakat.

Saya gembira.

Jadi saya pun muatnaik cerita tersebut dalam akaun saya di FictionPress.

Tidak ramai yang baca cerita saya.

Saya juga muatnaik cerita itu di blog saya.

Tidak ramai juga yang baca.

Kemudian saya menemui portal Ilham Karangkraf.

Saya muatnaik cerpen tersebut di portal Ilham.

Hasilnya sungguh mengejutkan.

Cerpen saya dibaca oleh ramai orang. Dan ia turut diletakkan dalam Pilihan Editor untuk tempoh masa yang tertentu.

Saya kemudian bercadang untuk mengembangkan lagi cerita tersebut.

Saya menulis 3 bab selepas itu, untuk melihat reaksi pembaca.

Tidak banyak reaksi.

Jadi saya padamkan cerita tersebut daripada portal Ilham.

Tidak lama kemudian, saya melihat iklan daripada satu rumah penerbitan.

Mereka mahukan cerpen untuk dimuatkan dalam antologi mereka.

Jadi saya pun memperbaiki cerpen Perjanjian saya.

Kemudian saya email cerpen itu kepada mereka.

Dan, pada 7 Oktober 2016, ketika saya membuka akaun email saya, saya menerima mesej yang cerpen saya akan diterbitkan bersama-sama cerpen penulis lain di dalam satu buku antologi cerpen yang bertajuk BAYANG.

Saya menjerit kegembiraan.

Saya menelefon ayah dan ibu saya dan memaklumkan khabar ini kepada mereka. Mereka turut gembira mendengarnya.

Hingga hari ini, saya masih tidak percaya yang cerpen itu akan diterbitkan.

Terima kasih Tuan Khairy Tajudin kerana memberikan saya peluang ini.

Jutaan terima kasih kepada Cynthia kerana telah menjadi pembaca setia cerita saya selama ini.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu dan bapa saya yang menjadi sumber kekuatan saya untuk terus menulis.

Saya bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat rezeki penulisan yang diberi. Insha Allah saya akan terus berkarya untuk membawakan lebih banyak cerita-cerita menarik dan lain daripada yang lain kepada pembaca semua. 

Nantikan kemunculan antologi cerpen BAYANG daripada Khairy Tajudin Resources.

Terima kasih.

Sunday, 3 August 2014

Membaca: Suka atau Terpaksa?

Kebelakangan ini, saya menyedari yang saya kurang gembira ketika membaca buku.

Bila saya fikirkan kembali punca kepada ketidakgembiraan tersebut, saya mendapati yang ia berpunca daripada pemikiran saya sendiri.

Dalam entri yang sebelum ini saya ada memberitahu yang tahun 2014 ini, matlamat saya ialah untuk membaca 40 buah buku dalam setahun. Setakat ini, saya telah pun membaca 27 buah buku. Saya perlu membaca 13 buah buku lagi untuk mencapai sasaran saya. Namun, seperti yang saya katakan sebentar tadi, saya langsung tidak gembira ketika membaca buku. Saya perasan keadaan ini sudah berlanjutan hampir dua bulan. Saya benar-benar tidak menikmati buku yang saya baca. 

Saya tahu mengapa ini berlaku.

Saya terlalu obses ingin menghabiskan pembacaan saya secepat mungkin agar saya boleh menandakan buku itu sebagai 'Read' di Goodreads. Saya memaksa diri untuk membaca buku walaupun hati saya tidak mahu membaca buku. Dalam kepala saya, kata-kata ini sentiasa berputar, "Kena habiskan baca buku." "Jangan baca artikel di internet, kena baca buku", dan banyak lagi. Situasi dan tekanan ini membuatkan membaca yang dahulunya merupakan salah satu hobi dan salah satu cara untuk saya merehatkan diri, bertukar menjadi bebanan dan tugas yang perlu dilakukan. Ini membuatkan saya tertekan dan menjadi pembaca yang tidak membaca untuk menikmati jalan cerita, namun membaca untuk menamatkan buku.

Setelah berfikir, saya mengambil keputusan untuk menamatkan Reading Challenge saya di Goodreads. Saya mengaku yang Reading Challenge ialah sesuatu yang sangat baik untuk memotivasikan kita untuk membaca lebih banyak buku. Namun saya rasa ia sudah tidak berapa sesuai untuk orang seperti saya. Saya ingin membaca dengan bebas seperti dahulu.

Memikirkan yang saya akan men'delete' Reading Challenge saya membuat saya rasa ingin menangis.


Ia perlu dilakukan. Saya mungkin rasa sedih sekarang. Namun dalam jangka masa panjang, ia baik untuk kesihatan mental saya.



Untuk memudahkan saya mengetahui berapa banyak buku yang saya baca tahun ini, saya meletakkan buku-buku yang saya baca dalam Shelf  malaysia-membaca-2014.

Tiba-tiba saya rasa gembira dan lega.

Jangan tanya, saya juga tak tahu kenapa saya masukkan gambar ini.

Sebelum saya menamatkan entri kali ini, saya ingin berkongsi salah satu daripada petikan kegemaran saya.

"No. I can survive well enough on my own— if given the proper reading material."- Sarah J. Maas, Throne of Glass

Sumber gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lugia

Thursday, 10 July 2014

Sebuah Buku Di Rak Saya


Gambar di atas ialah rak-rak buku saya.

Buku-buku di dalam gambar tersebut ialah sebahagian daripada buku-buku yang saya miliki. Ada buku-buku yang saya letakkan di rak buku bersebelahan dengan rak-rak buku di atas namun saya tidak mengambil gambarnya memandangkan rak buku tersebut dalam keadaan berselerak dan saya pula terlalu malas untuk mengemasnya. Dan saya tidak kisah dengan rak buku yang berselerak itu kerana ia dipenuhi dengan buku-buku lama dan buku-buku yang saya tidak mahu baca lagi.

Pagi ini saya melihat kembali resit pembelian buku saya di mphonline dan saya hampir pengsan melihat nilai buku yang saya beli sepanjang 1 tahun kebelakngan ini. RM1k++. Jumlah yang sangat besar bagi seorang pelajar universiti tidak berduit seperti saya. Apa yang membuat saya lebih sedih ialah ada di antara buku-buku di dalam rak di atas yang saya belum pernah baca lagi. Itu sememangnya suatu pembaziran kerana buku dibeli untuk dibaca dan bukannya untuk disimpan sebagai tatapan sahaja. Namun itulah yang sedang saya lakukan sekarang ini.

Sekarang mari saya ceritakan bagaimana saya boleh membeli buku dan kemudian menyimpannya tanpa membacanya. 

Hari itu cuaca cerah, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, burung-burug pula berkicauan terbang di atas langit nan biru. Ia merupakan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti di luar kolej kediaman. Pelajar-pelajar turun daripada bas, memasuki kolej kediaman mereka. Ada pula yang menaiki bas untuk pergi ke fakulti. Ada pelajar yang duduk di kafe menikmati juadah mereka bersama rakan-rakan mereka. Ada juga yang sedang belajar berkumpulan di kawasan pejabat kolej kediaman.

Sewaktu semua pelajar sedang sibuk dengan hal masing-masing bersama rakan mereka, di satu bilik di Kolej Tun Razak, seorang pelajar perempuan sedang tersengih menghadap skrin laptop di hadapannya. Pelajar perempuan tersebut baru sahaja selesai menghabiskan coding java menggunakan Netbeans. Kini dia menekan sesuatu di pad kekuncinya. Huruf yang ditekannya ialah g-o-o-d-r-e-a-d-s lalu selepas itu tangannya menekan perkataan 'Enter'. Menggunakan tetikus jenama Logitech yang baru ditukarnya kerana tetikus yang lama sudah rosak, dia mengklik Goodreads.com dan memasukkan e-mel serta kata laluan di ruangan Login. Kemudian dia dibawa ke halaman utama. 

"Hehehe...sudah tiba masanya..." ujar pelajar perempuan itu sambil melebarkan senyumannya, menampakkan barisan gigi-giginya yang tidak berapa putih.

Dia mengklik link 'Recommendations' dan berpuluh-puluh buku dengan genre yang berbeza dipersembahkan di depan matanya. Dia mengklik setiap satu gambar buku dan membaca sinopsis buku-buku tersebut. Dia kemudian membaca ulasan-ulasan yang diberikan kepada buku tersebut. Selepas melihat sinopsis hampir 100 buku, dia mulai bosan. Ada beberapa buku yang membuatnya tertarik namun dia tidak pasti jika buku itu ada dijual di kedai buku di Malaysia. 

Dia kemudian beralih ke benda lain. Kali ini dia membuka youtube. Oh, baru dia teringat. Dia tidak perlu menaip nama booktuber kesukaannya memandangkan dia sudah pun 'bookmark' saluran booktuber kegemarannya; Peruse Project, Katytastic, The Library of Sarah, dan Little Book Owl. Dia mencari video terbaru mereka. Ohh~~ Kat baru sahaja memuat naik video baru. Dia segera memuat turun video tersebut. Selepas muat turun selesai, dia membuka video tersebut. Oh Tuhan! Buku yang ditunjukkan Kat itu kelihatan sangat menarik. Mari dapatkannya.

Dengan tergopoh-gapah dia menaip perkataan m-p-h-o-n-l-i-n-e di atas pad kekuncinya. Sebaik sahaja dia berada di laman tersebut, dia segera memasukkan nama buku tersebut ke dalam kotak carian. Namun dia hampa. Buku itu belum ada dalam katalog mphonline. Dalam kesedihannya, dia beralih ke bahagian lain di halaman mphonline. Ditekannya link 'Bestseller'. Kemudian dia menekan link 'Teen Reader'. Dia meneliti setiap 'cover' buku. Hmm...tiada apa-apa yang menarik minatnya. Kali ini dia menekan 'Local' di bahagian laman yang sama. Ditelitinya sinopsis pendek di sebelah gambar buku-buku tersebut. Hmm...kahwin paksa, kahwin lari, cinta ditolak, gaduh-gaduh lepas tu jatuh cinta....hm....BOSAN!

Dia menekan link 'New Arrivals' yang bersebelahan link 'Bestseller'. Tangannya dengan cepat menekan link 'Teen Reader'. Dia memandang satu persatu gambar buku dan mencari buku yang merupakan buku pertama dalam sesuatu siri, buku 'stand-alone', dan juga buku yang merupakan sambungan buku yang pernah dibelinya suatu ketika dahulu. Ohhh...buku apa ni? Kulit depannya ada muka seorang gadis perempuan dan warna latar belakangnya hijau. Dia menekan gambar buku itu. Splintered merupakan tajuknya. Dia membaca sinopsis buku tersebut. Alice's Adventures in Wonderland? Masalah mental? Misteri? Hebat! Aku mahukan buku ini! 

Nanti dulu! Tak boleh terus beli sahaja. Bagaimana jika ceritanya kurang menarik? Mari kita lihat 'rating' dan ulasan orang lain untuk buku ini di Goodreads. Pelajar perempuan itu memasukkan nama buku di kotak carian di Goodreads. 4.01! Wow! Cukup hebat! Review pula? Hmmm...mantap! Aku akan beli buku ini!

Maka pelajar perempuan tadi pun memulakan proses pembelian di atas talian. Setelah selesai pembayaran, dia pun merebahkan diri di atas katil, lega kerana akhirnya dia berjaya mendapatkan buku yang dia rasakan amat menarik. 2 hari kemudian, dia menunggu dengan resah di dalam makmal komputer fakulti. Buku itu telahpun tiba di Johor. Petang itu buku itu akan tiba di pejabat kolej kediaman. Dia harus mendapatkannya segera. Jam 1.15 petang dia tiba di kafe kolej kediaman. Selepas makan tengah hari, dia duduk di kerusi di hadapan pejabat kolej. Sambil memandang jamnya yang menunjukkan pukul 1.45 petang, dia melepaskan keluhan kecil. Pejabat buka pukul 2 lebih. Kolej tempat tinggalnya cuma di seberang jalan namun dia tidak mahu balik ke bilik sebelum dia mendapatkan buku tersebut.

Dengan sabar dia menunggu. Pukul 2.10 pejabat kolej dibuka semula dan dia melangkah masuk dengan gembira. Dia memberikan kad matrik dan memberitahu nombor blok serta nombor bilik pada staf yang bertugas. Staf itu kemudian masuk ke dalam tempat penyimpanan barang dan mengambil barang pelajar perempuan tadi lalu dibawanya keluar. Barang itu diletakkan di hadapan pelajar perempuan tersebut. Setelah memastikan yang nama di atas barang tersebut ialah namanya, dia menulis nama di buku senarai barang, meletakkan tandatangannya dan juga tarikh dia mengambil barangnya. Selepas itu dia keluar daripada pejabat dengan hati yang berbunga-bunga. Tiba di bilik, dia membuka bungkusan tersebut. Melihatkan buku yang dipesannya kini berada di tangannya membuatkan dia cukup gembira...dan terharu. Matanya mengamati setiap inci buku tersebut bagi memastikan buku itu berada dalam keadaan yang baik. Sempurna! Dia menuju ke arah kotak simpanan barang yang diletakkan bersebelahan meja belajar kecilnya lalu membuka penutup kotak tersebut. Dia seterusnya memasukkan buku itu dengan cermat ke dalam kotak sebelum menutup kotak itu kembali. Dia tersenyum, sambil berfikir "Balik rumah di Sandakan nanti aku baca buku tu".

Tamatlah kisah si pelajar perempuan tadi di Skudai.

Kisahnya bersambung di Sandakan.

"Ohh...hari yang indah untuk tidak membuat apa-apa~Lalala~" pelajar perempuan itu bernyanyi kecil sambil berguling-guling di atas katil. Setelah sejam berguling, dia memutuskan yang dia terlalu penat untuk berguling lagi lalu membangunkan dirinya. Dipandang rak-rak buku di hadapannya. Hmm...nantilah baca buku, cuti masih panjang lagi...

Dia turun ke tingkat bawah sambil menanya emaknya apa lauk untuk tengah hari nanti.

Selepas seminggu...

Dia memerhatikan rak bukunya dengan lebih rapat. Hmm....apa nak dibaca hari ini?

Tiba-tiba dia mendapat idea. "Jom baca Crown of Midnight hari ini!"

Selepas 7 jam...

Dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Matanya memandang siling yang berwarna putih. Tidak mungkin...Chaol dan Celaena...Chaol dan Celaena... Sarah J Maas pulangkan Celaena pada Chaol!!! 

Selepas 1 jam...

Dia meletakkan kembali Crown of Midnight ke tempat asalnya di rak buku. Punggungnya dilabuhkan di atas lantai. Sambil memandang buku Crown of Midnight, matanya berair. "Kenapa...kenapa kau buat macam ni, Sarah? Kenapa kau buat aku menderita?"

Selepas 2 hari...

Dia bagaikan mayat hidup yang bergerak di dalam rumah tersebut. Hatinya dirasakan bagai mahu tercabut. Semangatnya masih lagi hilang di dalam dunia ciptaan Sarah J Maas.

5 hari kemudian...

Dia tersenyum hambar. Sudah 1 minggu berlalu sejak dia menghabiskan buku tersebut. Sejak itu jugalah dia mendapat 'book hangover' yang cukup teruk. Lebih teruk daripada ketika dia habis membaca Shadows oleh Ilsa J Bick. Tapi dia perlu pulih segera. Tidak lama lagi semester baru akan bermula. Dia perlukan kekuatan untuk memasuki semester baru.

Dengan susah payah, dia memujuk hatinya untuk tidak bersedih sambil mengingati kata-kata Celaena sebelum pergi.

“When you do, I want you to remember that it wouldn’t have made any difference to me. It’s never made any difference to me when it came to you. I’d still pick you. I’ll always pick you.” 

Hatinya berbunga kembali. Oh hati, jangan engkau berduka. Tahun ini buku ketiga akan keluar juga. Janganlah engkau bersedih lagi ya wahai hati.

Beberapa hari selepas itu, dia melangkah masuk ke pesawat Air Asia. Setelah selesai mengambil tempat duduk, dia melontarkan pandangan ke luar tingkap. Tatkala pesawat bersedia untuk berlepas, barulah dia teringat yang Splintered belum dibaca lagi.

TAMAT

Dan peristiwa ini berulang lagi untuk buku-buku seterusnya.