Tuesday, 13 May 2014

Joyland


Tajuk asal: Joyland

Penulis: Stephen King

Muka surat: 388

Sinopsis: Terjemahan Bahasa Malaysia pertama untuk penulis bestseller antarabangsa Stephen King.
Demi mengubati hati yang telah dilukai seorang gadis, Devin Jones, seorang pelajar kolej, membuat keputusan untuk bekerja di Joyland sewaktu cuti musim panas. Namun dugaan yang dihadapinya di sana ternyata lebih dahsyat. Di Joyland, persoalan demi persoalan di luar jangkauan minda menanti Devin: sebuah legasi pembunuhan yang kejam, untung nasib seorang kanak-kanak yang berada di ambang maut, dan sebuah pengajaran tentang realiti hitam kehidupan — serta alam selepas kematian — yang mengubah dunianya buat selama-lamanya.
*Sinopsis diambil daripada fixi.com.my

Ulasan saya: Berbaloi dibaca. Pada mulanya, saya agak bosan kerana jalan ceritanya agak perlahan. Kehidupan watak utama - Devin Jones (21 tahun), bagi saya amat menarik. Bekerja di Joyland semasa musim panas untuk menampung kehidupan universitinya. Wataknya digambarkan sebagai lelaki yang biasa-biasa sahaja, dengan kekasih yang tinggal jauh daripadanya dan kehidupan barunya di Joyland North Carolina.

Di Joyland, teman rapatnya ialah Tom dan Erin. Kehidupan Devin yang biasa-biasa saja itu bertukar luar biasa apabila dia menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang tercekik hotdog di Joyland. Kehidupannya bertambah menarik dengan kehadiran Annie dan anaknya, Mike. Mike, budak lelaki yang memiliki tubuh badan yang lemah mempunyai kebolehan 'melihat'.
 
Pada suatu hari Devin, Tom, dan Erin masuk ke Horror House bersama-sama. Di situ, Tom telah melihat hantu Linda Gray, gadis yang dibunuh di dalam Horror House itu beberapa tahun yang lalu. Sejak itu, Devin menjadi lebih berminat dengan kes pembunuhan Linda Gray dan pelbagai andaian timbul di mindanya tentang pembunuh itu. Setelah memutuskan hubungan dengan Wendy Keegan juga, Devin menjadi lebih rapat dengan Annie dan anaknya sehingga akhirnya mereka bertiga pergi ke Joyland bersama-sama walaupun pada awalnya Annie tidak bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan keadaan fizikal Mike yang tidak berapa baik. Melalui maklumat-maklumat yang diberikan oleh Erin mengenai kes Linda Gray dan beberapa kes pembunuhan yang lain, Devin akhirnya berjaya meneka siapa pembunuh Linda yang sebenarnya. 
 
Saya suka unsur kehidupan yang diutarakan dalam buku ini. Kehidupan Devin tidak sempurna, namun dia sentiasa melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya. Saya juga suka melihat persahabatan yang kukuh di antara Devin, Tom, dan Erin. Karakter Erin yang pada awalnya kelihatan minor akhirnya berkembang dan, Erinlah yang banyak membantu Devin menyelesaikan misteri di Joyland itu.

Keseluruhannya, jalan ceritanya menarik, walaupun agak perlahan di permulaan cerita.


Sumber gambar: fixi.com.my

Friday, 7 March 2014

Perjanjian: Prolog


Zachary membuka matanya perlahan-lahan. Keadaan sekeliling yang gelap-gelita menyukarkannya melihat apa-apa. Lantas dengan cepat dia membangunkan diri daripada pembaringan. Tangannya menggosok mata berkali-kali.
             
“Urgh...” Zachary mengerang perlahan sambil mengurut-urut belakang kepalanya yang sakit. ‘Apa yang terjadi? Di mana aku berada sekarang? Soalnya dalam hati.
             
“Dah bangun?”
             
Zachary membulatkan mata, terkejut. Spontan kepalanya berpusing ke kiri dan ke kanan, mencari punca suara tadi.
             
“Siapa tu? Tunjukkan diri kau!” arah Zachary. Suara tadi ketawa terkekeh-kekeh. Nyaring sungguh bunyinya hingga membuatkan bulu roma Zachary meremang.
             
Peluh dingin membasahi dahi Zachary. Semakin lama, suara ketawa tersebut semakin hampir dengannya. Kali ini, suara ketawa tersebut terdengar di sebelah kanannya. Zachary memalingkan kepala mengikuti suara tadi. “Kau jangan cabar aku!” ugutnya.
             
Namun sia-sia sahaja usaha Zachary untuk mencari si pemilik suara kerana keadaan gelap di situ membataskan penglihatan.
             
“Kehkehkehkehkeh...” suara itu ketawa nyaring. Lama kelamaan, suara yang nyaring tadi berubah kepada suara kanak-kanak.
             
Zachary terkedu. Suara ketawa kanak-kanak tersebut cukup dikenali. Manakan tidak, suara itu sama seperti suara anak perempuannya, Anna.
             
“A-Anna?” soal Zachary.
             
Tiba-tiba, suara ketawa tadi berhenti. Suasana yang gelap bertukar terang dalam sekelip mata. Zachary memerhatikan keadaan sekelilingnya. Patung, patung, dan lebih banyak patung dalam posisi duduk mengelilinginya di dalam bilik bercat warna merah dan putih. Mata kesemua patung tajam merenung ke arahnya, seolah-olah menagih sesuatu daripada Zachary. Ada di antara patung-patung tersebut sudah hilang bahagian kepala, ada yang hilang sebelah kaki, ada yang hilang tangan, dan ada juga yang bahagian kepalanya terkopak sehingga menampakkan isinya.
             
Zachary menelan liur. Suasana perlahan-lahan bertukar dingin. Segera Zachary memeluk erat tubuhnya yang sasa. Dingin yang dirasai mencucuk sehingga ke tulang-temulang.
             
“A...a..yah...” sayup-sayup kedengaran satu suara di sebalik dingin.
             
“Anna!” laung Zachary. Badannya berpusing-pusing, mencari punca suara tadi. “Anna!” laungnya sekali lagi, dengan harapan agar Anna tahu di mana dia berada dan bisa mencarinya. Namun apa yang Zachary lihat cumalah patung-patung yang mengerikan. Kelibat Anna langsung tidak kelihatan di mana-mana.
             
Zachary semakin kalut. Bilik kecil bulat bercat merah dan putih itu bagaikan neraka buatnya. Mata Zachary sekarang sibuk mencari pintu keluar. Mungkin juga Anna berada di luar sana, memanggil dari bahagian luar bilik.
             
Tiada! Tiada pintu keluar di sini! Tak mungkin!
             
Dengan pantas Zachary meluru ke salah satu dinding bilik. Tangannya meraba-raba dinding bilik, dari satu bahagian, ke bahagian yang lain. Patung-patung yang sedang duduk di sekeliling bilik dipijak-pijak. Lagaknya sudah macam orang kurang waras, tapi itu semua tidak penting lagi. Dia cuma mahu keluar dan mencari Anna dengan cepat.
             
“Anna! Anna!” laung Zachary, panik. Nafasnya turun naik dengan pantas. Bagaikan orang hilang akal, tangannya meraba-raba dinding bilik sambil kakinya memijak-mijak patung di sepanjang laluannya. “Anna...Anna...ayah di sini!” teriaknya.
             
Badannya hilang imbangan tatkala kakinya tersadung salah satu patung beruang besar di hadapannya. Zachary mendarat di atas timbunan patung-patung tanpa kepala.
             
“A..yah...” Suara Anna kedengaran lagi. Zachary bingkas bangun.
             
“Anna! Anna kat mana? Ayah di sini, Anna!”
             
Mata Zachary meneliti setiap ruangan bilik.
             
“Anna!” laung Zachary.
             
“Ayah...” panggil suara itu lagi, kali ini semakin lemah.
             
Zachary tersentak. Suara Anna... Perlahan-lahan, dia mendongakkan kepalanya ke atas.
             
“An...na?” Zachary menyoal bagaikan tidak percaya. Raut wajahnya bertukar pucat tatkala terpandangkan tubuh kecil Anna yang digantung dengan tali daripada siling bilik yang berketinggian kira-kira 15 meter dari paras lantai. Resah dan takut mencengkam diri Zachary. Bagaimana mereka berdua boleh berada dalam keadaan sekarang ini?
              
Zachary memandang keempat-empat tali merah yang mengikat kedua-dua pergelangan tangan dan kaki Anna. Tali tersebut kesemuanya bersambung ke bahagian siling bilik. Sekiranya keempat-empat tali putus, tubuh Anna akan jatuh ke atas lantai. Memikirkannya sahaja sudah cukup membuatkan Zachary sendiri berasa gerun.
             
Apa salah dia pada mereka sehingga mereka buat Anna seperti itu? Apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada dia? Siapa mereka? Kenapa mereka bawa dia dan Anna ke tempat ini? Mindanya terus diasak oleh pelbagai persoalan.
             
“A...yah…” panggil Anna, lemah. Anak mata hitamnya memandang Zachary yang berada di bawah. Suara Anna mengembalikan Zachary ke dunia realiti.
             
“Anna! Tunggu ayah, Anna! Ayah akan selamatkan Anna!” jerit Zachary dengan kuat. Perlahan-lahan, Anna mengukir senyuman. Air matanya mengalir ke pipi.
             
Zachary meneliti keempat-empat tali yang mengikat Anna. Muncul satu idea di mindanya. Apa kata dia tunggu sahaja keempat-empat tali itu putus dan kemudian menyambut tubuh Anna sebelum ia jatuh mencecah lantai. Dengan ini, Anna akan terselamat. Tapi bagaimana? Takkanlah dia biarkan sahaja Anna tergantung di atas situ?  Pasti Anna ketakutan sekarang ini.
             
“Huh?”
             
Satu anak panah menembusi rusuk kiri Anna dari arah hadapan. Darah mengalir keluar dengan deras daripada luka anak panah.
             
“Uhuk...uhuk...” Anna membatuk keluar darah dari dalam mulutnya. Zachary yang melihat segala-gala yang berlaku terpaku. Terketar-ketar tangan kanannya dihalakan ke arah Anna yang tergantung di atas, seolah-olah ingin memberitahu Anna untuk tidak menangis, untuk memberitahu Anna yang dia ada bersamanya.
             
“Anna...Anna...” panggilnya perlahan. Air matanya jatuh bercucuran. “Anna...” panggilnya lagi.
             
“A..ya..h” Darah keluar dengan banyak daripada mulut Anna.
             
Zachary memusingkan-musingkan badannya sambil matanya memerhatikan dinding bahagian atas bilik tersebut untuk mencari orang yang melepaskan anak panah ke arah Anna.
             
“Jahanam! Jahanam! Lepaskan anak aku! Aku bunuh kau!” teriaknya kuat sehingga menampakkan urat-urat lehernya. “Keluarlah, pengecut!!”
            
Sedang Zachary leka memandang ke belakang, keempat-empat tali merah yang menyokong badan Anna putus. Bagaikan patung, tubuh Anna jatuh ke atas lantai. Bunyi hentakan yang kuat mengejutkan Zachary. Dia segera berpusing ke belakang.
             
Hampir terbeliak mata Zachary melihat tubuh Anna terkulai tidak bernyawa dalam posisi yang mengerikan. Badan Anna dalam posisi meniarap, tangan kanannya terpulas ke tepi, mukanya memandang ke arah kanan, kedua-dua kakinya patah dan matanya bagaikan hendak tersembul keluar, memandang tepat ke arah Zachary. Darah merah daripada luka tusukan kini sudah pun bercampur dengan luka hentakan di bahagian kepala. Rambut panjang paras pinggang Anna tenggelam dalam lautan merah pekat darah.
             
Tubuh Zachary menggigil. Satu-satu anak yang dimilikinya kini terkulai tidak bernyawa di hadapannya. Dengan langkah tehuyung-hayang, dia mendekati tubuh Anna.
             
“Anna...Anna...” ucapnya. Zachary duduk berlutut di sebelah mayat Anna. Air matanya mengalir deras. “Anna...bangunlah...tolong...Anna..” rayunya dalam tangisan. Zachary memusingkan badan Anna dan memangku tubuh kecil itu. Air matanya menitik ke pipi Anna. “Anna...Anna...”
            
Kenangan bersama Anna menari-nari di ingatannya. Senyuman gembira Anna tatkala melihat dia kembali daripada kerja, tangisan Anna setiap kali mereka melawat kubur isterinya, dan tawa Anna setiap kali mereka berdua menonton rancangan kartun kegemaran Anna bersama. Semuanya masih jelas dalam ingatannya.
            
“Anna!!!”

*****
             
“Aku boleh tunaikan permintaan kau untuk dapatkan duit yang banyak, tapi sebagai balasan, aku akan ambil sesuatu daripada hidup kau,” ujar lelaki berambut coklat di hadapannya.
             
Zachary berfikir sejenak sebelum menyoal. “Apa yang kau nak daripada aku?”
            
“Itu rahsia. Tuan aku mahukan hiburan. Dan tugas aku ialah menghiburkan hati dia,” ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum sinis.
       
Zachary tidak ada pilihan. Anna menghidap sakit jantung sejak dia dilahirkan. Untuk membiayai kos perubatan Anna, pelbagai cara dilakukan Zachary, hingga akhirnya dia menjual rumahnya dan kini menyewa sebuah rumah kayu kecil. Zachary sudah pun kehilangan isterinya, Marie, dalam kemalangan 3 tahun yang lalu. Dia tidak mahu kehilangan Anna pula. 

Anna perlu dibedah segera, jika tidak, Anna tidak mungkin dapat hidup sehingga hari lahirnya yang keenam. Sekarang, usia Anna sudah pun memasuki 5 tahun.

Zachary tahu, lelaki di hadapannya ini bukannya orang biasa. Mungkin juga dia bukan manusia. Lelaki itu pernah muncul dalam mimpinya beberapa kali, dan sekarang, dia benar-benar berada di depan mata, sambil menawarkan sesuatu yang sukar ditolak oleh Zachary. Zachary ragu-ragu. Tapi, demi Anna...demi Anna.

Zachary menghela nafas panjang. Dia sudah nekad. Demi Anna, dia sanggup lakukan apa sahaja, termasuklah mati, jika itulah hiburan yang dimahukan oleh lelaki di hadapannya. Lelaki itu tersenyum. Selama dia menjalankan tugasnya, tidak pernah ada orang yang menolak tawarannya. Dia tahu, Zachary juga turut tidak terlepas.

“Baik, aku terima tawaran kau,” ujar Zachary.

“Permintaan kau dikabulkan. Aku akan datang kembali untuk ambil sesuatu milik kau 5 tahun kemudian. Sekarang, bersuka-rialah dengan harta baru kau, wahai manusia.” Sebaik sahaja mengucapkan ayat terakhirya, lelaki itu hilang begitu sahaja. Zachary terpaku. 

***** 

“Adakah hiburan sebentar tadi memenuhi selera tuan?” soal seorang lelaki berambut coklat.

“Kau terlalu lembut kali ini, Gille. Kau patut biarkan Zachary tu merana lagi. Misalnya, biarkan anak perempuan dia menderita lebih banyak, sebelum putuskan tali tadi.” jawab seorang lelaki bermata merah. Dia sedang duduk menongkat dagu di atas sebuah kerusi berwarna emas. “Tapi tak apa, kita ada banyak masa lagi, Gille. Masih ada banyak manusia lagi yang terdesak di dunia ini. Kita akan sentiasa dihiburkan dengan ratapan dan raungan sedih mereka.” Si lelaki bermata merah mengukir senyuman. “Hiburan seterusnya akan bermula tak lama lagi. Sediakan pentasnya, Gille.”

“Baik, Tuan Biernacki.”
                       

Tuesday, 24 September 2013

20 Books in 2013 Challenge!


I'm feeling good now.
I reached my goal of reading 20 books in 2013. In fact, up until now, I have read 21 books in total.
Here are my list of read books:

1. Haunting Violet
2. Divergent
3. Insurgent
4. Harry Potter and the Philosopher Stone
5. Harry Potter and the Chamber of Secret
6. Harry Potter and the Prisoner of Azkaban
7. The Fault in Our Stars
8. The Diary of A Young Girl
9. Alice's Adventures in Wonderland
10. Aku Bercerita (Malay)
11. Through The Looking Glass
12. The 5th Wave
13. Misteri Lif Berhantu (Malay)
14. Vila Puaka (Malay)
15. Hantu Gadis Opera (Malay)
16. Ashes
17. Shadows
18. Asrama (Malay)
19. Bisik (Malay)
20. The Beginning of Everything
21. Elegy (Hereafter #3)

So, in the end, I worked my lazy ass and picked up Ashes by Ilsa J. Bick. Gosh, I'd never thought that I will finished it. By the way, that book start out a bit boring. You need to read until 5/8 of the book to experience its awesomeness. It started a bit slow. And I don't really like a slow-paced book. You can kill me for saying that. Now when I think about it, maybe it was the reason why I preferred English book more than Malay book. Quite a few Malay books are slow-paced and usually they have a flawless female main character whom I had the urge to bitchslap. Yeah, I hate Mary Sue.

Please, I beg you, (some) Malay novel's writer, please, stop creating Mary Sue.

But I guess, maybe it's just me. Because there are many readers out there who loves reading a Mary Sue novels. Correct me if I'm wrong.

So yeah, that's all. Until next time.

Wednesday, 4 September 2013

Hantu Gadis Opera



Tajuk asal: RoengMaHoRaSob

Penulis: Phakinai

Muka surat: 385

Sinopsis: Selepas membuat liputan berita tentang aktiviti pembersihan sebuah kawasan perkuburan Cina, Narut diganggu roh seorang gadis. "Carilah aku sebelum nyawamu melayang..." Kata-kata yang begitu menakutkannya.

Tidak tahan diganggu, Narut cuba menyiasat dan mendapat tahu bahawa roh yang mengganggunya ialah roh gadis bernama Ah Chu, primadona opera Cina yang mati dalam kebakaran sebuah panggung opera tempat dia bekerja. Lebih mengejutkan lagi, Ah Chu mungkin mati dibunuh, dan siapa dalang di sebalik pembunuhan Ah Chu.
Angkara siapakah semua itu? Berakhirkah gangguan yang menghantui Narut?
Mungkin tidak!
*Sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan saya: Narut merupakan seorang wartawan yang rajin dan juga sering dibuli bosnya, Phi Yam. Misteri menyelubungi Narut dan roh gadis yang bernama Ah Chu mengikuti Narut ke mana sahaja selepas Narut membuat liputan tentang aktiviti pembersihan kubur Cina. Gadis itu ingin Narut menyelongkar misteri di sebalik kematiannya. Penyiasatan Narut akhirnya membawanya kepada sebuah kumpulan opera Cina, Tee Sui Ferng Hua. Di sana Narut mengenali beberapa orang pelakon yang dirasakannya merupakan dalang sebenar dalam kematian Ah Chu. Adakah Siang Siang, gadis yang dikenali dengan sifat sombong dan cemburu pada Ah Chu, atau Ah Leng, satu-satunya lelaki yang dicintai Ah Chu ialah pembunuhnya? Mungkinkah ada orang lain di sebalik kematian Ah Chu? Keadaan menjadi semakin kalut apabila dendam membawa padah. Ah Chu ingin menarik semua yang mendendaminya ke neraka. Mereka yang berniat untuk membunuhnya, mereka yang cuma melihatnya terkapai-kapai meminta pertolongan di saat kematiannya, namun tidak mahu menolongnya, mereka yang tidak mendendaminya namun terlibat secara tidak sengaja dalam kematiannya, semua akan dibawanya...ke neraka!

Pada pandangan saya, cerita ini diolah dengan sangat menarik. Jalan ceritanya dipenuhi dengan unsur misteri. Orang yang disangkakan sebagai pembunuh utama akhirnya didapati tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut. Sehingga ke akhir cerita saya tidak dapat mengenal pasti pembunuh sebenarnya. Rantaian peristiwa pembunuhan juga disusun teratur. Tiada babak yang memeningkan kepala memandangkan cerita ditulis dengan bahasa yang mudah difahami (kredit kepada penterjermah cerita ini juga). Babak yang menakutkan bagi saya ialah setiap kali hantu Ah Chu muncul dengan badannya yang rentung dan dengan daging kulitnya dapat dilihat. Sedangkan Narut sendiri merayu kepada Ah Chu agar memunculkan diri dalam keadaan yang baik, dan bukannya dalam keadaan yang menakutkan. Babak yang menyentuh hati saya apabila Narut telah menyempurnakan hajat terakhir Ah Chu sambil berkata "Ah Chu, semoga awak tenang dan dilahirkan semula pada zaman yang baik. Maafkan semua kesalahan orang pada awak."

Buat baik dibalas baik. Itulah pengakhiran novel ini. Pengakhiran yang berjaya membuat saya tersenyum lebar walaupun telah banyak membuat kening saya berkerut di sepanjang cerita.

Bintang: 10/10

Akhir sekali, novel ini wajib dibeli jika anda merupakan peminat novel genre seram, dan, jika anda bukan peminat genre seram, novel ini mampu membuat anda tertarik untuk membaca helain seterusnya hinggalah anda tidak sedar yang akhirnya anda telah menghabiskan novel ini dengan sekali duduk.

Sumber gambar: pelangibooks.com

Friday, 30 August 2013

20 Books In A Year

My 2013 resolutions included reading 20 books in a year. As per today, I had reached my 14th books. I still have six books left to read in order to reach my goal. These are the books I have read in this year. They are in English and Malay.

1. Haunting Violet
2. Divergent
3. Insurgent
4. Harry Potter and the Philosopher Stone
5. Harry Potter and the Chamber of Secret
6. Harry Potter and the Prisoner of Azkaban
7. The Fault in Our Stars
8. The Diary of A Young Girl
9. Alice's Adventures in Wonderland
10. Through The Looking-Glass
11. Aku Bercerita (Malay)
12. The 5th Wave
13. Misteri Lif Berhantu (Malay)
14. Vila Puaka (Malay)

I have read The Fault in Our Stars and The Diary of A Young Girl two times this year. These books are just so good. I love them.

I was planning to read the fourth book in Harry Potter series but the size itself intimidated me. It was big and heavy and...and...I want to cry. It was my least favourite movie in all Harry Potter movies. I just want to skip the book and read the fifth book already but I couldn't. I need to finish it before I move on to the other books.

I read Ashes by Ilsa J. Bick but I dropped the book halfway through it. Suddenly the story fail to made me keep reading it. I was planning on continuing the book after I finished the other books. By 'other', I mean like three or more books.

Oh yeah,  I love reading...

Thursday, 29 August 2013

Vila Puaka


Tajuk asal: The Dome

Penulis: Phakinai

Muka surat: 419

Sinopsis: Berbuat jahat, maka jahatlah balasannya. Sesiapa pernah melakukan kesalahan, akibatnya akan datang jua kepadanya... meskipun dia mungkin sudah lupa.
Menjadi anak yatim piatu dalam usia muda, Alice dan Aim diambil sebagai anak angkat oleh Puan Miria, sebelum dibawa ke sebuah vila terpencil.
Siapa sebenarnya Puan Miria? Apakah yang tidak kena dengan vilanya? Adakah vila itu berhantu? Benarkah roh yang menempati anak patung kayu sedang membalas dendam?
Kenyataan sebenar rupa-rupanya lebih dahsyat daripada itu...
*Sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan saya: Saya terpesona. Ya, itulah yang terlintas di dalam kepala saya sebaik habis membaca novel ini. Sungguh berlainan dengan novel seram yang pernah saya baca. Karakter Alice di dalam novel ini digambarkan dengan sempurna bagi saya. Wataknya sebagai kakak yang sangat melindungi adiknya, Aim, selepas kematian ibu mereka cukup memberi kesan di hati saya. Selain itu, Alice juga memiliki sifat ingin tahu yang kuat. Malahan, sifat ingin tahu itu cukup untuk menyingkirkan rasa takut di hatinya. Sebaik sahaja tiba di 'rumah baru' mereka, Alice dan Aim dikejutkan dengan keadaan aneh Puan Miria yang bercakap dengan anak patung kayu! Sangka Puan Miria, roh anaknya yang telah mati itu mendiami badan anak patung kayu tersebut. Malam pertama di vila tersebut, Alice dapat merasakan ada sesuatu tersembunyi di vila itu. Sesuatu yang menyeramkan!

Keadaan bertambah teruk apabila Alice melihat seseorang cuba meletakkan 'sesuatu' di dalam minuman Puan Miria. Adakah Puan Miria benar-benar kurang waras atau adakah ubat tersebut yang membuatkan keadaannya bertambah teruk? Alice ingin menyiasat perkara itu. Dia memerlukan pertolongan seseorang, namun siapa yang harus dipercayainya? Adakah Sara, si pembantu rumah yang kadangkala berkelakuan mencurigakan atau Doktor Dane, doktor yang merawat Puan Miria? Alice akhirnya membuat keputusannya. Namun keputusan untuk menolong Puan Miria membawa padah. Alice sudah gila. Satu-satu adik yang dimilikinya sebenarnya tidak wujud lagi. Benarkah apa yang dirasakan Alice selama ini? Atau itu hanyalah salah satu daripada ilusinya?

Keseluruhannya, novel ini mantap dari segi jalan cerita dan watak. Penamatnya juga jauh berbeza daripada apa yang saya sangkakan dan ia langsung tidak mendukacitakan peminat novel seram seperti saya. 'Buat jahat dibalas jahat', itulah tunjang novel ini. Banyak perkara yang disimpan sebagai rahsia terlerai satu-persatu di pengakhiran novel ini. Kadangkala mempercayai naluri itu lebih baik daripada mempercayai apa yang dilihat. Bagi saya, itu juga salah satu daripada pengajaran di dalam novel ini. 

Bintang: 9/10

Dan mengapa saya memberi 9 daripada 10 bintang? Sebabnya adalah cara misteri ini dileraikan hampir sama seperti cara novel 'Misteri Lif Berhantu'. Sejujurnya, saya tidak pasti novel yang mana satu keluar dahulu memandangkan saya membeli novel-novel tersebut pada hari yang sama. Jadi, tolak satu bintang untuk itu. Err...mungkin boleh tolak separuh bintang sahaja kot...

Apapun, jika anda melihat novel ini terletak di dalam rak buku di kedai, saya rekomenkan anda untuk membelinya.

Sumber gambar: pelangibooks.com

Saturday, 24 August 2013

Misteri Lif Berhantu

Tajuk asal: The Lift

Penulis: Phakinai

Muka surat: 407

Sinopsis: Keadaan di fakulti perubatan itu begitu menyeramkan. Sebagai pustakawan yang baru bertugas di fakulti itu, Paeng rasa terganggu. Tinggal bersendirian di rumah yang terpencil, ditambah lagi dengan suasana fakulti perubatan yang sunyi dan menyeramkan, membuat Paeng semakin diburu ketakutan. Rasa takut itu sebenarnya tidak seberapa. Kenyataan bahawa lif di dalam bangunan universiti tempat dia bertugas berhantu, lebih menakutkan lagi! Suatu pembunuhan kejam dikatakan pernah berlaku di dalam lif itu. Paeng pada mulanya tidak percaya, sehinggalah dia terserempak sendiri, beberapa kali, dengan roh yang mengganggu. Gadis itu cuba menyelongkar rahsia, tanpa menyedari bahawa dia yang sebenarnya menjadi buruan...

*Sinopsis diambil daripada pelangibooks.com

Ulasan saya: Jalan cerita novel ini tersusun dan dipenuhi dengan unsur saspens. Watak Paeng yang merupakan pustakawan baru, digambarkan sebagai gadis penakut yang diganggu oleh makhluk halus sejak dia 'menegur' sesuatu di dalam fakulti perubatan itu. Kehadiran Paeng di fakulti perubatan tersebut disambut baik oleh Pak Cik Daeng yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di fakulti tersebut. Tinggal di kauters guru yang terletak tidak jauh dari tempatnya bekerja, hampir setiap malam Paeng bermimpikan seorang gadis yang menyuruh Paeng untuk mencari mayatnya jika tidak mahu menerima nasib buruk. Satu benda yang Paeng pasti, gadis itu mati di dalam fakulti tersebut namun, tiada siapa yang tahu di mana mayatnya disembunyikan! Paeng turut berkenalan dengan Encik Issada, pensyarah anatomi yang mengajar di fakulti tersebut. Melalui Issada, Paeng turut mengenali Doktor Jui, kawan baik Issada. Kehadiran Ratri sebagai teman berbual turut menyenangkan hati Paeng yang sentiasa diselubungi ketakutan. Namun, betulkah cuma roh gadis itu sahaja yang mengejarnya?

Novel ini turut memaparkan pelbagai misteri yang tersembunyi di dalam fakulti perubatan itu. Dendam dan fitnah dua orang kawan rapat akhirnya bertukar menjadi tragedi berdarah. Satu-persatu watak di dalam novel ini mati dalam keadaan yang mengerikan. Namun setiap kematian itu membawa kita ke babak seterusnya. Misteri terungkai satu persatu hingga watak utama novel ini tertipu dengan salah satu helah si jahat yang bertopengkan manusia. Pengakhiran novel ini juga tidak mendukacitakan.

Keseluruhannya, novel ini membuatkan kita terfikir akan lumrah kehidupan manusia yang dipenuhi dengan penipuan, buruk sangka, dan hasad dengki. Melalui novel ini kita boleh melihat bagaimana Paeng tertipu dengan penipuan orang yang disangka 'sahabatnya' hinggakan orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Kesilapan Paeng di masa lalu juga akhirnya memakan diri sendiri apabila dia terkurung keseorangan di dalam dunia di mana tiada siapa dapat menyelamatkannya. 

Teknik penulisan yang digunakan dalam novel ini mudah dan ringkas. Tiada ayat yang terlalu berbunga-bunga. Jalan ceritanya mudah dihayati dan aliran ceritanya mantap.

Bintang: 8/10

Jika anda peminat genre seram dan misteri, saya rekomenkan buku ini kepada anda. Percayalah, anda tidak akan menyesal membacanya!

Sumber gambar: pelangibooks.com