Sunday, 14 May 2017

Sasha & Misha: Episod 2

Mikhail: Oh Sasha, sahabat lamaku. Sudah lama kita tidak berjumpa.

Alexander: Sebenarnya cuma 9 minggu yang lalu.

Mikhail: Ya, ya. Apa khabar kau sekarang?

Alexander: Sihat. Cuma krim yang kau sarankan itu langsung tidak mengurangkan kedutan di wajah.

Mikhail: *menunjukkan reaksi hampir mati akibat terlalu terkejut* Ya ke? Oh Sasha, aku terlupa memberitahu sesuatu kepadamu.

Alexander: Apa dia, Misha?

Mikhail: Sebenarnya, di samping menggunakan krim tersebut tanpa henti, aku turut mengamalkan jus Khitryy. Fungsinya ialah untuk membersihkan usus; membersihkan kerak-kerak yang melekat pada dinding usus. Usus yang bersih membuatkan kita sihat dan membantu kita nampak 30 tahun lebih muda.

Alexander: Di mana aku boleh mendapatkan jus tersebut?

Mikhail: D. 52, Jalan Govno. Dijual oleh seorang nenek yang memakai topi merah. Untuk pengetahuanmu, nenek itu sebenarnya berusia 105 tahun. Tapi kerana mengamalkan meminum jus Khitryy yang diperbuat daripada campuran 100 buah-buahan tempatan, dia kelihatan 75 tahun lebih muda daripada usia asalnya.

Alexander: WOW! Jika begitu, aku harus pergi mendapatkan jus tersebut!

Maka Sasha pun meminta diri daripada Misha untuk ke alamat yang diberikan. Misha tersenyum licik. Wanita yang menjual jus Khitryy itu ialah adik perempuannya, Masha. Misha lalu menelefon adiknya.

Mikhail: Adikku Masha, sebentar lagi ada pelanggan datang. Jangan lupa pakai baju lama moyang kita dan topi merahnya.

Maria: Baik, abang.

Misha memasukkan telefon bimbit di dalam poket seluar. Kemudian dia mengeluarkan botol ubat yang berlabel ‘Botox’ dan sebatang picagari.

Mikhail: Ah Sasha. Mana mungkin kita dapat menjadi muda dengan hanya meminum jus yang berharga 200 ruble. Aku sendiri terpaksa menghabiskan 200,000 ruble untuk awet muda. Sekali lagi kau aku tipu, sahabatku!


Tuesday, 2 May 2017

Sasha & Misha: Episod 1

Mikhail: Lama tak jumpa, Sasha.

Alexander: Sahabatku Misha, kau kelihatan semakin muda. Apa rahsianya?

Mikhail: Aku menggunakan krim anti kedut jenama Durak yang dijual di tepi jalan, di sebelah kedai makan Nemoy.

Maka Sasha pun pergi membeli ubat anti kedut tersebut.

Selepas empat minggu...

Alexander: Misha sahabatku, aku sudah menggunakan krim Durak tersebut namun kedutan di wajahku masih jelas terlihat.

Mikhail: Oh, kau harus menggunakan seluruh set krim tersebut. Krim malam Debil night, krim siang Kretin day, toner Gluppy, dan pencuci wajah natural Zloy.

Alexander: Oh begitu ya. Nanti aku akan dapatkan semuanya.

Dan Sasha pun pergi mendapatkan set krim Durak. Misha tersenyum licik. Dia ialah founder krim jenama Durak. Namun dia sendiri tidak menggunakan krim tersebut. Misha mengeluarkan krim jenama Umnaya daripada poket seluarnya.

Mikhail: Ah, Umnaya cinta hatiku yang berharga 10,000 ruble. Ya lyublyu tebya.