Thursday 29 August 2013

Vila Puaka


Tajuk asal: The Dome

Penulis: Phakinai

Muka surat: 419

Sinopsis: Berbuat jahat, maka jahatlah balasannya. Sesiapa pernah melakukan kesalahan, akibatnya akan datang jua kepadanya... meskipun dia mungkin sudah lupa.
Menjadi anak yatim piatu dalam usia muda, Alice dan Aim diambil sebagai anak angkat oleh Puan Miria, sebelum dibawa ke sebuah vila terpencil.
Siapa sebenarnya Puan Miria? Apakah yang tidak kena dengan vilanya? Adakah vila itu berhantu? Benarkah roh yang menempati anak patung kayu sedang membalas dendam?
Kenyataan sebenar rupa-rupanya lebih dahsyat daripada itu...
*Sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan saya: Saya terpesona. Ya, itulah yang terlintas di dalam kepala saya sebaik habis membaca novel ini. Sungguh berlainan dengan novel seram yang pernah saya baca. Karakter Alice di dalam novel ini digambarkan dengan sempurna bagi saya. Wataknya sebagai kakak yang sangat melindungi adiknya, Aim, selepas kematian ibu mereka cukup memberi kesan di hati saya. Selain itu, Alice juga memiliki sifat ingin tahu yang kuat. Malahan, sifat ingin tahu itu cukup untuk menyingkirkan rasa takut di hatinya. Sebaik sahaja tiba di 'rumah baru' mereka, Alice dan Aim dikejutkan dengan keadaan aneh Puan Miria yang bercakap dengan anak patung kayu! Sangka Puan Miria, roh anaknya yang telah mati itu mendiami badan anak patung kayu tersebut. Malam pertama di vila tersebut, Alice dapat merasakan ada sesuatu tersembunyi di vila itu. Sesuatu yang menyeramkan!

Keadaan bertambah teruk apabila Alice melihat seseorang cuba meletakkan 'sesuatu' di dalam minuman Puan Miria. Adakah Puan Miria benar-benar kurang waras atau adakah ubat tersebut yang membuatkan keadaannya bertambah teruk? Alice ingin menyiasat perkara itu. Dia memerlukan pertolongan seseorang, namun siapa yang harus dipercayainya? Adakah Sara, si pembantu rumah yang kadangkala berkelakuan mencurigakan atau Doktor Dane, doktor yang merawat Puan Miria? Alice akhirnya membuat keputusannya. Namun keputusan untuk menolong Puan Miria membawa padah. Alice sudah gila. Satu-satu adik yang dimilikinya sebenarnya tidak wujud lagi. Benarkah apa yang dirasakan Alice selama ini? Atau itu hanyalah salah satu daripada ilusinya?

Keseluruhannya, novel ini mantap dari segi jalan cerita dan watak. Penamatnya juga jauh berbeza daripada apa yang saya sangkakan dan ia langsung tidak mendukacitakan peminat novel seram seperti saya. 'Buat jahat dibalas jahat', itulah tunjang novel ini. Banyak perkara yang disimpan sebagai rahsia terlerai satu-persatu di pengakhiran novel ini. Kadangkala mempercayai naluri itu lebih baik daripada mempercayai apa yang dilihat. Bagi saya, itu juga salah satu daripada pengajaran di dalam novel ini. 

Bintang: 9/10

Dan mengapa saya memberi 9 daripada 10 bintang? Sebabnya adalah cara misteri ini dileraikan hampir sama seperti cara novel 'Misteri Lif Berhantu'. Sejujurnya, saya tidak pasti novel yang mana satu keluar dahulu memandangkan saya membeli novel-novel tersebut pada hari yang sama. Jadi, tolak satu bintang untuk itu. Err...mungkin boleh tolak separuh bintang sahaja kot...

Apapun, jika anda melihat novel ini terletak di dalam rak buku di kedai, saya rekomenkan anda untuk membelinya.

Sumber gambar: pelangibooks.com

No comments:

Post a Comment