Saturday, 24 August 2013

Misteri Lif Berhantu

Tajuk asal: The Lift

Penulis: Phakinai

Muka surat: 407

Sinopsis: Keadaan di fakulti perubatan itu begitu menyeramkan. Sebagai pustakawan yang baru bertugas di fakulti itu, Paeng rasa terganggu. Tinggal bersendirian di rumah yang terpencil, ditambah lagi dengan suasana fakulti perubatan yang sunyi dan menyeramkan, membuat Paeng semakin diburu ketakutan. Rasa takut itu sebenarnya tidak seberapa. Kenyataan bahawa lif di dalam bangunan universiti tempat dia bertugas berhantu, lebih menakutkan lagi! Suatu pembunuhan kejam dikatakan pernah berlaku di dalam lif itu. Paeng pada mulanya tidak percaya, sehinggalah dia terserempak sendiri, beberapa kali, dengan roh yang mengganggu. Gadis itu cuba menyelongkar rahsia, tanpa menyedari bahawa dia yang sebenarnya menjadi buruan...

*Sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan saya: Jalan cerita novel ini tersusun dan dipenuhi dengan unsur saspens. Watak Paeng yang merupakan pustakawan baru, digambarkan sebagai gadis penakut yang diganggu oleh makhluk halus sejak dia 'menegur' sesuatu di dalam fakulti perubatan itu. Kehadiran Paeng di fakulti perubatan tersebut disambut baik oleh Pak Cik Daeng yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di fakulti tersebut. Tinggal di kauters guru yang terletak tidak jauh dari tempatnya bekerja, hampir setiap malam Paeng bermimpikan seorang gadis yang menyuruh Paeng untuk mencari mayatnya jika tidak mahu menerima nasib buruk. Satu benda yang Paeng pasti, gadis itu mati di dalam fakulti tersebut namun, tiada siapa yang tahu di mana mayatnya disembunyikan! Paeng turut berkenalan dengan Encik Issada, pensyarah anatomi yang mengajar di fakulti tersebut. Melalui Issada, Paeng turut mengenali Doktor Jui, kawan baik Issada. Kehadiran Ratri sebagai teman berbual turut menyenangkan hati Paeng yang sentiasa diselubungi ketakutan. Namun, betulkah cuma roh gadis itu sahaja yang mengejarnya?

Novel ini turut memaparkan pelbagai misteri yang tersembunyi di dalam fakulti perubatan itu. Dendam dan fitnah dua orang kawan rapat akhirnya bertukar menjadi tragedi berdarah. Satu-persatu watak di dalam novel ini mati dalam keadaan yang mengerikan. Namun setiap kematian itu membawa kita ke babak seterusnya. Misteri terungkai satu persatu hingga watak utama novel ini tertipu dengan salah satu helah si jahat yang bertopengkan manusia. Pengakhiran novel ini juga tidak mendukacitakan.

Keseluruhannya, novel ini membuatkan kita terfikir akan lumrah kehidupan manusia yang dipenuhi dengan penipuan, buruk sangka, dan hasad dengki. Melalui novel ini kita boleh melihat bagaimana Paeng tertipu dengan penipuan orang yang disangka 'sahabatnya' hinggakan orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Kesilapan Paeng di masa lalu juga akhirnya memakan diri sendiri apabila dia terkurung keseorangan di dalam dunia di mana tiada siapa dapat menyelamatkannya. 

Teknik penulisan yang digunakan dalam novel ini mudah dan ringkas. Tiada ayat yang terlalu berbunga-bunga. Jalan ceritanya mudah dihayati dan aliran ceritanya mantap.

Bintang: 8/10

Jika anda peminat genre seram dan misteri, saya rekomenkan buku ini kepada anda. Percayalah, anda tidak akan menyesal membacanya!

Sumber gambar: pelangibooks.com

No comments:

Post a Comment