Monday, 3 November 2014

Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas


Tajuk: Bukan Kerana Allah Aku Jadi Pengganas

Tajuk Asal: Demi Allah Aku Jadi Teroris

Penulis: Damien Dematra 

Muka surat: 374

Sinopsis: Benarkah kerana Allah, Kemala, seorang gadis penari, 'meluahkan kebenaran' dengan memikul senjata....mengubahnya daripada lembut kepada kejam, daripada cinta kepada benci....? Novel ini menyedarkan kita bahawa kesucian agama sebenarnya dicemarkan oleh segelintir pengganutnya sendiri yang menghalalkan keganasan atas nama Tuhan...
*sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan Saya: Buku ini benar-benar membuka minda saya. Ia membuatkan saya berfikir bagaimana manusia menyalahkan agama atas segala kehancuran yang terjadi di muka bumi ini sedangkan manusia itu sendiri yang tidak memahami apa yang terkandung dalam agamanya. Agama tidak pernah salah tetapi manusia itu yang salah mentafsir agamanya. Sama seperti golongan-golongan ekstremis yang ada dalam buku ini, mereka melihat dunia dalam hitam dan putih. Sama ada 'mereka' atau 'bukan mereka'. Mereka menghalalkan darah orang yang 'bukan mereka' dan menggunakan orang-orang yang mereka perdayakan untuk membuat pekerjaan-pekerjaan kotor mereka.

Apa yang saya cukup sukai tentang buku ini ialah bagaimana dua orang watak dengan masa silam yang perit, dipengaruhi oleh kenangan masa silam sepanjang mereka membesar. Orang kata jika kita dibesarkan dalam suasana yang teruk sekali pun, kita boleh membuat pilihan untuk menjadi baik atau jahat. Ya, Prakasa membesar sebagai seorang yang dingin, dengan keazaman untuk membanteras keganasan yang tinggi. Hati Prakasa tidak punya rasa cinta. Namun kemunculan Kemala sebagai seorang suspek yang ingin meletupkan Bistro Americana itu menggoyahkan perasaannya. Gadis itu memiliki 1001 misteri. Apa yang membuatkan Kemala jadi seperti itu? Prakasa ingin tahu.

Kemala dilahirkan dalam keluarga yang tidak sempurna, sejak kecil lagi dia sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Dia juga tidak pernah merasa kasih sayang seorang bapa. Tapi dia tahu, mereka berdua menyayanginya. Ditatang bagai minyak yang penuh oleh kawan rapat ibunya, Kemala rasa bahagia. Itu sudah mencukupi baginya. Tapi dia tidak tahu. Takdir Tuhan tidak bisa dilawan. Makcik kesayangannya pergi menemui ilahi, meninggalkan Kemala sebatang kara. Kemala meneruskan pengajiannya seperti biasa, namun kali ini, hatinya kosong. Dalam usaha mengisi kekosongan tersebut, Kemala tersilap langkah. Dia terpedaya sehingga kehidupannya porak-peranda. Dia diperguna oleh ahli-ahli kumpulan ekstremis tersebut, hinggalah suatu hari dia bertemu Prakasa. Walau di hati terdetik cinta buat lelaki yang dingin itu, tetapi Kemala tidak mahu melalui kehidupan yang memeritkan di dunia ini lagi. Kemala mahu masuk syurga! Ini ialah jihad baginya. Apa yang ingin dilakukannya ini ialah jihad melawan orang kafir! Syurga sedang menantinya!

Penamat buku ini langsung tidak mengecewakan. Bagi saya, Prakasa dan Kemala memang selayaknya mendapat kehidupan yang mereka mahukan dan berbahagia bersama selama-lamanya.

Bintang: 10/10 

Sumber gambar: pelangibooks.com

Monday, 27 October 2014

Untukmu Segalanya


Tajuk: Untukmu Segalanya

Penulis: Norhayati Berahim

Muka surat: 435

Sinopsis: Hidup ini agak aneh, apabila kita menyintai seseorang, orang itu kadangkala tidak menyukai kita.

Namun apabila orang itu sudah mula menyukai kita. Kita pula sudah tidak ada rasa. Begitulah yang terjadi dengan Atia. Cintanya diperlekehkan oleh Azali, hatinya kecewa dan lara. Diubati sendiri sehingga hatinya kehabisan rasa cinta.

Namun apabila cinta itu pergi, Azali datang menagih cinta. Mampukah dia memberi sedangkan cinta itu sudah tiada lagi?
*sinopsis diambil daripada mphonline.com

Ulasan Saya: *Berhati-hati dengan spoiler*

Inilah kali pertama saya membaca cerita di mana salah satu watak utamanya ialah lelaki lembut. Jalan cerita novel ini agak berulang-ulang dengan dialog yang agak klise terutamanya jika ia melibatkan perbualan di antara Azali dan Atia. Cinta 3 segi di antara Azali, Atia, dan Nicky saya rasa seolah-olah tidak menjadi. Atia sendiri sebenarnya tidak pasti dengan perasaannya terhadap Nicky sehinggalah Nicky disahkan sakit dan dikatakan ada beberapa bulan sahaja untuk hidup. Barulah waktu itu Atia tahu yang dia menyintai Nicky dan mahu bersama-sama Nicky dalam menjalani sisa-sisa hidupnya.  

Atia juga digambarkan sebagai seorang gadis yang ceria dan ramah pada permulaan cerita ini,sehingga menyebabkan saya menyangka dia akan menjadi gadis yang tabah dan kuat. Dilayan dengan kasar oleh Azali selama ini tidak pernah membuat Atia membenci lelaki itu sepenuhnya. Agak susah untuk saya hadam yang seseorang itu boleh terus mencintai dan memaafkan seorang lelaki yang mengasarinya dan juga menghinanya. Watak Azali pula,bagi saya dia ialah seorang lelaki yang menjengkelkan dan menyakitkan hati (dan saya rasa nak cekik dia kuat-kuat). Hingga ke saat akhir saya membaca novel ini saya masih tidak dapat memaafkan Azali atas segala yang dilakukannya pada Atia dan Nicky. Saya ingatkan Atia akan membantah habis-habisan pernikahan dia dan Azali namun saya silap. Terus-terang saya katakan yang saya harap Atia akan menjadi lebih keras dengan perasaannya. Kadangkala saya rasa aneh pula yang Atia selalu sahaja pergi ke pejabat Azali sedangkan dia sendiri mahu menjarakkan dirinya dengan Azali.

Saya juga kurang yakin dengan kisah cinta Atia dan Nicky. Takkanlah begitu cepat Nicky menyukai Atia? Bab 9 Atia baru berjumpa Nicky dan Bab 20 Nicky sudah pun menaruh hati pada Atia. Mungkin saya kurang membaca novel Melayu agaknya kerana saya rasa seolah-olah penulis bermain dengan perasaan saya tatkala saya membaca novel ini. Saya marah, saya sakit hati, dan saya ketawa. Saya marah pada Atia yang tidak cukup kuat untuk mempertahankan cintanya pada Nicky, saya saya sakit hati dengan perangai Azali yang selalu memaksa Atia menuruti kemahuannya, dan saya ketawa membaca kerenah Nicky dan kawan-kawan lembutnya yang menghiburkan.

Bintang: 7/10

Sumber gambar: mphonline.com

Tuesday, 19 August 2014

Tertulis Di Bintang-Bintang



Tajuk Asal: The Fault in Our Stars

Penulis: John Green

Muka surat: 326

Sinopsis:
Bab terakhir hidup Hazel Grace Lancaster sudah siap tertulis ketika dia didiagnos dengan kanser. Walaupun tumornya mengecil dengan keajaiban perubatan yang dinamakan Phalanxifor, dia hidup dengan penantian yang tak kunjung tiba sehinggalah suatu hari di Kumpulan Sokongan, kejutan paling besar dalam hidupnya muncul dalam bentuk seorang budak lelaki hot bernama Augustus Waters. 

Ini cerita tentang kesan-kesan sampingan kepada evolusi manusia yang berani memilih untuk jatuh cinta. 

Tapi tak semua yang tertulis di bintang-bintang itu sempurna.

*sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Saya tidak menangis. Saya cuma mengalirkan air mata saja. Saya pernah membaca buku asal Bahasa Inggerisnya sebanyak 2 kali tahun lepas. Kedua-dua kali tersebut saya menangis. Agaknya mungkin kerana saya sudah tahu tentang jalan cerita buku ini, ataupun mungkin juga kerana ia diterjemah ke Bahasa Melayu, unsur-unsur perasaan yang ditulis oleh John Green berkurangan sedikit. (Bila saya cakap sedikit, ia betul-betul sedikit)

Apapun, saya cukup menyukai buku ini. 

Suka; itu terlalu sedikit. 

Saya menyintai buku ini. 

Saya jatuh cinta lagi pada Hazel Grace, Augustus Waters, Isaac, dan semua watak-watak di dalam buku ini. Namun cinta saya lebih kepada Hazel Grace dan Augustus Waters. Dua orang remaja yang ditakdirkan untuk jatuh cinta. Mereka tidak seperti remaja-remaja yang lain. Hazel Grace menghidap kanser, Augustus Waters pula merupakan remaja yang hilang kaki kerana kanser. Mereka bertemu buat pertama kalinya di Support Group, dan mendapati yang mereka tertarik antara satu sama lain. Saya sukakan chemistry di antara mereka. Perasaan mereka, tingkah-laku mereka, semuanya diterangkan dengan jelas dan mendalam. 

Kisah cinta mereka pada permulaan agak klise, tapi hakikatnya ia lebih daripada mana-mana novel cinta yang pernah saya baca.

"Tapi awak tak ada nombor telefon saya," katanya.

"Saya syak awak dah siap tulis dalam buku ni."

Dia tersengih macam kerang busuk lagi. "Dan awak kata kita tak cukup kenal antara satu sama lain."

Dialog di antara mereka, oh, saya jatuh cinta dengan setiap dialog mereka. Kata-kata mereka cukup terkesan dalam hati saya, dan saya tak mampu nak keluarkannya daripada kepala saya. Sukar untuk dipercayai yang remaja boleh mengungkapkan kata-kata seperti mereka, namun harus diingati yang mereka bukan remaja biasa. Memikirkan tentang kematian dan kehidupan yang tidak sentiasa menyebelahi mereka membuatkan mereka matang dengan cepat. Jauh lebih matang berbanding remaja lain yang sebaya mereka. 

"Aku takkan  buat begitu kepada kau," aku memberitahunya.

"Oh, aku tak kisah Hazel Grace. Akulah orang paling bertuah kalau kau yang lukakan hati aku"

Tidak dapat dinafikan yang pengaruh buku dalam kehidupan manusia sememangnya cukup kuat, sehingga membuatkan kita sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan pengakhiran cerita sesebuah buku yang tiada penamatnya. Demi mendapatkan penamat watak-watak dalam buku yang cukup dicintainya, Hazel dan Augustus terbang ke Amsterdam demi menemui penulis buku tersebut. Augustus melakukannya untuk Hazel, demi menunaikan hajat Hazel. Namun Augustus punya rahsia. Rahsia yang diketahuinya sewaktu Hazel dimasukkan ke dalam ICU, iaitu sebelum mereka berangkat ke Amsterdam. Rahsia itu pula, cukup untuk mengubah dunia mereka berdua. (Dan membuatkan saya mengalirkan air mata)

"Aku akan lawan. Aku akan lawan untuk kau. Kau jangan risau tentang aku, Hazel Grace. Aku okey. Aku akan cari jalan untuk lepak-lepak dengan kau dan kacau kau sampai bila-bila."

Ayat yang paling saya suka.

"Dunia ini," katanya, "tak dicipta untuk memenuhi semua hajat kita,"

Dan juga kata-kata yang cukup mengharukan daripada seorang sahabat sejati.

"Tapi saya berani cakap ni: Bila saintis di masa hadapan datang ke rumah saya membawa mata robot dan mereka suruh saya pakai, saya akan suruh mereka berambus, sebab saya tak mahu tengok dunia tanpa dia"

Bintang: 11/10 (kerana 10/10 tidak cukup untuk mewakili kecintaan saya kepada buku ini)

Sumber gambar: fixi.com.my

Tuesday, 5 August 2014

Buku Bulan Ini: Ogos

Saya membeli beberapa buah buku daripada laman web mphonline.com pada hujung bulan Julai yang lalu. Buku-buku ini tiba di Sandakan kelmarin dan baru hari ini saya membuka isi kandungannya. Apa yang membuatkan saya lebih gembira ialah sepanjang tahun ini, mphonline memberikan penghantaran percuma untuk pembelian yang dihantar ke Sabah dan Sarawak, dengan syarat pembelian itu mestilah RM50 dan ke atas. Yeah! Kadar penghantaran bagi Sabah dan Sarawak yang biasa ialah sepatutnya seperti yang ditunjukkan di bawah.

Gambar (screen capture) diambil daripada mphonline
Gambar (screen capture) diambil daripada mphonline. Promosi tahun ini.
Dan sekarang saya tidak sabar untuk membaca buku-buku yang baru tiba ini. Memandangkan kebanyakannya ialah manga, saya pasti dapat menghabiskannya dengan cepat.

Buku-buku yang saya beli
Oh, dan saya turut mendapat hadiah percuma, notepad daripada mph!

Kulit hadapan

Kulit belakang
Bahagian dalam yang sangat comel!
Terima kasih mph untuk notepad yang sangat-sangat comel ini!

Di antara semua buku yang saya beli, ada satu yang saya tidak sabar untuk membacanya iaitu novel Tertulis Di Bintang-Bintang, atau tajuk asal bahasa Inggerisnya, The Fault in Our Stars oleh John Green. Saya sudah membaca novel asal bahasa Inggerisnya 2 kali, dan kedua-dua kali tersebut berjaya membuatkan saya menangis. Pertama kali saya membacanya, saya menangis selama 4 jam. Kali kedua pula saya menangis selama 2 jam lebih. Kali ini, saya akan membaca dalam versi bahasa Melayu pula. Entah kenapa saya ada firasat yang saya akan menangis lagi...

Tertulis Di Bintang-Bintang. Saya akui saya menyukai tajuk bahasa Melayu ini
Setakat ini sahaja entri saya untuk hari ini. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

Monday, 4 August 2014

Jejak Dosa


Penulis: Nur Mayani

Muka surat: 220

Sinopsis: Hadi sudah bosan dengan hubungan Papa dan Mama yang berantakan. Menyendiri lebih baik. 

Kehadiran dua insan serentak, Putih dan Azman, menambah rencah hidup yang hampir bertitik. Seorang sering muncul dan sering juga hilang secara tiba-tiba. Seorang lagi sibuk mencari ibu  yang entah di mana.

Kemalangan terjatuh dari tangga memberikan Hadi kemampuan menyuluh kisah silam penuh noda. Lalu saban hari dia menjejak dosa-dosa silam penuh cerita dengan sebelah tangan yang punya kuasa luar biasa. Dia mengenali semula siapakah sebenarnya Papa dan Mama. Kemunculan Azman dan Putih juga dicari punca.

Mampukah Hadi menerima segala rahsia yang diketahui? Adakah dia mempunyai kekuatan, menurut JEJAK DOSA, langkah demi langkah?

*sinopsis diambil daripada roman.com.my

Ulasan saya: Gaya bahasanya yang jelas, mudah difahami, dan baik adalah sebab mengapa saya menyukai buku ini di samping jalan cerita yang segar dan unik. Saya cukup menyukai karakter Hadi. Tak pernah lagi saya baca novel Melayu yang berpewatakan sama seperti Hadi ini. Memang satu kelainan. Syabas buat penulis yang memiliki daya imaginasi yang tinggi dan berjaya mencipta watak hero yang lain daripada yang lain.

Cerita di dalam buku ini tidak terlalu kompleks, namun cukup untuk membuatkan diri ini berfikir tentang ragam manusia yang bermacam. Mulanya saya sangat membenci watak Dato' Muiz. Tapi tak sangka pula kisah hidupnya seperti itu. Watak Datin Lyanna juga kelihatan baik pada mula-mulanya, nampak seperti dia mangsa keadaan, sehinggalah ke pertengahan cerita, jeng jeng jeng. Watak Putih dan Azman pula, memang misteri terutamanya Putih. Saya ada firasat yang Putih itu bukan manusia namun saya tak terfikir pula dia ialah masa silam seseorang. Azman pula, saya benar-benar tak sangka... Namun pengakhiran cerita ini buat saya keliru. Adakah semua yang dialami Hadi ini cuma satu petanda yang pada masa hadapan, semua itu akan benar-benar terjadi?

Apapun, saya gembira dipertemukan dengan buku ini.

Bintang: 7/10

Sumber gambar: roman.com.my

Paranormal


Penulis: Hani Suraya

Muka surat: 286

Sinopsis: Anda ada masalah misteri yang ingin diselesaikan? IDBW Investigations sedia membantu (kalau anda sedia membayar). 

Syarikat kecil ini mengambil upah menyiasat kes-kes PARANORMAL.

Mereka diketuai Norin, ahli sihir amatur yang agak flirty. Jimmy yang hidupnya terumbang-ambing mahir dengan ilmu shaman puak Navajo. Fairuz pakar sejarah paranormal yang juga merupakan ‘muscle’ kumpulan. Mahmud werewolf yang periang. Manakala Suzana boleh membaca fikiran orang. Mereka turut dibantu Nora, seorang yang obses dengan kimia.

Suatu hari, mereka didatangi Hakim yang ingin mereka menyiasat percubaan bunuh anaknya Maliki yang berumur 3 tahun. Namun apa yang mereka tidak tahu adalah mereka bakal terjebak dalam suatu konspirasi besar. Persahabatan mereka yang kuat juga bakal bergoncang!

*sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Permulaan cerita ada banyak babak-babak menarik, dan saya turut teruja untuk tahu lebih banyak tentang kuasa istimewa ahli-ahli IDBW Investigations. Masuk pertengahan cerita konflik makin banyak,tapi saya agak kecewa kerana bahagian di mana mereka menggunakan kuasa istimewa masing-masing tak banyak sangat. Pengakhiran cerita,saya bertambah kecewa. Rasa seolah-olah penamat tidak disimpulkan dengan baik. Ada banyak imbas kembali di dalam buku ini, namun persoalan yang muncul daripada babak-babak imbas kembali tersebut tidak terungkai. Dan tentang cerita Ridwan dewasa, pengakhiran dia agak kurang memuaskan. Banyak persoalan timbul di minda saya selepas membaca pengakhiran cerita dia. 

Mahmud watak kegemaran saya! (Sesuatu yang tidak ada kaitan dan sebenarnya tidak perlu ditulis dalam ulasan ini, tapi saya tulis juga. :D)

Gaya penulisan buku ini memang menarik. Saya sukakannya. Begitu juga dengan jalan cerita di dalam buku ini, pantas dan tidak membosankan, membuatkan saya menghabiskan buku ini dalam sekali duduk. Cuma,  ada agak banyak babak cinta di dalam buku ini yang saya rasakan tidak penting dan tidak menyumbang kepada apa-apa.

Sekiranya penulis membuat sambungan untuk novel ini pada masa depan, saya harap dapat lihat lebih banyak lagi babak-babak di mana ahli-ahli IDBW Investigations menggunakan kuasa istimewa mereka

 Bintang: 5/10

Sumber gambar: fixi.com.my

Kubur Bernyawa



Penulis: Ebriza Aminuddin

Muka surat: 480

Sinopsis: Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Kaffi ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu. Asalnya mereka ingin menenangkan fikiran sebelum menempuhi semester yang terakhir.

Namun apa yang dihajati tidak menjadi kenyataan apabila mereka telah membangkitkan roh yang sudah lama tertanam di situ. Bermula dari situ, mereka terpaksa menempuhi episod baru apabila roh yang telah dibangkitkan itu sering mengganggu mereka.

Apakah yang roh itu inginkan daripada mereka? Kenapa roh itu tidak mahu melepaskan mereka?

*sinopsis diambil daripada bukuprima.com

Ulasan saya: Novel ini nyaris-nyaris jatuh ke senarai buku yang saya tidak suka jika bukan kerana cerita yang terjadi selepas muka surat 225.

Permulaan cerita ini membuatkan saya cukup keliru. Mengapa?

Puncanya, ada 10 orang watak yang muncul pada permulaan cerita. 5 orang jejaka bersama 5 orang buah hati mereka. Dengan nama yang pelik dan panjang, saya hampir tidak dapat membezakan siapa ialah pasangan untuk siapa. Sehingga saya habis membaca buku ini, saya cuma dapat mengingati 2 pasangan kekasih sahaja, iaitu Jhaznarul dan Husnarisyam serta Firdee Aqasha dan Era Kasmiran. Itu pun kerana Jhaznarul dan Firdee Aqasha ialah watak utama. Watak-watak dalam permulaan cerita terlalu banyak dan mengelirukan pembaca. Tambahan pula, karakter setiap watak digambarkan hampir sama kecuali Jhaznarul yang alim dan Firdee Aqasha yang suka mengambil risiko namun tidak mahu memikul tanggungjawab di atas kesilapannya. Selain itu, entah kenapa pada pandangan saya setiap jejaka digambarkan sebagai agak miang/romantik dengan kemiangan/keromantikan yang tidak menjadi. Contohnya mengucapkan "I love you" kepada pasangan mereka di hadapan rakan-rakan yang lain. Kalau ini ialah novel dari barat saya boleh percaya, tapi Malaysia? Karakter seperti ini wujud ke dekat Malaysia ni? Atau mungkinkah pengetahuan saya yang cetek dalam novel cinta Malaysia membuatkan saya tidak menyukai adegan seperti ini? Bagi saya, watak-watak lain pula semuanya mendatar dan bagaikan tidak memiliki pendirian masing-masing. Seolah-olah mereka diwujudkan agar Jhaznarul dan Firdee Aqasha mempunyai orang yang boleh digelar 'kawan yang boleh menolong kami ketika kami ditakutkan oleh roh nenek'.

Apa yang membuatkan saya geram lagi ialah kemunculan hantu nenek yang sangat tidak realistik bagi saya. Nenek tolong mengutip kepah? Seriously?

Banyak kali saya ingin meletakkan novel ini kembali ke rak buku tanpa menghabiskannya kerana jalan cerita yang terlalu perlahan. Namun saya ialah jenis pembaca yang akan menghabiskan buku yang dibacanya walaupun saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan hidup ini terlalu pendek untuk dihabiskan dengan membaca buku yang tidak anda gemari.

Lega hati saya sebaik sahaja buku ini memasuki Bab 41 dan ke atas. Di situlah baru cerita sebenar bermula. Secara umum, saya tidak berapa menyukai babak imbas kembali terutama jika ia terlalu panjang namun saya rasa ianya diceritakan dengan baik di dalam buku ini. Persoalan demi persoalan terlerai dan saya terasa seperti hendak mencekik watak-watak jahat yang terlibat dalam kematian insan lain. Habis sahaja babak imbas kembali, saya menjadi gusar semula. Pada saya, berakhirnya babak imbas kembali menandakan kedatangan semula watak-watak yang terlalu banyak. Rupanya sangkaan saya meleset, watak-watak rakan mereka yang banyak itu tidak muncul dengan banyak selepas berakhirnya 26 bab imbas kembali. Untuk itu, saya agak gembira.

Saya tidak menyukai cara cerita ini dileraikan, dengan nenek itu mengamuk dan menangkap ahli keluarga mereka yang terlibat.

Walaupun novel ini sarat dengan jalan cerita pelik namun banyak pengajaran untuk pembaca semua. Yang paling saya ingati ialah, ketamakan membawa padah.

Bintang: 5/10 

Sumber gambar: bukuprima.com.my

Sunday, 3 August 2014

Membaca: Suka atau Terpaksa?

Kebelakangan ini, saya menyedari yang saya kurang gembira ketika membaca buku.

Bila saya fikirkan kembali punca kepada ketidakgembiraan tersebut, saya mendapati yang ia berpunca daripada pemikiran saya sendiri.

Dalam entri yang sebelum ini saya ada memberitahu yang tahun 2014 ini, matlamat saya ialah untuk membaca 40 buah buku dalam setahun. Setakat ini, saya telah pun membaca 27 buah buku. Saya perlu membaca 13 buah buku lagi untuk mencapai sasaran saya. Namun, seperti yang saya katakan sebentar tadi, saya langsung tidak gembira ketika membaca buku. Saya perasan keadaan ini sudah berlanjutan hampir dua bulan. Saya benar-benar tidak menikmati buku yang saya baca. 

Saya tahu mengapa ini berlaku.

Saya terlalu obses ingin menghabiskan pembacaan saya secepat mungkin agar saya boleh menandakan buku itu sebagai 'Read' di Goodreads. Saya memaksa diri untuk membaca buku walaupun hati saya tidak mahu membaca buku. Dalam kepala saya, kata-kata ini sentiasa berputar, "Kena habiskan baca buku." "Jangan baca artikel di internet, kena baca buku", dan banyak lagi. Situasi dan tekanan ini membuatkan membaca yang dahulunya merupakan salah satu hobi dan salah satu cara untuk saya merehatkan diri, bertukar menjadi bebanan dan tugas yang perlu dilakukan. Ini membuatkan saya tertekan dan menjadi pembaca yang tidak membaca untuk menikmati jalan cerita, namun membaca untuk menamatkan buku.

Setelah berfikir, saya mengambil keputusan untuk menamatkan Reading Challenge saya di Goodreads. Saya mengaku yang Reading Challenge ialah sesuatu yang sangat baik untuk memotivasikan kita untuk membaca lebih banyak buku. Namun saya rasa ia sudah tidak berapa sesuai untuk orang seperti saya. Saya ingin membaca dengan bebas seperti dahulu.

Memikirkan yang saya akan men'delete' Reading Challenge saya membuat saya rasa ingin menangis.


Ia perlu dilakukan. Saya mungkin rasa sedih sekarang. Namun dalam jangka masa panjang, ia baik untuk kesihatan mental saya.



Untuk memudahkan saya mengetahui berapa banyak buku yang saya baca tahun ini, saya meletakkan buku-buku yang saya baca dalam Shelf  malaysia-membaca-2014.

Tiba-tiba saya rasa gembira dan lega.

Jangan tanya, saya juga tak tahu kenapa saya masukkan gambar ini.

Sebelum saya menamatkan entri kali ini, saya ingin berkongsi salah satu daripada petikan kegemaran saya.

"No. I can survive well enough on my own— if given the proper reading material."- Sarah J. Maas, Throne of Glass

Sumber gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lugia

Thursday, 10 July 2014

Sebuah Buku Di Rak Saya


Gambar di atas ialah rak-rak buku saya.

Buku-buku di dalam gambar tersebut ialah sebahagian daripada buku-buku yang saya miliki. Ada buku-buku yang saya letakkan di rak buku bersebelahan dengan rak-rak buku di atas namun saya tidak mengambil gambarnya memandangkan rak buku tersebut dalam keadaan berselerak dan saya pula terlalu malas untuk mengemasnya. Dan saya tidak kisah dengan rak buku yang berselerak itu kerana ia dipenuhi dengan buku-buku lama dan buku-buku yang saya tidak mahu baca lagi.

Pagi ini saya melihat kembali resit pembelian buku saya di mphonline dan saya hampir pengsan melihat nilai buku yang saya beli sepanjang 1 tahun kebelakngan ini. RM1k++. Jumlah yang sangat besar bagi seorang pelajar universiti tidak berduit seperti saya. Apa yang membuat saya lebih sedih ialah ada di antara buku-buku di dalam rak di atas yang saya belum pernah baca lagi. Itu sememangnya suatu pembaziran kerana buku dibeli untuk dibaca dan bukannya untuk disimpan sebagai tatapan sahaja. Namun itulah yang sedang saya lakukan sekarang ini.

Sekarang mari saya ceritakan bagaimana saya boleh membeli buku dan kemudian menyimpannya tanpa membacanya. 

Hari itu cuaca cerah, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, burung-burug pula berkicauan terbang di atas langit nan biru. Ia merupakan masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti di luar kolej kediaman. Pelajar-pelajar turun daripada bas, memasuki kolej kediaman mereka. Ada pula yang menaiki bas untuk pergi ke fakulti. Ada pelajar yang duduk di kafe menikmati juadah mereka bersama rakan-rakan mereka. Ada juga yang sedang belajar berkumpulan di kawasan pejabat kolej kediaman.

Sewaktu semua pelajar sedang sibuk dengan hal masing-masing bersama rakan mereka, di satu bilik di Kolej Tun Razak, seorang pelajar perempuan sedang tersengih menghadap skrin laptop di hadapannya. Pelajar perempuan tersebut baru sahaja selesai menghabiskan coding java menggunakan Netbeans. Kini dia menekan sesuatu di pad kekuncinya. Huruf yang ditekannya ialah g-o-o-d-r-e-a-d-s lalu selepas itu tangannya menekan perkataan 'Enter'. Menggunakan tetikus jenama Logitech yang baru ditukarnya kerana tetikus yang lama sudah rosak, dia mengklik Goodreads.com dan memasukkan e-mel serta kata laluan di ruangan Login. Kemudian dia dibawa ke halaman utama. 

"Hehehe...sudah tiba masanya..." ujar pelajar perempuan itu sambil melebarkan senyumannya, menampakkan barisan gigi-giginya yang tidak berapa putih.

Dia mengklik link 'Recommendations' dan berpuluh-puluh buku dengan genre yang berbeza dipersembahkan di depan matanya. Dia mengklik setiap satu gambar buku dan membaca sinopsis buku-buku tersebut. Dia kemudian membaca ulasan-ulasan yang diberikan kepada buku tersebut. Selepas melihat sinopsis hampir 100 buku, dia mulai bosan. Ada beberapa buku yang membuatnya tertarik namun dia tidak pasti jika buku itu ada dijual di kedai buku di Malaysia. 

Dia kemudian beralih ke benda lain. Kali ini dia membuka youtube. Oh, baru dia teringat. Dia tidak perlu menaip nama booktuber kesukaannya memandangkan dia sudah pun 'bookmark' saluran booktuber kegemarannya; Peruse Project, Katytastic, The Library of Sarah, dan Little Book Owl. Dia mencari video terbaru mereka. Ohh~~ Kat baru sahaja memuat naik video baru. Dia segera memuat turun video tersebut. Selepas muat turun selesai, dia membuka video tersebut. Oh Tuhan! Buku yang ditunjukkan Kat itu kelihatan sangat menarik. Mari dapatkannya.

Dengan tergopoh-gapah dia menaip perkataan m-p-h-o-n-l-i-n-e di atas pad kekuncinya. Sebaik sahaja dia berada di laman tersebut, dia segera memasukkan nama buku tersebut ke dalam kotak carian. Namun dia hampa. Buku itu belum ada dalam katalog mphonline. Dalam kesedihannya, dia beralih ke bahagian lain di halaman mphonline. Ditekannya link 'Bestseller'. Kemudian dia menekan link 'Teen Reader'. Dia meneliti setiap 'cover' buku. Hmm...tiada apa-apa yang menarik minatnya. Kali ini dia menekan 'Local' di bahagian laman yang sama. Ditelitinya sinopsis pendek di sebelah gambar buku-buku tersebut. Hmm...kahwin paksa, kahwin lari, cinta ditolak, gaduh-gaduh lepas tu jatuh cinta....hm....BOSAN!

Dia menekan link 'New Arrivals' yang bersebelahan link 'Bestseller'. Tangannya dengan cepat menekan link 'Teen Reader'. Dia memandang satu persatu gambar buku dan mencari buku yang merupakan buku pertama dalam sesuatu siri, buku 'stand-alone', dan juga buku yang merupakan sambungan buku yang pernah dibelinya suatu ketika dahulu. Ohhh...buku apa ni? Kulit depannya ada muka seorang gadis perempuan dan warna latar belakangnya hijau. Dia menekan gambar buku itu. Splintered merupakan tajuknya. Dia membaca sinopsis buku tersebut. Alice's Adventures in Wonderland? Masalah mental? Misteri? Hebat! Aku mahukan buku ini! 

Nanti dulu! Tak boleh terus beli sahaja. Bagaimana jika ceritanya kurang menarik? Mari kita lihat 'rating' dan ulasan orang lain untuk buku ini di Goodreads. Pelajar perempuan itu memasukkan nama buku di kotak carian di Goodreads. 4.01! Wow! Cukup hebat! Review pula? Hmmm...mantap! Aku akan beli buku ini!

Maka pelajar perempuan tadi pun memulakan proses pembelian di atas talian. Setelah selesai pembayaran, dia pun merebahkan diri di atas katil, lega kerana akhirnya dia berjaya mendapatkan buku yang dia rasakan amat menarik. 2 hari kemudian, dia menunggu dengan resah di dalam makmal komputer fakulti. Buku itu telahpun tiba di Johor. Petang itu buku itu akan tiba di pejabat kolej kediaman. Dia harus mendapatkannya segera. Jam 1.15 petang dia tiba di kafe kolej kediaman. Selepas makan tengah hari, dia duduk di kerusi di hadapan pejabat kolej. Sambil memandang jamnya yang menunjukkan pukul 1.45 petang, dia melepaskan keluhan kecil. Pejabat buka pukul 2 lebih. Kolej tempat tinggalnya cuma di seberang jalan namun dia tidak mahu balik ke bilik sebelum dia mendapatkan buku tersebut.

Dengan sabar dia menunggu. Pukul 2.10 pejabat kolej dibuka semula dan dia melangkah masuk dengan gembira. Dia memberikan kad matrik dan memberitahu nombor blok serta nombor bilik pada staf yang bertugas. Staf itu kemudian masuk ke dalam tempat penyimpanan barang dan mengambil barang pelajar perempuan tadi lalu dibawanya keluar. Barang itu diletakkan di hadapan pelajar perempuan tersebut. Setelah memastikan yang nama di atas barang tersebut ialah namanya, dia menulis nama di buku senarai barang, meletakkan tandatangannya dan juga tarikh dia mengambil barangnya. Selepas itu dia keluar daripada pejabat dengan hati yang berbunga-bunga. Tiba di bilik, dia membuka bungkusan tersebut. Melihatkan buku yang dipesannya kini berada di tangannya membuatkan dia cukup gembira...dan terharu. Matanya mengamati setiap inci buku tersebut bagi memastikan buku itu berada dalam keadaan yang baik. Sempurna! Dia menuju ke arah kotak simpanan barang yang diletakkan bersebelahan meja belajar kecilnya lalu membuka penutup kotak tersebut. Dia seterusnya memasukkan buku itu dengan cermat ke dalam kotak sebelum menutup kotak itu kembali. Dia tersenyum, sambil berfikir "Balik rumah di Sandakan nanti aku baca buku tu".

Tamatlah kisah si pelajar perempuan tadi di Skudai.

Kisahnya bersambung di Sandakan.

"Ohh...hari yang indah untuk tidak membuat apa-apa~Lalala~" pelajar perempuan itu bernyanyi kecil sambil berguling-guling di atas katil. Setelah sejam berguling, dia memutuskan yang dia terlalu penat untuk berguling lagi lalu membangunkan dirinya. Dipandang rak-rak buku di hadapannya. Hmm...nantilah baca buku, cuti masih panjang lagi...

Dia turun ke tingkat bawah sambil menanya emaknya apa lauk untuk tengah hari nanti.

Selepas seminggu...

Dia memerhatikan rak bukunya dengan lebih rapat. Hmm....apa nak dibaca hari ini?

Tiba-tiba dia mendapat idea. "Jom baca Crown of Midnight hari ini!"

Selepas 7 jam...

Dia merebahkan tubuhnya di atas katil. Matanya memandang siling yang berwarna putih. Tidak mungkin...Chaol dan Celaena...Chaol dan Celaena... Sarah J Maas pulangkan Celaena pada Chaol!!! 

Selepas 1 jam...

Dia meletakkan kembali Crown of Midnight ke tempat asalnya di rak buku. Punggungnya dilabuhkan di atas lantai. Sambil memandang buku Crown of Midnight, matanya berair. "Kenapa...kenapa kau buat macam ni, Sarah? Kenapa kau buat aku menderita?"

Selepas 2 hari...

Dia bagaikan mayat hidup yang bergerak di dalam rumah tersebut. Hatinya dirasakan bagai mahu tercabut. Semangatnya masih lagi hilang di dalam dunia ciptaan Sarah J Maas.

5 hari kemudian...

Dia tersenyum hambar. Sudah 1 minggu berlalu sejak dia menghabiskan buku tersebut. Sejak itu jugalah dia mendapat 'book hangover' yang cukup teruk. Lebih teruk daripada ketika dia habis membaca Shadows oleh Ilsa J Bick. Tapi dia perlu pulih segera. Tidak lama lagi semester baru akan bermula. Dia perlukan kekuatan untuk memasuki semester baru.

Dengan susah payah, dia memujuk hatinya untuk tidak bersedih sambil mengingati kata-kata Celaena sebelum pergi.

“When you do, I want you to remember that it wouldn’t have made any difference to me. It’s never made any difference to me when it came to you. I’d still pick you. I’ll always pick you.” 

Hatinya berbunga kembali. Oh hati, jangan engkau berduka. Tahun ini buku ketiga akan keluar juga. Janganlah engkau bersedih lagi ya wahai hati.

Beberapa hari selepas itu, dia melangkah masuk ke pesawat Air Asia. Setelah selesai mengambil tempat duduk, dia melontarkan pandangan ke luar tingkap. Tatkala pesawat bersedia untuk berlepas, barulah dia teringat yang Splintered belum dibaca lagi.

TAMAT

Dan peristiwa ini berulang lagi untuk buku-buku seterusnya.

Wednesday, 4 June 2014

Etika Dalam Menulis Blog

Saya tahu entri saya ini boleh mendatangkan marah. Namun saya rasa terpanggil untuk menulis tentangnya.

Saya perasan dalam kebanyakan blog berbahasa Melayu yang saya baca, isi kandungan yang ada di dalamnya sama sahaja. Terutama jika ia melibatkan entri yang berunsur ilmiah. Berkongsi entri yang berunsur ilmiah merupakan sesuatu yang baik, namun apa yang membuatkan saya hairan ialah, pemilik blog yang mengambil entri daripada blog lain langsung tidak memberikan kredit kepada pemilik asal entri tersebut. Dia ambil bulat-bulat penulisan daripada penulis lain tanpa meletakkan apa-apa maklumat tentang blog yang penulisannya diambil. Ayat pun langsung tidak diubahnya. Begitu juga dengan artikel daripada laman web yang ada di internet. Ada juga sesetengah penulis blog yang langsung tidak menyertakan dari mana artikel yang mereka letakkan dalam blog mereka itu diambil. Seolah-olah merekalah orang pertama yang mengeluarkan artikel tersebut.

Mari kita lihat satu contoh, katakanlah ada 2 orang penulis blog, A dan B. Penulis blog A menulis entri di blognya panjang berjela-jela. Kemudian penulis blog B ambil entri tersebut bulat-bulat dan letak di dalam blognya tanpa memberi kredit kepada penulis blog A. Kemudian ada pembaca yang datang membaca entri yang diambil oleh penulis blog B tadi. Kemudian pembaca-pembaca tersebut mula bertanya soalan. Soalan yang si penulis blog B pun tidak tahu macam mana mahu jawab. Akhirnya dia cakap "Maaf. Saya cuma copy paste sahaja entri ni daripada blog lain." Apa agaknya pandangan si pembaca tadi kepada penulis blog B? Jika saya pembaca tersebut, pasti terdetik dalam hati saya kata-kata ini, "Tahu copy saja tapi isi kandungan pun dia tak tahu." Selain daripada itu, kekeliruan tentang pemahaman mengenai isi kandungan sesuatu entri juga akan muncul. Terutama sekali jika isu yang diutarakan dalam entri tersebut merupakan isu panas yang boleh mendatangkan pelbagai spekulasi kepada masyarakat sekeliling.

Ini membuatkan saya terfikir, apa tujuannya penulis blog B ambil entri yang susah payah ditulis oleh penulis blog A tanpa memberikan kredit kepadanya? Adakah sebab penulis blog B tadi mahu tunjukkan kepada orang lain yang dia boleh menulis entri yang begitu hebat? Ataupun kerana dia ingin menambah jumlah pelawat ke blognya? Ataupun kerana dia memang mahu berkongsi ilmu dengan pembaca-pembaca yang lain? Tepuk dada, tanya isi hati anda.

Saya tahu, sebahagian daripada anda yang membaca entri yang saya tulis sekarang ini pasti merasa perkara ini bukannya isu besar. Tapi bagi saya isu ini penting untuk diulas memandangkan ia melibatkan keaslian dalam sesuatu tulisan dan juga isu plagiarisme. Selain itu, memberikan sumber daripada mana kita memiliki maklumat tentang perkara yang ditulis juga akan menguatkan lagi hasil penulisan kita. Contohnya kita menulis tentang kebaikan buah epal. Panjang berjela-jela kebaikan buah epal yang kita tulis tapi di penghujungnya, kita tidak memberitahu daripada mana kita dapat maklumat untuk entri yang kita tulis itu. Adakah anda rasa orang lain akan percaya dengan apa yang ditulis oleh anda? Mungkin ya, jika anda seorang doktor. Tapi jika anda cuma seorang yang biasa seperti saya, pasti orang akan ragu-ragu dengan penulisan anda.

Sejak memasuki universiti, saya menjadi semakin berhati-hati dengan apa yang saya tulis. Hal ini kerana dalam setiap laporan atau kajian literatur yang kami tulis, kami perlu memberikan kredit kepada penulis asal artikel yang kami ambil isi kandungannya. Saya tidak bermaksud penulis-penulis blog perlu menulis dengan sebegitu formal. Tapi bagi saya jika mereka menyertakan laman web mana sumber penulisan mereka itu didapatkan di bawah entri penulisan mereka, itu sudah cukup untuk memberi kredit kepada laman web/blog yang mengeluarkan artikel/entri asal. Contohnya meletakkan [Sumber: ....] di bawah entri yang mereka tulis (sekiranya mereka mengambil/merujuk entri daripada laman web/blog tersebut). Ini dapat menolong laman web/blog asal menaikkan rating pelawat mereka.

Terdapat juga sesetengah blog yang saya lihat meletakkan sumber mereka sebagai Google. Ini benar-benar membuatkan saya hairan. Bagaimana Google boleh menjadi sumber? Google cumalah suatu enjin carian, bukannya tempat di mana artikel/entri yang anda ambil itu dikeluarkan.

Akhir kata, maafkanlah saya jika saya telah menyinggung perasaan anda. Entri yang saya tulis ini hanyalah sekadar peringatan dan perkongsian bersama.