Sunday, 30 November 2014

Sekolah Banyak Penunggu 2.0



Tajuk: Sekolah Banyak Penunggu 2.0

Penulis: Nurul Syahida

Muka surat: 272

Sinopsis: Fadzilah sedang mencari jawapan kepada misteri yang telah berlaku kepada Pak Cik Baie ketika mengalami serangan jantung di Koperasi SMAX. Oleh kerana itu, dia sanggup bekerja di SMAX yang terkenal sebagai sekolah banyak penunggu sementara menunggu keputusan SPM. Dalam pencariannya, dia bertemu Muhaimin dan Dinie yang mempunyai banyak kisah seram yang ingin diceritakan. Apakah agaknya jawapan kepada pencarian Fadzilah itu? Semuanya akan terjawab dalam Sekolah Banyak Penunggu 2.0.

“Kenapa semua cikgu kat sini sensitif sangat pasal topik hantu?” ¤ Fadzilah

“Seram, kan? Kalau saya nampak, saya pun meracau agaknya.” ¤ Muhaimin

“Sebab ini cerita hantu yang ikhlas. Saya tak suka nak menambah-nambah cerita. Cukuplah pengalaman masa tingkatan satu dulu.” ¤ Dinie

* sinopsis diambil daripada bukuprima.com.my 

Ulasan Saya: Fadzilah, gadis berusia 18 tahun bekerja sambilan di koperasi SMKA Kota Senja yang lebih dikenali dengan nama panggilan SMAX. Dia mengambil alih secara sementara tugas menjaga koperasi kerana penjaga asalnya, Pak Cik Baie terlantar di hospital akibat serangan jantung. Fadzilah tahu ada cerita lain di sebalik cerita serangan jantung Pak Cik Baie semasa bertugas di koperasi sekolah itu. Oleh itu dia datang untuk mencungkil rahsia di sebalik sekolah berasrama penuh (SBP) yang turut mendapat jolokan nama Sekolah Banyak Penunggu.

Fadzilah menjalin persahabatan dengan Muhaimin, pelajar tingkatan 5 yang memberitahu bahawa dialah yang terjumpa Pak Cik  Baie pengsan di belakang satu rak yang agak tersembunyi di koperasi tersebut. Fadzilah juga bersahabat dengan Dinie, Naib Ketua Exco Keselamatan Aspuri. Fadzilah menanya mereka berdua sekiranya mereka tahu apa-apa cerita hantu yang membabitkan sekolah asrama penuh itu. Daripada cerita tentang Suratman, Tim dan Nad, Daus dan Abang Isman, hinggalah Harlina, Fadzilah mendengar semuanya dengan penuh minat. Namun, cerita tentang sesuatu yang dicarinya tidak kunjung tiba. Akhirnya, Dinie membuka satu lagi cerita. Cerita tentang seseorang yang dicari oleh Fadzilah selama ini. Cerita tentang seseorang yang boleh meleraikan kekusutan di kepalanya tentang misteri serangan jantung Pak Cik Baie.

Membaca cerita di dalam novel ini terutamanya di waktu malam membuatkan bulu roma saya meremang. Akhirnya, habis sahaja membaca bab keempat, saya membuat keputusan untuk menutup novel ini dan tidur. Sebaik sahaja saya menutup lampu, cerita bab keempat novel ini kembali bermain di minda saya. 

Tidak dinafikan ada rasa takut dalam hati saya tatkala membaca novel ini. Perasaan takut ini sudah cukup untuk membuktikan yang penulis berjaya menghidupkan setiap watak dan cerita di dalam novel ini. Kisah hantu di asrama bukannya sesuatu yang baru didengar. Malah, ia sesuatu yang normal dan biasa didengari terutamanya jika anda pernah menjadi penghuni asrama sekolah (saya bukannya pelajar asrama semasa di sekolah menengah). Setiap cerita hantu yang disampaikan oleh Muhaimin dan Dinie terasa menyeramkan dan realistik bagi saya (tambahan pula saya seorang penakut). 

Bagi saya, apa yang membuatkan novel ini sangat menarik dibaca ialah kandungan pelbagai cerita hantu di dalamnya. Itu belum lagi termasuk misteri di sebalik serangan jantung Pak Cik Baie. Gaya bahasa dan penulisan di dalam novel ini juga mudah difahami. Dialog-dialog di dalam buku ini juga teratur dan menarik dibaca. Tiada ayat berbelit-belit sehingga menyukarkan kita untuk memahami apa yang penulis ingin sampaikan. Watak-watak di dalam novel ini pula agak banyak, namun mudah diingati kerana penulis menghuraikan karakteristik setiap watak dengan baik sehingga kita boleh mengingatinya dengan mudah. Mungkin ada orang yang akan mengatakan yang jalan ceritanya tidak straight to the point dengan pelbagai cerita hantu yang tidak terlalu berkait dengan misteri di sebalik serangan jantung Pak Cik Baie. Tapi pada saya, cerita-cerita hantu tersebut sangat seronok dibaca, ditambah lagi dengan ilustrasi-ilustrasi yang agak menakutkan jika anda membaca buku ini bersendirian di bilik pada malam yang sunyi. 

Jika anda gemar membaca cerita genre seram dan misteri, saya rekomenkan novel ini kepada anda.

Bintang: 9/10

4 comments: