Friday, 29 July 2016

Perjanjian: Bab 3


“Pat..Patryk akan sayangkan aku…?” soal Felicyta bagaikan tidak percaya. Jika ia benar-benar berlaku, maka impiannya selama ini akan menjadi kenyataan. Tapi, apa yang gadis di hadapannya ini maksudkan dengan perjanjian?
             
Agnieszka melorek senyuman manis. Umpannya sudah hampir mengena.
             
“Ya, Patryk akan sayangkan kau. Itu yang kau mahukan, bukan? Untuk dia memanggil kau sebagai ‘mama’, bukannya ‘mak cik’. Betul tak?” Agnieszka memancing.
             
Felicyta terdiam. Di mindanya sudah mula membayangkan kehidupan yang gembira pada masa hadapan. Kehidupan di mana Patryk menyayanginya sebagai seorang ibu.
             
Dalam sekelip mata, suasana sekeliling yang tadinya gelap, tiba-tiba cerah. Malam bertukar siang. Felicyta kaget. ‘Apa yang berlaku ni?’ Soalnya dalam hati. Lama dia tarpacak di situ, memandang koridor banglo kediamannya. Koridor itu kelihatan bersih dan baru, tidak seperti sebelumnya di mana warna hitam menyelaputi sebahagian besar dinding koridor yang pernah terbakar suatu ketika dahulu.
             
Ini…apa semua ni?’ Felicyta semakin keliru. Gadis yang bernama Agnieszka juga sudah hilang daripada pandangan mata. Felicyta menoleh ke belakang, ingin melihat sama ada orang yang berdiri membelakanginya tadi masih ada di situ. Namun apa yang ada cumalah jendela besar yang terbuka luas. Tiada sesiapa di koridor itu melainkan dia. Felicyta terpaku, cuba menghadam apa yang sedang berlaku di sekelillingnya.
             
Telinganya kemudian menangkap bunyi pintu dibuka dan ditutup di tingkat bawah.
             
“Mama! Saya dah balik!” Laung seseorang dari tingkat bawah.
             
Besar mata Felicyta mendengar suara itu.
             
Patryk!
             
Adakah dia tersalah dengar? Dia dengar Patryk memanggil seseorang dengan gelaran ‘mama’.
             
Dengan debaran yang semakin kuat di dada, Felicyta meluru laju ke tingkat bawah, menuruni anak-anak tangga dengan pantas.
             
“Patryk!” panggilnya. Patryk berdiri tersenyum di sebelah rak kasut.
             
“Selamat pulang anak mama!” ujar satu lagi suara. Langkah Felicyta terhenti. Kepalanya berpaling ke belakang, mencari punca suara itu. Jantungnya hampir gugur tatkala melihat seorang perempuan yang seiras dengannya berjalan sambil tersenyum ke arah Patryk. Perempuan itu turut memakai apron miliknya.
             
Tidak! Itu bukan aku! Felicyta menghalakan pandangan pada Patryk.
             
“Patryk!” panggil Felicyta. Patryk kelihatan seperti tidak mendengar panggilannya. Anak muda itu berlari melintasi Felicyta lalu memeluk perempuan yang seiras Felicyta.
             
“Terima kasih sebab ajar saya subjek Fizik sebelum peperiksaan hari tu, mama. Saya dapat 100 markah!”
             
Perempuan itu memeluk erat tubuh Patryk.
             
“Hebatnya anak mama!”
             
Apa…apa semua ni?
             
“Patryk…” Felicyta memanggil anak tirinya. Dia cuba menyentuh bahu Patryk namun tangannya menembusi tubuh anak muda itu.
             
“Hologram…” ujarnya perlahan. Dia merapatkankan tangan tadi ke dada. ‘Ini semua…masa depan aku ke? Jadi, perempuan tu…aku?
             
Patryk dan perempuan itu kemudian melepaskan dakapan masing-masing.
             
“Hari ni mama masak sedap tau. Mari masuk,” ajak perempuan itu.
             
“Wah, hebatlah mama ni…” puji Patryk.
             
Mata Felicyta mengikuti pergerakan perempuan itu dan Patryk. Mereka berdua berjalan seiringan menuju ke ruang makan. Felicyta cuma mengekori mereka dari belakang.
             
Meja makan di ruang makan dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan. Semua makanan yang terhidang ialah makanan kegemaran Patryk. Hampir sahaja air mata Felicyta tumpah mengenangkan keadaan hidupnya dengan Patryk sekarang. Dia hanya mampu menyediakan sup dan roti sahaja setiap hari memandangkan keadaan keluarga mereka yang miskin. Tapi di hadapannya, Patryk sedang makan dengan bahagia dan gembira. Felicyta terharu. Dia tidak pernah melihat Patryk senyum sebegitu sekali.
            
“Mama…” dia melihat senyuman manis Patryk tatkala memanggil perempuan itu.
             
“Mama…saya nak tambah lagi, boleh?” soal Patryk sambil memberikan perempuan itu mangkuk sup yang kosong.
             
“Boleh..” Perempuan itu bangun lalu melangkah masuk ke dapur.
             
“Ya, itulah dia, Felicyta. Itulah kehidupan masa hadapan kau jika kau ambil tawaran aku…” Agnieszka membisik kepadanya.
             
“Ya…mungkin aku patut terima tawaran kau…” ucap Felicyta perlahan. Air matanya menitis ke pipi. “Mungkin…” Felicyta terjelepok di atas lantai. Air matanya semakin deras mengalir. “Patryk…” ucap Felicyta perlahan, sebelum seluruh tubuhnya rebah menyembah lantai.

*****
             
Felicyta membuka mata. Pandangan yang mulanya kabur semakin lama semakin jelas. Dia menggosok-gosok matanya lalu bangun perlahan-lahan. Bagaikan patung, dia kaku seketika.
             
Koridor? Macam mana aku boleh tidur di koridor?’ Soalnya dalam hati tatkala matanya menyoroti segenap ruangan koridor tingkat dua banglo usang itu.
             
Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. ‘Patryk! Patryk perlu pergi ke sekolah hari ini! Aku belum masak lagi!’ Matanya memandang jam dinding yang tergantung di koridor. ‘Pukul 9.30? Alamak!
             
Felicyta berlari ke bilik Patryk. Tangannya memutar tombol pintu dengan segera. Dia masuk ke dalam bilik anak tirinya.
             
“Patryk!” Dia memanggil. Tiada sahutan diberi.
             
Matanya meliar mencari kelibat Patryk di segenap ruangan bilik tersebut. Namun, Patryk tidak kelihatan di mana-mana. Felicyta mengeluh berat. Pastinya Patryk sudah pergi ke sekolah memandangkan sekarang sudah pukul 9.30. Dengan langkah yang perlahan, Felicyta merapati katil anak tirinya. Punggung dilabuhkan di atas tilam.
             
Balu muda itu merebahkan tubuh ke tilam Patryk. Dia memejam mata sambil cuba mengingati kembali kejadian semalam. Kejadian di mana dia menemui gadis aneh yang mengatakan dia mampu memakbulkan hajat di hati.
             
Adakah itu cuma satu mimpi? Jika ia cuma mimpi, bagaimana pula dia boleh tertidur di koridor? Seingatnya, dia tidur di dalam biliknya sendiri. Adakah dia berjalan semasa tidur?
             
Felicyta mencelikkan mata. Jika benar apa yang dilihatnya itu hanya sebuah mimpi, dia rela tidur selama-lamanya, agar mimpi indah itu berterusan. Agar ia tidak berakhir sampai bila-bila. Alangkah indahnya kehidupan seperti itu.
                                                                       
*****
             
Matahari petang di bandar Azurro memancar dengan terik. Tanpa bayu yang menghembus, hangat bahang matahari terasa lebih panas daripada biasa. Patryk mengelap peluh yang menitik di muka. Nafasnya putus-putus akibat terlalu penat. Kakinya terasa lemah. Perjalanan pulang ke rumah hari ini dirasakannya begitu jauh.
             
Kerana terlalu letih, Patryk  menyandarkan bahunya pada tembok batu. Beberapa minit lagi dia akan tiba di rumah namun, kakinya bagaikan sudah tidak boleh meneruskan perjalanan lagi. Patryk akhirnya terduduk di atas bahu jalan. Peluh di dahi dikesat. Remaja itu cuba bangun namun kakinya terlalu lemah untuk berdiri.
             
“Tak guna…” marah Patryk pada diri sendiri.
             
Tangan Patryk memegang tembok batu untuk sokongan. Dia cuba berdiri sekali lagi. Usahanya berhasil. Perlahan-lahan, dia menggerakkan kakinya ke hadapan.
             
Kenapa aku penat sangat hari ini? Tak guna betul!’ Patryk memaki dalam hati.
             
Perjalanan diteruskan walaupun perlahan. 20 minit kemudian, Patryk tiba juga di perkarangan rumahnya.
             
Sebaik sahaja Patryk menolak daun pintu rumah, dia rebah ke atas lantai.
             
“Aduh!” erangnya dalam kesakitan. “Kaki aku…”  Tiba-tiba sahaja kakinya terasa kebas. Patryk mulai panik. Terasa seperti kakinya bukan miliknya lagi. Lebih teruk, dia tidak dapat merasa apa-apa daripada paras pinggang ke bawah.
             
Muka Patryk dibasahi peluh. Matanya ralit memerhatikan koridor rumah yang gelap. Selalunya ibu tirinya sudah siap sedia menyambut kepulangannya dari sekolah. Namun hari ini kelibat ibu tirinya itu tidak kelihatan.
             
Patryk mengesat-esat peluhnya. Dia memposisikan diri dalam keadaan merangkak namun usahanya sia-sia apabila tubuhnya jatuh ke atas lantai. Anak muda itu tidak mahu berputus asa. Dia mengengsotkan tubuh ke hadapan. “Argghhh…” Patryk mengerang. Lengannya memerah akibat bergesel dengan permukaan lantai yang kasar dan retak.
             
“Mak cik!” laung Patryk. Dia sudah tidak jauh dari bahagian dapur. “Mak cik!” Patryk melaung lagi dengan harapan Felicyta akan keluar dari dapur dan membantunya.
             
Patryk mengengsot dengan lebih cepat. Tiba di gerbang dapur, Patryk terpaku. Dapur tersebut gelap-gelita, tidak seperti biasa. Di mana ibu tirinya itu pergi ketika dia memerlukan pertolongan?
             
“Mak cik…mak cik!!” Patryk menjerit. Nafasnya turun naik. Rasa takut mencengkam segenap inci tubuh. Panik kini mencekik diri. Tanpa disedari, air matanya mengalir ke pipi. “Mak cik!!” jerit Patryk lagi dengan lebih kuat.

*****
             
Felicyta tersedar dari tidur tatkala mendengar suara Patryk. Cepat-cepat dia bangun. Ditoleh kepala ke kiri dan ke kanan namun kelibat anak tirinya itu tidak kelihatan di mana-mana. Felicyta memandang tingkap bilik yang ditutupi langsir. Cahaya matahari petang yang masuk melalui celahan langsir yang bertiupan membuat dia kaget. Hari sudah petang namun dia masih belum masak apa-apa untuk makan tengahari lagi. Bagaimana jika Patryk kini sedang dalam perjalanan balik dari sekolah?
             
Felicyta cepat-cepat keluar dari bilik Patryk. Dalam kelam kabut itu, telinganya menangkap bunyi benda jatuh di belakangnya. Dia segera menoleh ke belakang. Sebuah anak patung beruang tanpa kaki terkulai di atas lantai. Perlahan-lahan, Felicyta merapati patung beruang tersebut. Tajam dan dingin, itulah pandangan yang diberikan oleh mata patung beruang itu kepadanya. Ketika Felicyta mahu duduk berlutut untuk mengambil patung beruang itu, satu laungan dari tingkat bawah menghentikannya.
             
“Mak cik!!”
             
Terdengar suara Patryk memanggilnya. Lantas Felicyta berpusing lalu berlari melintasi satu-persatu pintu di koridor. Anak-anak tangga di hujung koridor dituruni dengan pantas.
             
“Patryk!” Felicyta memanggil.
             
“Mak cik…” Suara Patryk terdengar lemah.
             
“Patryk!” jerit Felicyta sebaik sahaja melihat Patryk terbaring lemah di gerbang dapur. Balu muda itu segera mendapatkan anak tirinya. “Kenapa ni, Patryk?” soal Felicyta dengan rasa cemas. Dia memangku kepala Patryk.
             
“Kaki saya…kaki saya…” Patryk berkata perlahan.
             
“Kaki kamu?” Felicyta memandang kaki Patryk. Dia kemudian memandang wajah Patryk kembali. “Kenapa dengan kaki kamu?” soalnya gusar.
             
“Kaki saya…tak dapat bergerak…” jawab Patryk perlahan sebelum menutup mata.
             
“Patryk!”

*****
             
Agnieszka mengambil patung beruang tanpa kaki yang terkulai di atas lantai. Matanya merenung mata patung beruang tersebut. Darahnya tiba-tiba menyirap.
             
Dengan jari-jemarinya yang runcing, Agnieszka mengoyakkan patung beruang tersebut. Patung beruang yang kini terkoyak dua dijatuhkan kembali ke atas lantai. Sebaik sahaja tubuh patung beruang itu mencecah lantai, ia tiba-tiba lenyap. Di bahagian lantai tempat patung beruang tadi jatuh, muncul satu simbol berbentuk bulat dengan beberapa simbol segi tiga lain di dalamnya.
             
Agnieszka mengetap bibirnya kuat. Marah di hati kini membuak.
             
“Biernacki…” nama itu meniti di bibir. “Biernacki…berani kau…aku takkan maafkan. Takkan maafkan!”