Zachary
membuka matanya perlahan-lahan. Keadaan sekeliling yang gelap-gelita
menyukarkannya melihat apa-apa. Lantas dengan cepat dia membangunkan diri
daripada pembaringan. Tangannya menggosok mata berkali-kali.
“Urgh...”
Zachary mengerang perlahan sambil mengurut-urut belakang kepalanya yang sakit. ‘Apa yang terjadi? Di mana aku berada
sekarang?’ Soalnya dalam hati.
“Dah
bangun?”
Zachary
membulatkan mata, terkejut. Spontan kepalanya berpusing ke kiri dan ke kanan,
mencari punca suara tadi.
“Siapa
tu? Tunjukkan diri kau!” arah Zachary. Suara tadi ketawa terkekeh-kekeh.
Nyaring sungguh bunyinya hingga membuatkan bulu roma Zachary meremang.
Peluh
dingin membasahi dahi Zachary. Semakin lama, suara ketawa tersebut semakin
hampir dengannya. Kali ini,
suara ketawa tersebut terdengar di sebelah kanannya. Zachary memalingkan kepala
mengikuti suara tadi. “Kau jangan cabar aku!” ugutnya.
Namun
sia-sia sahaja usaha Zachary untuk mencari si pemilik suara kerana keadaan
gelap di situ membataskan penglihatan.
“Kehkehkehkehkeh...”
suara itu ketawa nyaring. Lama kelamaan, suara yang nyaring tadi berubah kepada
suara kanak-kanak.
Zachary
terkedu. Suara ketawa kanak-kanak tersebut cukup dikenali. Manakan tidak, suara
itu sama seperti suara anak perempuannya, Anna.
“A-Anna?”
soal Zachary.
Tiba-tiba,
suara ketawa tadi berhenti. Suasana yang gelap bertukar terang dalam sekelip
mata. Zachary memerhatikan keadaan sekelilingnya. Patung, patung, dan lebih
banyak patung dalam posisi duduk mengelilinginya di dalam bilik bercat warna
merah dan putih. Mata kesemua patung tajam merenung ke arahnya, seolah-olah
menagih sesuatu daripada Zachary. Ada di antara patung-patung tersebut sudah
hilang bahagian kepala, ada yang hilang sebelah kaki, ada yang hilang tangan,
dan ada juga yang bahagian kepalanya terkopak sehingga menampakkan isinya.
Zachary
menelan liur. Suasana perlahan-lahan bertukar dingin. Segera Zachary memeluk
erat tubuhnya yang sasa. Dingin yang dirasai mencucuk sehingga ke
tulang-temulang.
“A...a..yah...”
sayup-sayup kedengaran satu suara di sebalik dingin.
“Anna!”
laung Zachary. Badannya berpusing-pusing, mencari punca suara tadi. “Anna!” laungnya
sekali lagi, dengan harapan agar Anna tahu di mana dia berada dan bisa mencarinya.
Namun apa yang Zachary lihat cumalah patung-patung yang mengerikan. Kelibat
Anna langsung tidak kelihatan di mana-mana.
Zachary
semakin kalut. Bilik kecil bulat bercat merah dan putih itu bagaikan neraka
buatnya. Mata Zachary sekarang sibuk mencari pintu keluar. Mungkin juga Anna
berada di luar sana, memanggil dari bahagian luar bilik.
‘Tiada! Tiada
pintu keluar di sini! Tak mungkin!’
Dengan
pantas Zachary meluru ke salah satu dinding bilik. Tangannya meraba-raba
dinding bilik, dari satu bahagian, ke bahagian yang lain. Patung-patung yang
sedang duduk di sekeliling bilik dipijak-pijak. Lagaknya sudah macam orang
kurang waras, tapi itu semua tidak penting lagi. Dia cuma mahu keluar dan
mencari Anna dengan cepat.
“Anna!
Anna!” laung Zachary, panik. Nafasnya turun naik dengan pantas. Bagaikan orang hilang
akal, tangannya meraba-raba dinding bilik sambil kakinya memijak-mijak patung
di sepanjang laluannya. “Anna...Anna...ayah di sini!” teriaknya.
Badannya
hilang imbangan tatkala kakinya tersadung salah satu patung beruang besar di hadapannya.
Zachary mendarat di atas timbunan patung-patung tanpa kepala.
“A..yah...”
Suara Anna kedengaran lagi. Zachary bingkas bangun.
“Anna!
Anna kat mana? Ayah di sini, Anna!”
Mata
Zachary meneliti setiap ruangan bilik.
“Anna!”
laung Zachary.
“Ayah...”
panggil suara itu lagi, kali ini semakin lemah.
Zachary
tersentak. Suara Anna...
Perlahan-lahan, dia mendongakkan kepalanya ke atas.
“An...na?”
Zachary menyoal bagaikan tidak percaya. Raut wajahnya bertukar pucat tatkala
terpandangkan tubuh kecil Anna yang digantung dengan tali daripada siling bilik
yang berketinggian kira-kira 15 meter dari paras lantai. Resah dan takut
mencengkam diri Zachary. Bagaimana mereka berdua boleh berada dalam keadaan
sekarang ini?
Zachary memandang keempat-empat tali merah
yang mengikat kedua-dua pergelangan tangan dan kaki Anna. Tali tersebut
kesemuanya bersambung ke bahagian siling bilik. Sekiranya keempat-empat tali
putus, tubuh Anna akan jatuh ke atas lantai. Memikirkannya sahaja sudah cukup
membuatkan Zachary sendiri berasa gerun.
Apa
salah dia pada mereka sehingga mereka buat Anna seperti itu? Apa sebenarnya
yang mereka mahukan daripada dia? Siapa mereka? Kenapa mereka bawa dia dan Anna
ke tempat ini? Mindanya terus diasak oleh pelbagai persoalan.
“A...yah…”
panggil Anna, lemah. Anak mata hitamnya memandang Zachary yang berada di bawah.
Suara Anna mengembalikan Zachary ke dunia realiti.
“Anna!
Tunggu ayah, Anna! Ayah akan selamatkan Anna!” jerit Zachary dengan kuat. Perlahan-lahan,
Anna mengukir senyuman. Air matanya mengalir ke pipi.
Zachary
meneliti keempat-empat tali yang mengikat Anna. Muncul satu idea di mindanya.
Apa kata dia tunggu sahaja keempat-empat tali itu putus dan kemudian menyambut
tubuh Anna sebelum ia jatuh mencecah lantai. Dengan ini, Anna akan terselamat.
Tapi bagaimana? Takkanlah dia biarkan sahaja Anna tergantung di atas situ? Pasti Anna ketakutan sekarang ini.
“Huh?”
Satu
anak panah menembusi rusuk kiri Anna dari arah hadapan. Darah mengalir keluar
dengan deras daripada luka anak panah.
“Uhuk...uhuk...”
Anna membatuk keluar darah dari dalam mulutnya. Zachary yang melihat segala-gala
yang berlaku terpaku. Terketar-ketar tangan kanannya dihalakan ke arah Anna
yang tergantung di atas, seolah-olah ingin memberitahu Anna untuk tidak
menangis, untuk memberitahu Anna yang dia ada bersamanya.
“Anna...Anna...”
panggilnya perlahan. Air matanya jatuh bercucuran. “Anna...” panggilnya lagi.
“A..ya..h”
Darah keluar dengan banyak daripada mulut Anna.
Zachary
memusingkan-musingkan badannya sambil matanya memerhatikan dinding bahagian
atas bilik tersebut untuk mencari orang yang melepaskan anak panah ke arah
Anna.
“Jahanam!
Jahanam! Lepaskan anak aku! Aku bunuh kau!” teriaknya kuat sehingga menampakkan
urat-urat lehernya. “Keluarlah, pengecut!!”
Sedang
Zachary leka memandang ke belakang, keempat-empat tali merah yang menyokong
badan Anna putus. Bagaikan patung, tubuh Anna jatuh ke atas lantai. Bunyi
hentakan yang kuat mengejutkan Zachary. Dia segera berpusing ke belakang.
Hampir
terbeliak mata Zachary melihat tubuh Anna terkulai tidak bernyawa dalam posisi
yang mengerikan. Badan Anna dalam posisi meniarap, tangan kanannya terpulas ke
tepi, mukanya memandang ke arah kanan, kedua-dua kakinya patah dan matanya
bagaikan hendak tersembul keluar, memandang tepat ke arah Zachary. Darah merah
daripada luka tusukan kini sudah pun bercampur dengan luka hentakan di bahagian
kepala. Rambut panjang paras pinggang Anna tenggelam dalam lautan merah pekat
darah.
Tubuh
Zachary menggigil. Satu-satu anak yang dimilikinya kini terkulai tidak bernyawa
di hadapannya. Dengan langkah tehuyung-hayang, dia mendekati tubuh Anna.
“Anna...Anna...”
ucapnya. Zachary duduk berlutut di sebelah mayat Anna. Air matanya mengalir
deras. “Anna...bangunlah...tolong...Anna..” rayunya dalam tangisan. Zachary
memusingkan badan Anna dan memangku tubuh kecil itu. Air matanya menitik ke
pipi Anna. “Anna...Anna...”
Kenangan
bersama Anna menari-nari di ingatannya. Senyuman gembira Anna tatkala melihat
dia kembali daripada kerja, tangisan Anna setiap kali mereka melawat kubur
isterinya, dan tawa Anna setiap kali mereka berdua menonton rancangan kartun
kegemaran Anna bersama. Semuanya masih jelas dalam ingatannya.
“Anna!!!”
*****
“Aku
boleh tunaikan permintaan kau untuk dapatkan duit yang banyak, tapi sebagai
balasan, aku akan ambil sesuatu daripada hidup kau,” ujar lelaki berambut
coklat di hadapannya.
Zachary
berfikir sejenak sebelum menyoal. “Apa yang kau nak daripada aku?”
“Itu
rahsia. Tuan aku mahukan hiburan. Dan tugas aku ialah menghiburkan hati dia,”
ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum sinis.
Zachary
tidak ada pilihan. Anna menghidap sakit jantung sejak dia dilahirkan. Untuk
membiayai kos perubatan Anna, pelbagai cara dilakukan Zachary, hingga akhirnya
dia menjual rumahnya dan kini menyewa sebuah rumah kayu kecil. Zachary sudah
pun kehilangan isterinya, Marie, dalam kemalangan 3 tahun yang lalu. Dia tidak
mahu kehilangan Anna pula.
Anna
perlu dibedah segera, jika tidak, Anna tidak mungkin dapat hidup sehingga hari
lahirnya yang keenam. Sekarang, usia Anna sudah pun memasuki 5 tahun.
Zachary tahu, lelaki
di hadapannya ini bukannya orang biasa. Mungkin juga dia bukan manusia. Lelaki
itu pernah muncul dalam mimpinya beberapa kali, dan sekarang, dia benar-benar
berada di depan mata, sambil menawarkan sesuatu yang sukar ditolak oleh Zachary.
Zachary ragu-ragu. Tapi, demi Anna...demi Anna.
Zachary menghela
nafas panjang. Dia sudah nekad. Demi Anna, dia sanggup lakukan apa sahaja,
termasuklah mati, jika itulah hiburan yang dimahukan oleh lelaki di hadapannya.
Lelaki itu tersenyum. Selama dia menjalankan tugasnya, tidak pernah ada orang
yang menolak tawarannya. Dia tahu, Zachary juga turut tidak terlepas.
“Baik, aku terima
tawaran kau,” ujar Zachary.
“Permintaan kau
dikabulkan. Aku akan datang kembali untuk ambil sesuatu milik kau 5 tahun
kemudian. Sekarang, bersuka-rialah dengan harta baru kau, wahai manusia.”
Sebaik sahaja mengucapkan ayat terakhirya, lelaki itu hilang begitu sahaja.
Zachary terpaku.
*****
“Adakah hiburan
sebentar tadi memenuhi selera tuan?” soal seorang lelaki berambut coklat.
“Kau terlalu
lembut kali ini, Gille. Kau patut biarkan Zachary tu merana lagi. Misalnya,
biarkan anak perempuan dia menderita lebih banyak, sebelum putuskan tali tadi.”
jawab seorang lelaki bermata merah. Dia sedang duduk menongkat dagu di atas
sebuah kerusi berwarna emas. “Tapi tak apa, kita ada banyak masa lagi, Gille.
Masih ada banyak manusia lagi yang terdesak di dunia ini. Kita akan sentiasa
dihiburkan dengan ratapan dan raungan sedih mereka.” Si lelaki bermata merah
mengukir senyuman. “Hiburan seterusnya akan bermula tak lama lagi. Sediakan
pentasnya, Gille.”
“Baik, Tuan Biernacki.”