Tuesday, 13 May 2014

Joyland


Tajuk asal: Joyland

Penulis: Stephen King

Muka surat: 388

Sinopsis: Terjemahan Bahasa Malaysia pertama untuk penulis bestseller antarabangsa Stephen King.
Demi mengubati hati yang telah dilukai seorang gadis, Devin Jones, seorang pelajar kolej, membuat keputusan untuk bekerja di Joyland sewaktu cuti musim panas. Namun dugaan yang dihadapinya di sana ternyata lebih dahsyat. Di Joyland, persoalan demi persoalan di luar jangkauan minda menanti Devin: sebuah legasi pembunuhan yang kejam, untung nasib seorang kanak-kanak yang berada di ambang maut, dan sebuah pengajaran tentang realiti hitam kehidupan — serta alam selepas kematian — yang mengubah dunianya buat selama-lamanya.
*Sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Berbaloi dibaca. Pada mulanya, saya agak bosan kerana jalan ceritanya agak perlahan. Kehidupan watak utama - Devin Jones (21 tahun), bagi saya amat menarik. Bekerja di Joyland semasa musim panas untuk menampung kehidupan universitinya. Wataknya digambarkan sebagai lelaki yang biasa-biasa sahaja, dengan kekasih yang tinggal jauh daripadanya dan kehidupan barunya di Joyland North Carolina.

Di Joyland, teman rapatnya ialah Tom dan Erin. Kehidupan Devin yang biasa-biasa saja itu bertukar luar biasa apabila dia menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang tercekik hotdog di Joyland. Kehidupannya bertambah menarik dengan kehadiran Annie dan anaknya, Mike. Mike, budak lelaki yang memiliki tubuh badan yang lemah mempunyai kebolehan 'melihat'.
 
Pada suatu hari Devin, Tom, dan Erin masuk ke Horror House bersama-sama. Di situ, Tom telah melihat hantu Linda Gray, gadis yang dibunuh di dalam Horror House itu beberapa tahun yang lalu. Sejak itu, Devin menjadi lebih berminat dengan kes pembunuhan Linda Gray dan pelbagai andaian timbul di mindanya tentang pembunuh itu. Setelah memutuskan hubungan dengan Wendy Keegan juga, Devin menjadi lebih rapat dengan Annie dan anaknya sehingga akhirnya mereka bertiga pergi ke Joyland bersama-sama walaupun pada awalnya Annie tidak bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan keadaan fizikal Mike yang tidak berapa baik. Melalui maklumat-maklumat yang diberikan oleh Erin mengenai kes Linda Gray dan beberapa kes pembunuhan yang lain, Devin akhirnya berjaya meneka siapa pembunuh Linda yang sebenarnya. 
 
Saya suka unsur kehidupan yang diutarakan dalam buku ini. Kehidupan Devin tidak sempurna, namun dia sentiasa melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya. Saya juga suka melihat persahabatan yang kukuh di antara Devin, Tom, dan Erin. Karakter Erin yang pada awalnya kelihatan minor akhirnya berkembang dan, Erinlah yang banyak membantu Devin menyelesaikan misteri di Joyland itu.

Keseluruhannya, jalan ceritanya menarik, walaupun agak perlahan di permulaan cerita.


Sumber gambar: fixi.com.my

No comments:

Post a Comment