Apa khabar rakyat biasa?
Aku Belphegor. Tapi kamu juga boleh memanggil aku ‘Putera’, kerana aku memang
seorang putera pun. Ushishishishishi~
Memandangkan aku ada
banyak masa lapang hari ini, biar aku ceritakan pada kamu kehidupan ahli-ahli
Varia.
Pukul 6 pagi, aku
bangun dari tidur dan menuju ke bilik mandi. Selepas mandi dan memakai pakaian,
aku turun ke tingkat bawah untuk bersarapan.
“Senpai, aku sungguh berharap engkau mati dan tidak datang sarapan,”
ujar satu suara yang kubenci.
Aku mencebik. ‘Katak’
yang berambut hijau muda itu memang tidak tahu bagaimana mahu menjaga mulutnya.
Tanganku mengeluarkan 8
bilah pisau daripada kot. Lalu, aku layangkan kesemua pisau-pisau tersebut ke
arah si mulut celupar. Dia mengelaknya.
“Mou! Bel-chan, Flan-chan! Jangan bergaduh di meja makan!
Nanti ayah marah!” ujar Lussuria. Hari ini rambut mohawknya berwarna merah jambu. Bajunya pula berwarna pelangi.
Memang sesuai dengan perangainya yang pondan itu.
“Ayah? Voi!! Kau tak
maksudkan Xanxus, bukan?!!” Si komander berambut panjang memekik. Harus aku
ingatkan yang pekikannya hari ini lebih kuat daripada biasa.
“Sudah tentulah Xanxus.
Siapa lagi yang macam ayah di istana ni?” Selamba Lussuria menjawab.
Aku menarik kerusi lalu
duduk. Di atas meja panjang di hadapanku terhidang bermacam-macam jenis
makanan. Namun kami semua tidak boleh makan selagi Bos belum sampai.
Aku menoleh ke sebelah.
Mammon sedang duduk di atas kerusi bayi sambil mengira duitnya.
“Duit kau tidak akan
bertambah walaupun kau mengiranya setiap hari,” ujarku. Gaji Mammon dipotong
dua bulan untuk membayar kos kerosakan yang dilakukannya di taman tema
kanak-kanak.
Mammon memandangku. Aku
tidak dapat melihat matanya dengan jelas di sebalik topinya yang besar. Heh!
Macamlah dia juga dapat melihat mata aku di sebalik rambutku. Ushishishishi.
“Bel, kau hutang aku
2500 euro. Aku harap kau bayar cepat. Bunganya 25%. Lewat sehari daripada
tarikh pembayaran akan dikenakan denda 100 euro. Dan begitulah untuk hari-hari
yang seterusnya.”
Aku mencebik. Bayi ini
sungguh mata duitan! Mungkin aku harus mengikatnya di atas tiang bendera kami.
Dia pasti akan kelihatan seperti maskot skuad pembunuhan Varia.
Ushishishishishi~
Suasana di ruang makan
riuh dengan suara Lussuria dan Squalo. Topik perdebatan mereka masih sama,
tentang Bos. Tentang adakah Bos layak digelar sebagai ayah di istana Varia? Aku
sudah naik bosan mendengar perdebatan mereka. Mataku kuhalakan silih berganti
pada ayam Turki bakar dan stik filet
mignon di atas meja. Aku mula berkira-kira. Sebaik sahaja Bos datang dan
menjadi orang pertama yang mengambil stik itu nanti, aku akan pastikan aku
menjadi orang kedua yang mengambil stik yang tersusun cantik di pinggan perak
itu. Ushishishishi. Rancangan aku sungguh sempurna. Mungkin aku patut
menggunakan pisau-pisau berhargaku untuk mengambil kesemua stik itu nanti.
“Senpai, aku tahu rancanganmu. Kau pasti mahu membolot kesemua filet mignon itu, kan?” soal si Katak
yang duduk berhadapan denganku.
Ah sial! Bagaimana dia
tahu?
“Ushishishishishi~Sudah
tentu. Aku kan putera. Selepas Bos, aku yang kedua paling tinggi di istana ni,”
ujarku sambil tersengih.
“Voii!! Aku komander
Varia. Jadi secara teorinya aku yang kedua selepas Bos! Aku akan jadi orang
kedua yang ambil filet mignon itu!!” jerit
Squalo. Matanya merenungku tajam.
“Ushishishishishi…kau
cuma komander. Aku seorang putera. Kau cuma rakyat biasa dalam negara ini.” Aku
tidak akan mengalah.
“Voi!! Kau cuma seorang
putera tanpa negara, Bel!”
“Putera tetap seorang
putera walaupun di mana dia berada. Rakyat biasa tetap rakyat biasa walau di
mana pun mereka berada. Dan hamba makan gaji seperti kau tetap hamba di mana
pun kau berada.” Aku mula memberi hujah. Muka Squalo bertukar merah, mungkin
kerana menahan marah. Aku lihat ada beberapa helai rambut panjangnya terpacak
ke atas.
“Kau patut bunuh diri
dan minta dilahirkan semula sebagai raja atau putera barulah kau boleh mendapat
status yang sama seperti aku.” Aku memprovok Squalo.
“Bel!” Lussuria
memanggil, mungkin tidak mahu aku terus memprovok komander yang mukanya kini
merah bagaikan tomato.
“Kau memang cari mati,
Bel!!” jerit Squalo sambil melibas-libaskan pedangnya ke arahku.
Aku bangun dari kerusi
lalu mengeluarkan pisau-pisauku.
“Kau nak kematian yang
lambat atau cepat, komander?”
“Kau memang berani nak
lawan aku dengan pisau-pisau kecil kau tu!” Si komander menyeringai. “Marilah,
putera sialan!”
Belum sempat aku
melayangkan pisau-pisauku yang tajam dan cantik ke arah Squalo, sebuah pasu
bunga kristal melayang ke kepalanya. Squalo rebah serta-merta. Mata kami semua
menghala ke arah datangnya pasu bunga kristal tadi.
Di depan pintu, bos
sedang berdiri dengan renungan mata merah yang tajam memandang tepat ke arah
kami. Sepeti biasa, Levi berdiri di belakang Bos.
“Pagi-pagi lagi dah
menyalak, sampah!” marah Bos.
Bos menapak langkah ke
arah meja dan duduk di kerusinya. Lagaknya bagai seorang CEO syarikat. Levi, si
anjing setia, mengambil tempat duduk berhampiran Bos.
“Ushishishishishi~
Maaflah Bos,” pintaku. Aku kembali duduk di kerusiku. Lussuria mendekati Squalo
yang sedang terbaring.
“Tidak!!!” Lelaki
pondan itu menjerit sebaik tersedar sesuatu. “Pasu bunga ni diperbuat
sepenuhnya daripada kristal Swarovski dan berharga 150,000 euro!” Dia kemudian
berpaling dan memandang Bos. “Bos kena berhenti melempar barang-barang yang
mahal!”
“Hmph!” Bos langsung tidak
mempedulikan Lussuria. Tangannya
mengambil pinggan perak yang berisi filet
mignon.
“V…Voi…kau lebih
risaukan pasu bunga tu berbanding kepala aku?” Squalo perlahan-lahan bangun.
Rambut putihnya bertukar merah kerana darah yang mengalir. Ada
serpihan-serpihan kristal di atas kepalanya.
“Kepala kau tidak
semahal pasu bunga ini, komander,” jawab si Katak Flan.
Aku bersiul. Untuk kali
ini, aku bersetuju dengannya.
“Sudah-sudah. Jangan
bergaduh di meja makan. Squalo, nanti aku balutkan kepala kau tu. Sekarang,
mari makan.” Lussuria memberi kata putus.
Mungkin kerana
kehilangan terlalu banyak darah, si komander tiada tenaga yang cukup untuk
membantah Lussuria. Dia menarik kerusinya lalu duduk.
Selepas memindahkan 3/4
daripada filet mignon yang berada di
pinggan perak tadi ke pinggannya, Bos meletakkan pinggan itu di atas meja
kembali.
Aku, Mammon, Flan,
Levi, dan Squalo memandang satu sama lain. Sebentar lagi pertarungan
mendapatkan filet mignon yang
selebihnya akan bermula.