Thursday, 27 July 2017

Catatan Ahli Varia: Belphegor (2)

Aku menjeling ke arah si Katak. Matanya memandang tepat pada filet mignon tadi. Wajah tanpa ekspresinya membuatkan aku sukar meneka apa rancangannya untuk mendapatkan filet mignon itu. Aku menoleh ke sebelah, memandang Mammon yang sedang duduk. ‘Duduk’, bukanlah satu perkataan yang tepat. Mammon sedang terapung di atas kerusi bayinya. Mataku kemudian terarah ke Levi. Sama seperti si Katak Fran, mata Levi juga tajam memandang ke filet mignon tersebut. Aku mencebik. Tidak kiralah apa yang mereka lakukan, filet mignon itu tetap akan menjadi milik aku. Kerana aku seorang putera, bukan orang kebanyakan seperti mereka semua. Shishishishishi~

“Filet mignon ni…” Levi mengucap dengan nada yang rendah. 

“Aku punya!” Mammon menjerit lalu menghalakan tangan kecilnya ke arah pinggan filet mignon. Namun belum sempat Mammon mengambilnya, Levi terlebih dahulu mengeluarkan parabolanya lalu melibas Mammon. 

“Muu!!” jerit bayi malang itu lalu terbang melayang ke luar tingkap. 

Sedang Levi sibuk meraikan kejayaannya menyingkirkan Mammon, si Katak memakai sarung tangan ‘Realiti Ilusi’ miliknya. 

“V..voi Flan! Kau jangan berani nak gunakan senjata di sini!” Si komander berdarah mengugut.

Dengan muka bodohnya, Flan memberitahu, “Ini cuma sarung tangan, komander.”

Ushishishishi~ Aku hanya perlu menikmati tayangan yang sedang berlaku di hadapanku, kerana akhirnya, aku juga yang akan dapat menikmati filet mignon itu nanti.

Squalo mengeluarkan kotak senjatanya lalu memasukkan cincin Hujan ke dalam lubang. Sesaat kemudian, Alo si jerung keluar daripada kotak senjata Squalo lalu menyerang Flan. Untuk mempertahankan diri, Flan mencipta bazooka menggunakan ilusi lalu melepaskan bertubi-tubi tembakan ke arah Alo. 

“Alo, elak!” 

Alo mengelak serangan bazooka Flan. 

“Tch!” dengus si Katak. 

“Hahaha! Sarung tangan kau tu bukannya lawan Alo, Flan! Bersedialah untuk mati!” Si Komander menjerit lebih kuat daripada bunyi tembakan Bazooka. Aku cukup hairan bagaimana peti suaranya boleh bertahan sehingga hari ini.

Si Katak mencebik.

Menggunakan ilusinya, dia mencipta seekor jerung betina. (Jangan tanya bagaimana aku tahu ia jerung betina) Melihat jerung betina itu, pergerakan Alo terhenti. Si Katak menggunakan kesempatan itu dengan mencipta sangkar jerung yang besar, lalu memasukkan jerung betina ciptaannya ke dalam sangkar. Alo mengikuti jerung ilusi itu ke dalamnya dan pang!! Pintu sangkar pun ditutup.

“V…voi! Mengurung binatang di dalam sangkar adalah satu jenayah dalam undang-undang mafia!” pekik si Komander.

“Hohohoho…Squ-chan, itu bukan satu kesalahan jika sangkar itu hanyalah sangkar ilusi…” Lussuria memberitahu.

“Voi Lussuria! Walaupun dicipta menggunakan ilusi, sangkar itu wujud!” 

“Mengikut undang-undang mafia, ilusi dibenarkan. Jadi Flan tidak melakukan kesalahan,” ujar Lussuria.

“Ushishishishishi~ Kau masih mempunyai pedang panjang kau yang hodoh itu, komander.” Aku mengingatkan Squalo.

“Bel! Berani kau cakap pedang aku ni hodoh!” Squalo melibas-libaskan pedangnya di udara. 

Sebilah pisau stik melayang di udara. Ia tepat mengenai belakang kepala si komander. 

“Jangan memekik, sampah!” 

Anak mata merah bos merenung Squalo dengan tajam. 

“V…voi!! Bos tak guna!”

Bos mengeluarkan kedua-dua X-Gun miliknya, lalu menembak bertubi-tubi ke arah Squalo.

“Voii!!!!” Jeritan komander yang cuba mengelak tembakan Bos memenuhi ruangan makan. Jeritan yang bagaikan satu muzik indah itu menjadi melodi di telinga seorang putera sepertiku.

Si Katak mengambil peluang ini. Dia menghasilkan jaring ikan menggunakan ilusi lalu cuba mengaut filet mignon di atas meja. 

“Tsk! Amatur!” ucapku. 

Levi membuka kesemua parabolanya.

“Super Levi Volta!” Levi menjerit kuat. Parabolanya yang disaluti elektrik bervoltan tinggi dipancarkan ke arah Flan.

Si Katak tidak sempat mengelak lalu terbang bersama parabola Levi ke arah dinding, yang kemudiannya turut hancur dipecahkan.

Ushishishishi~ Tiga orang pencabar sudah menemui pengakhiran mereka. Sekarang cuma tinggal aku dan Levi.

Levi memukul-mukul dadanya bagaikan gorila yang terlepas dari zoo. Kemudian dia dengan beraninya menghalakan jari telunjuk ke arahku.

“Bel, tinggal kau seorang lagi!” ujar Levi.

Aku turun dari kerusi lalu berjalan ke arah tingkap.

“Levi,” panggilku.

“Kau nak mengaku kalah, Bel?” soalnya sinis.

Aku mengeluarkan sesuatu dari kot Varia yang kupakai. Melihat apa yang aku keluarkan, peluh segera menitik di dahi Levi. Matanya terbuntang.

“Itu…itu…”

Aku lalu melayangkan apa yang aku keluarkan sebentar tadi ke luar jendela.

“Tidak!!!!” Levi menjerit lalu melompat keluar dari jendela. Barangkali mahu mendapatkan kesemua gambar Bos yang aku buang sebentar tadi.

Dengan itu, Levi turut lenyap daripada pandangan mata.

Ah, aku harap dia mati. Kurang sedikit manusia yang menyesakkan di istana Varia ni. Ushishishishi~ Aku kembali ke meja makan. 

Cuma tinggal aku, Lussuria, dan Bos di situ. Tanganku mengambil filet mignon di atas meja. Selepas memindahkan kesemua filet mignon ke pingganku, aku makan seperti biasa. Kerana aku seorang putera.

Pak! Pintu ruang makan dibuka.

Aku dan Lussuria tergamam. Mataku membesar sebaik melihat kelibat yang berjalan masuk ke dalam.

Bos? Tapi macam mana?

Aku memandang tempat duduk Bos. ‘Bos’ yang duduk di situ sudah hilang.

“Kufufufufu~” 

Mataku terarah pada wajah seseorang di tepi tingkap tempat Levi melompat tadi. 

Rokudo Mukuro dengan rambut nanasnya tersenyum lebar ke arah aku dan Lussuria.

“Terima kasih untuk filet mignon yang sedap tu. Arrivederci. ” ujar Mukuro sebelum melompat keluar.

Aku menelan liur. Perlahan-lahan aku memusing kepala ke belakang. Bos sedang memandang aku dan Lussuria dengan renungan mata yang bisa membunuh.

“B…bos…filet mignon…saya boleh jelaskan…” Suara Lussuria terketar-ketar.

Bos mengeluarkan kotak senjatanya.

Dan dengan itu, sekali lagi istana Varia meletup untuk bulan ini.

No comments:

Post a Comment