Friday, 7 March 2014

Perjanjian: Prolog


Zachary membuka matanya perlahan-lahan. Keadaan sekeliling yang gelap-gelita menyukarkannya melihat apa-apa. Lantas dengan cepat dia membangunkan diri daripada pembaringan. Tangannya menggosok mata berkali-kali.
             
“Urgh...” Zachary mengerang perlahan sambil mengurut-urut belakang kepalanya yang sakit. ‘Apa yang terjadi? Di mana aku berada sekarang? Soalnya dalam hati.
             
“Dah bangun?”
             
Zachary membulatkan mata, terkejut. Spontan kepalanya berpusing ke kiri dan ke kanan, mencari punca suara tadi.
             
“Siapa tu? Tunjukkan diri kau!” arah Zachary. Suara tadi ketawa terkekeh-kekeh. Nyaring sungguh bunyinya hingga membuatkan bulu roma Zachary meremang.
             
Peluh dingin membasahi dahi Zachary. Semakin lama, suara ketawa tersebut semakin hampir dengannya. Kali ini, suara ketawa tersebut terdengar di sebelah kanannya. Zachary memalingkan kepala mengikuti suara tadi. “Kau jangan cabar aku!” ugutnya.
             
Namun sia-sia sahaja usaha Zachary untuk mencari si pemilik suara kerana keadaan gelap di situ membataskan penglihatan.
             
“Kehkehkehkehkeh...” suara itu ketawa nyaring. Lama kelamaan, suara yang nyaring tadi berubah kepada suara kanak-kanak.
             
Zachary terkedu. Suara ketawa kanak-kanak tersebut cukup dikenali. Manakan tidak, suara itu sama seperti suara anak perempuannya, Anna.
             
“A-Anna?” soal Zachary.
             
Tiba-tiba, suara ketawa tadi berhenti. Suasana yang gelap bertukar terang dalam sekelip mata. Zachary memerhatikan keadaan sekelilingnya. Patung, patung, dan lebih banyak patung dalam posisi duduk mengelilinginya di dalam bilik bercat warna merah dan putih. Mata kesemua patung tajam merenung ke arahnya, seolah-olah menagih sesuatu daripada Zachary. Ada di antara patung-patung tersebut sudah hilang bahagian kepala, ada yang hilang sebelah kaki, ada yang hilang tangan, dan ada juga yang bahagian kepalanya terkopak sehingga menampakkan isinya.
             
Zachary menelan liur. Suasana perlahan-lahan bertukar dingin. Segera Zachary memeluk erat tubuhnya yang sasa. Dingin yang dirasai mencucuk sehingga ke tulang-temulang.
             
“A...a..yah...” sayup-sayup kedengaran satu suara di sebalik dingin.
             
“Anna!” laung Zachary. Badannya berpusing-pusing, mencari punca suara tadi. “Anna!” laungnya sekali lagi, dengan harapan agar Anna tahu di mana dia berada dan bisa mencarinya. Namun apa yang Zachary lihat cumalah patung-patung yang mengerikan. Kelibat Anna langsung tidak kelihatan di mana-mana.
             
Zachary semakin kalut. Bilik kecil bulat bercat merah dan putih itu bagaikan neraka buatnya. Mata Zachary sekarang sibuk mencari pintu keluar. Mungkin juga Anna berada di luar sana, memanggil dari bahagian luar bilik.
             
Tiada! Tiada pintu keluar di sini! Tak mungkin!
             
Dengan pantas Zachary meluru ke salah satu dinding bilik. Tangannya meraba-raba dinding bilik, dari satu bahagian, ke bahagian yang lain. Patung-patung yang sedang duduk di sekeliling bilik dipijak-pijak. Lagaknya sudah macam orang kurang waras, tapi itu semua tidak penting lagi. Dia cuma mahu keluar dan mencari Anna dengan cepat.
             
“Anna! Anna!” laung Zachary, panik. Nafasnya turun naik dengan pantas. Bagaikan orang hilang akal, tangannya meraba-raba dinding bilik sambil kakinya memijak-mijak patung di sepanjang laluannya. “Anna...Anna...ayah di sini!” teriaknya.
             
Badannya hilang imbangan tatkala kakinya tersadung salah satu patung beruang besar di hadapannya. Zachary mendarat di atas timbunan patung-patung tanpa kepala.
             
“A..yah...” Suara Anna kedengaran lagi. Zachary bingkas bangun.
             
“Anna! Anna kat mana? Ayah di sini, Anna!”
             
Mata Zachary meneliti setiap ruangan bilik.
             
“Anna!” laung Zachary.
             
“Ayah...” panggil suara itu lagi, kali ini semakin lemah.
             
Zachary tersentak. Suara Anna... Perlahan-lahan, dia mendongakkan kepalanya ke atas.
             
“An...na?” Zachary menyoal bagaikan tidak percaya. Raut wajahnya bertukar pucat tatkala terpandangkan tubuh kecil Anna yang digantung dengan tali daripada siling bilik yang berketinggian kira-kira 15 meter dari paras lantai. Resah dan takut mencengkam diri Zachary. Bagaimana mereka berdua boleh berada dalam keadaan sekarang ini?
              
Zachary memandang keempat-empat tali merah yang mengikat kedua-dua pergelangan tangan dan kaki Anna. Tali tersebut kesemuanya bersambung ke bahagian siling bilik. Sekiranya keempat-empat tali putus, tubuh Anna akan jatuh ke atas lantai. Memikirkannya sahaja sudah cukup membuatkan Zachary sendiri berasa gerun.
             
Apa salah dia pada mereka sehingga mereka buat Anna seperti itu? Apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada dia? Siapa mereka? Kenapa mereka bawa dia dan Anna ke tempat ini? Mindanya terus diasak oleh pelbagai persoalan.
             
“A...yah…” panggil Anna, lemah. Anak mata hitamnya memandang Zachary yang berada di bawah. Suara Anna mengembalikan Zachary ke dunia realiti.
             
“Anna! Tunggu ayah, Anna! Ayah akan selamatkan Anna!” jerit Zachary dengan kuat. Perlahan-lahan, Anna mengukir senyuman. Air matanya mengalir ke pipi.
             
Zachary meneliti keempat-empat tali yang mengikat Anna. Muncul satu idea di mindanya. Apa kata dia tunggu sahaja keempat-empat tali itu putus dan kemudian menyambut tubuh Anna sebelum ia jatuh mencecah lantai. Dengan ini, Anna akan terselamat. Tapi bagaimana? Takkanlah dia biarkan sahaja Anna tergantung di atas situ?  Pasti Anna ketakutan sekarang ini.
             
“Huh?”
             
Satu anak panah menembusi rusuk kiri Anna dari arah hadapan. Darah mengalir keluar dengan deras daripada luka anak panah.
             
“Uhuk...uhuk...” Anna membatuk keluar darah dari dalam mulutnya. Zachary yang melihat segala-gala yang berlaku terpaku. Terketar-ketar tangan kanannya dihalakan ke arah Anna yang tergantung di atas, seolah-olah ingin memberitahu Anna untuk tidak menangis, untuk memberitahu Anna yang dia ada bersamanya.
             
“Anna...Anna...” panggilnya perlahan. Air matanya jatuh bercucuran. “Anna...” panggilnya lagi.
             
“A..ya..h” Darah keluar dengan banyak daripada mulut Anna.
             
Zachary memusingkan-musingkan badannya sambil matanya memerhatikan dinding bahagian atas bilik tersebut untuk mencari orang yang melepaskan anak panah ke arah Anna.
             
“Jahanam! Jahanam! Lepaskan anak aku! Aku bunuh kau!” teriaknya kuat sehingga menampakkan urat-urat lehernya. “Keluarlah, pengecut!!”
            
Sedang Zachary leka memandang ke belakang, keempat-empat tali merah yang menyokong badan Anna putus. Bagaikan patung, tubuh Anna jatuh ke atas lantai. Bunyi hentakan yang kuat mengejutkan Zachary. Dia segera berpusing ke belakang.
             
Hampir terbeliak mata Zachary melihat tubuh Anna terkulai tidak bernyawa dalam posisi yang mengerikan. Badan Anna dalam posisi meniarap, tangan kanannya terpulas ke tepi, mukanya memandang ke arah kanan, kedua-dua kakinya patah dan matanya bagaikan hendak tersembul keluar, memandang tepat ke arah Zachary. Darah merah daripada luka tusukan kini sudah pun bercampur dengan luka hentakan di bahagian kepala. Rambut panjang paras pinggang Anna tenggelam dalam lautan merah pekat darah.
             
Tubuh Zachary menggigil. Satu-satu anak yang dimilikinya kini terkulai tidak bernyawa di hadapannya. Dengan langkah tehuyung-hayang, dia mendekati tubuh Anna.
             
“Anna...Anna...” ucapnya. Zachary duduk berlutut di sebelah mayat Anna. Air matanya mengalir deras. “Anna...bangunlah...tolong...Anna..” rayunya dalam tangisan. Zachary memusingkan badan Anna dan memangku tubuh kecil itu. Air matanya menitik ke pipi Anna. “Anna...Anna...”
            
Kenangan bersama Anna menari-nari di ingatannya. Senyuman gembira Anna tatkala melihat dia kembali daripada kerja, tangisan Anna setiap kali mereka melawat kubur isterinya, dan tawa Anna setiap kali mereka berdua menonton rancangan kartun kegemaran Anna bersama. Semuanya masih jelas dalam ingatannya.
            
“Anna!!!”

*****
             
“Aku boleh tunaikan permintaan kau untuk dapatkan duit yang banyak, tapi sebagai balasan, aku akan ambil sesuatu daripada hidup kau,” ujar lelaki berambut coklat di hadapannya.
             
Zachary berfikir sejenak sebelum menyoal. “Apa yang kau nak daripada aku?”
            
“Itu rahsia. Tuan aku mahukan hiburan. Dan tugas aku ialah menghiburkan hati dia,” ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum sinis.
       
Zachary tidak ada pilihan. Anna menghidap sakit jantung sejak dia dilahirkan. Untuk membiayai kos perubatan Anna, pelbagai cara dilakukan Zachary, hingga akhirnya dia menjual rumahnya dan kini menyewa sebuah rumah kayu kecil. Zachary sudah pun kehilangan isterinya, Marie, dalam kemalangan 3 tahun yang lalu. Dia tidak mahu kehilangan Anna pula. 

Anna perlu dibedah segera, jika tidak, Anna tidak mungkin dapat hidup sehingga hari lahirnya yang keenam. Sekarang, usia Anna sudah pun memasuki 5 tahun.

Zachary tahu, lelaki di hadapannya ini bukannya orang biasa. Mungkin juga dia bukan manusia. Lelaki itu pernah muncul dalam mimpinya beberapa kali, dan sekarang, dia benar-benar berada di depan mata, sambil menawarkan sesuatu yang sukar ditolak oleh Zachary. Zachary ragu-ragu. Tapi, demi Anna...demi Anna.

Zachary menghela nafas panjang. Dia sudah nekad. Demi Anna, dia sanggup lakukan apa sahaja, termasuklah mati, jika itulah hiburan yang dimahukan oleh lelaki di hadapannya. Lelaki itu tersenyum. Selama dia menjalankan tugasnya, tidak pernah ada orang yang menolak tawarannya. Dia tahu, Zachary juga turut tidak terlepas.

“Baik, aku terima tawaran kau,” ujar Zachary.

“Permintaan kau dikabulkan. Aku akan datang kembali untuk ambil sesuatu milik kau 5 tahun kemudian. Sekarang, bersuka-rialah dengan harta baru kau, wahai manusia.” Sebaik sahaja mengucapkan ayat terakhirya, lelaki itu hilang begitu sahaja. Zachary terpaku. 

***** 

“Adakah hiburan sebentar tadi memenuhi selera tuan?” soal seorang lelaki berambut coklat.

“Kau terlalu lembut kali ini, Gille. Kau patut biarkan Zachary tu merana lagi. Misalnya, biarkan anak perempuan dia menderita lebih banyak, sebelum putuskan tali tadi.” jawab seorang lelaki bermata merah. Dia sedang duduk menongkat dagu di atas sebuah kerusi berwarna emas. “Tapi tak apa, kita ada banyak masa lagi, Gille. Masih ada banyak manusia lagi yang terdesak di dunia ini. Kita akan sentiasa dihiburkan dengan ratapan dan raungan sedih mereka.” Si lelaki bermata merah mengukir senyuman. “Hiburan seterusnya akan bermula tak lama lagi. Sediakan pentasnya, Gille.”

“Baik, Tuan Biernacki.”
                       

No comments:

Post a Comment