Tajuk Asal: The Fault in Our Stars
Penulis: John Green
Muka surat: 326
Sinopsis:
Bab terakhir hidup Hazel Grace Lancaster sudah
siap tertulis ketika dia didiagnos dengan kanser. Walaupun tumornya mengecil
dengan keajaiban perubatan yang dinamakan Phalanxifor, dia hidup dengan
penantian yang tak kunjung tiba sehinggalah suatu hari di Kumpulan Sokongan,
kejutan paling besar dalam hidupnya muncul dalam bentuk seorang budak lelaki
hot bernama Augustus Waters.
Ini cerita tentang kesan-kesan sampingan kepada
evolusi manusia yang berani memilih untuk jatuh cinta.
Tapi tak semua yang tertulis di bintang-bintang
itu sempurna.
*sinopsis diambil daripada fixi.com.my
Ulasan saya: Saya tidak menangis. Saya
cuma mengalirkan air mata saja. Saya pernah membaca buku asal Bahasa
Inggerisnya sebanyak 2 kali tahun lepas. Kedua-dua kali tersebut saya menangis.
Agaknya mungkin kerana saya sudah tahu tentang jalan cerita buku ini, ataupun
mungkin juga kerana ia diterjemah ke Bahasa Melayu, unsur-unsur perasaan yang
ditulis oleh John Green berkurangan sedikit. (Bila saya cakap sedikit, ia
betul-betul sedikit)
Apapun, saya cukup menyukai buku ini.
Suka; itu terlalu sedikit.
Saya menyintai buku ini.
Saya jatuh cinta lagi pada Hazel Grace, Augustus
Waters, Isaac, dan semua watak-watak di dalam buku ini. Namun cinta saya lebih
kepada Hazel Grace dan Augustus Waters. Dua orang remaja yang ditakdirkan untuk
jatuh cinta. Mereka tidak seperti remaja-remaja yang lain. Hazel Grace
menghidap kanser, Augustus Waters pula merupakan remaja yang hilang kaki kerana
kanser. Mereka bertemu buat pertama kalinya di Support Group, dan mendapati
yang mereka tertarik antara satu sama lain. Saya sukakan chemistry di
antara mereka. Perasaan mereka, tingkah-laku mereka, semuanya diterangkan
dengan jelas dan mendalam.
Kisah cinta mereka pada permulaan agak klise, tapi
hakikatnya ia lebih daripada mana-mana novel cinta yang pernah saya baca.
"Tapi awak tak ada nombor telefon
saya," katanya.
"Saya syak awak dah siap tulis dalam
buku ni."
Dia tersengih macam kerang busuk lagi.
"Dan awak kata kita tak cukup kenal antara satu sama lain."
Dialog di antara mereka, oh, saya jatuh cinta
dengan setiap dialog mereka. Kata-kata mereka cukup terkesan dalam hati saya,
dan saya tak mampu nak keluarkannya daripada kepala saya. Sukar untuk
dipercayai yang remaja boleh mengungkapkan kata-kata seperti mereka, namun
harus diingati yang mereka bukan remaja biasa. Memikirkan tentang kematian dan
kehidupan yang tidak sentiasa menyebelahi mereka membuatkan mereka matang
dengan cepat. Jauh lebih matang berbanding remaja lain yang sebaya
mereka.
"Aku takkan buat begitu kepada
kau," aku memberitahunya.
"Oh, aku tak kisah Hazel Grace. Akulah orang paling bertuah kalau kau yang lukakan hati aku"
Tidak dapat dinafikan yang pengaruh buku dalam
kehidupan manusia sememangnya cukup kuat, sehingga membuatkan kita sanggup
membuat apa sahaja untuk mendapatkan pengakhiran cerita sesebuah buku yang
tiada penamatnya. Demi mendapatkan penamat watak-watak dalam buku yang cukup
dicintainya, Hazel dan Augustus terbang ke Amsterdam demi menemui penulis buku
tersebut. Augustus melakukannya untuk Hazel, demi menunaikan hajat Hazel. Namun
Augustus punya rahsia. Rahsia yang diketahuinya sewaktu Hazel dimasukkan ke
dalam ICU, iaitu sebelum mereka berangkat ke Amsterdam. Rahsia itu pula, cukup
untuk mengubah dunia mereka berdua. (Dan membuatkan saya mengalirkan air mata)
"Aku akan lawan. Aku akan lawan untuk
kau. Kau jangan risau tentang aku, Hazel Grace. Aku okey. Aku akan cari jalan
untuk lepak-lepak dengan kau dan kacau kau sampai bila-bila."
Ayat yang paling saya suka.
Ayat yang paling saya suka.
"Dunia ini," katanya, "tak
dicipta untuk memenuhi semua hajat kita,"
Dan juga kata-kata yang cukup mengharukan
daripada seorang sahabat sejati.
"Tapi saya berani cakap ni: Bila
saintis di masa hadapan datang ke rumah saya membawa mata robot dan mereka
suruh saya pakai, saya akan suruh mereka berambus, sebab saya tak mahu tengok
dunia tanpa dia"
Bintang: 11/10 (kerana 10/10 tidak cukup
untuk mewakili kecintaan saya kepada buku ini)
Sumber gambar: fixi.com.my