Aku menjeling ke arah
si Katak. Matanya memandang tepat pada filet
mignon tadi. Wajah tanpa ekspresinya membuatkan aku sukar meneka apa rancangannya
untuk mendapatkan filet mignon itu.
Aku menoleh ke sebelah, memandang Mammon yang sedang duduk. ‘Duduk’, bukanlah
satu perkataan yang tepat. Mammon sedang terapung di atas kerusi bayinya.
Mataku kemudian terarah ke Levi. Sama seperti si Katak Fran, mata Levi juga
tajam memandang ke filet mignon
tersebut. Aku mencebik. Tidak kiralah apa yang mereka lakukan, filet mignon itu tetap akan menjadi
milik aku. Kerana aku seorang putera, bukan orang kebanyakan seperti mereka
semua. Shishishishishi~
“Filet mignon ni…” Levi
mengucap dengan nada yang rendah.
“Aku punya!” Mammon
menjerit lalu menghalakan tangan kecilnya ke arah pinggan filet mignon. Namun belum sempat Mammon mengambilnya, Levi terlebih
dahulu mengeluarkan parabolanya lalu melibas Mammon.
“Muu!!” jerit bayi
malang itu lalu terbang melayang ke luar tingkap.
Sedang Levi sibuk
meraikan kejayaannya menyingkirkan Mammon, si Katak memakai sarung tangan
‘Realiti Ilusi’ miliknya.
“V..voi Flan! Kau
jangan berani nak gunakan senjata di sini!” Si komander berdarah mengugut.
Dengan muka bodohnya,
Flan memberitahu, “Ini cuma sarung tangan, komander.”
Ushishishishi~ Aku hanya perlu menikmati tayangan yang sedang
berlaku di hadapanku, kerana akhirnya, aku juga yang akan dapat menikmati filet mignon itu nanti.
Squalo mengeluarkan
kotak senjatanya lalu memasukkan cincin Hujan ke dalam lubang. Sesaat kemudian,
Alo si jerung keluar daripada kotak senjata Squalo lalu menyerang Flan. Untuk
mempertahankan diri, Flan mencipta bazooka menggunakan ilusi lalu melepaskan
bertubi-tubi tembakan ke arah Alo.
“Alo, elak!”
Alo mengelak serangan
bazooka Flan.
“Tch!” dengus si Katak.
“Hahaha! Sarung tangan
kau tu bukannya lawan Alo, Flan! Bersedialah untuk mati!” Si Komander menjerit
lebih kuat daripada bunyi tembakan Bazooka. Aku cukup hairan bagaimana peti
suaranya boleh bertahan sehingga hari ini.
Si Katak mencebik.
Menggunakan ilusinya,
dia mencipta seekor jerung betina. (Jangan tanya bagaimana aku tahu ia jerung
betina) Melihat jerung betina itu, pergerakan Alo terhenti. Si Katak
menggunakan kesempatan itu dengan mencipta sangkar jerung yang besar, lalu
memasukkan jerung betina ciptaannya ke dalam sangkar. Alo mengikuti jerung
ilusi itu ke dalamnya dan pang!! Pintu sangkar pun ditutup.
“V…voi! Mengurung
binatang di dalam sangkar adalah satu jenayah dalam undang-undang mafia!” pekik
si Komander.
“Hohohoho…Squ-chan, itu
bukan satu kesalahan jika sangkar itu hanyalah sangkar ilusi…” Lussuria
memberitahu.
“Voi Lussuria! Walaupun
dicipta menggunakan ilusi, sangkar itu wujud!”
“Mengikut undang-undang
mafia, ilusi dibenarkan. Jadi Flan tidak melakukan kesalahan,” ujar Lussuria.
“Ushishishishishi~ Kau
masih mempunyai pedang panjang kau yang hodoh itu, komander.” Aku mengingatkan
Squalo.
“Bel! Berani kau cakap
pedang aku ni hodoh!” Squalo melibas-libaskan pedangnya di udara.
Sebilah pisau stik
melayang di udara. Ia tepat mengenai belakang kepala si komander.
“Jangan memekik,
sampah!”
Anak mata merah bos
merenung Squalo dengan tajam.
“V…voi!! Bos tak guna!”
Bos mengeluarkan
kedua-dua X-Gun miliknya, lalu menembak bertubi-tubi ke arah Squalo.
“Voii!!!!” Jeritan
komander yang cuba mengelak tembakan Bos memenuhi ruangan makan. Jeritan yang
bagaikan satu muzik indah itu menjadi melodi di telinga seorang putera
sepertiku.
Si Katak mengambil
peluang ini. Dia menghasilkan jaring ikan menggunakan ilusi lalu cuba mengaut filet mignon di atas meja.
“Tsk! Amatur!” ucapku.
Levi membuka kesemua parabolanya.
“Super Levi Volta!”
Levi menjerit kuat. Parabolanya yang disaluti elektrik bervoltan tinggi
dipancarkan ke arah Flan.
Si Katak tidak sempat
mengelak lalu terbang bersama parabola Levi ke arah dinding, yang kemudiannya
turut hancur dipecahkan.
Ushishishishi~ Tiga
orang pencabar sudah menemui pengakhiran mereka. Sekarang cuma tinggal aku dan
Levi.
Levi memukul-mukul
dadanya bagaikan gorila yang terlepas dari zoo. Kemudian dia dengan beraninya
menghalakan jari telunjuk ke arahku.
“Bel, tinggal kau
seorang lagi!” ujar Levi.
Aku turun dari kerusi
lalu berjalan ke arah tingkap.
“Levi,” panggilku.
“Kau nak mengaku kalah,
Bel?” soalnya sinis.
Aku mengeluarkan
sesuatu dari kot Varia yang kupakai. Melihat apa yang aku keluarkan, peluh segera
menitik di dahi Levi. Matanya terbuntang.
“Itu…itu…”
Aku lalu melayangkan
apa yang aku keluarkan sebentar tadi ke luar jendela.
“Tidak!!!!” Levi
menjerit lalu melompat keluar dari jendela. Barangkali mahu mendapatkan kesemua
gambar Bos yang aku buang sebentar tadi.
Dengan itu, Levi turut
lenyap daripada pandangan mata.
Ah, aku harap dia mati.
Kurang sedikit manusia yang menyesakkan di istana Varia ni. Ushishishishi~ Aku kembali ke meja
makan.
Cuma tinggal aku,
Lussuria, dan Bos di situ. Tanganku mengambil filet mignon di atas meja. Selepas memindahkan kesemua filet mignon ke pingganku, aku makan
seperti biasa. Kerana aku seorang putera.
Pak! Pintu ruang makan dibuka.
Aku dan Lussuria
tergamam. Mataku membesar sebaik melihat kelibat yang berjalan masuk ke dalam.
Bos? Tapi macam mana?
Aku memandang tempat
duduk Bos. ‘Bos’ yang duduk di situ sudah hilang.
“Kufufufufu~”
Mataku terarah pada
wajah seseorang di tepi tingkap tempat Levi melompat tadi.
Rokudo Mukuro dengan
rambut nanasnya tersenyum lebar ke arah aku dan Lussuria.
“Terima kasih untuk filet mignon yang sedap tu. Arrivederci. ” ujar Mukuro sebelum
melompat keluar.
Aku menelan liur.
Perlahan-lahan aku memusing kepala ke belakang. Bos sedang memandang aku dan
Lussuria dengan renungan mata yang bisa membunuh.
“B…bos…filet mignon…saya boleh jelaskan…” Suara
Lussuria terketar-ketar.
Bos mengeluarkan kotak
senjatanya.
Dan dengan itu, sekali
lagi istana Varia meletup untuk bulan ini.