Tuesday, 7 February 2017

Perjanjian: Bab 4


“Maaf, puan. Saya rasa anak puan tak akan dapat berjalan lagi.” Doktor Damian memberitahu. Lemah kedua-dua lutut Felicyta mendengar ayat doktor yang usianya lebih separuh abad itu. Doktor Damian kemudian menepuk-nepuk bahu Felicyta sebelum menambah, “Saya harap puan tabah.”
            
 Felicyta tidak berpuas hati dengan penjelasan ringkas doktor Damian.
             
“Saya tak faham, doktor. Anak saya tak terlibat dalam apa-apa kemalangan pun. Macam mana kakinya boleh tiba-tiba lumpuh?”
            
Paraplegia, kelumpuhan yang berlaku daripada paras pinggang ke bawah akibat kecederaan saraf tunjang atau keadaan kongenital. Dalam kes anak puan, ia terjadi disebabkan kecederaan pada saraf tunjangnya. Mungkin akibat kemalangan.”
             
“Tak mungkin, doktor! Tak mungkin! Anak saya tak terlibat dalam kemalangan pun. Kelmarin dia elok sahaja sewaktu pulang dari sekolah!” Felicyta menegaskan.
             
“Tapi puan, laporan daripada CT scan menunjukkan ada kecederaan pada saraf tulang belakang anak puan. Malah kecederaan itu juga kecederaan baru.”
             
“Tak mungkin!” Felicyta memegang kuat kedua-dua lengan doktor Damian. Matanya merenung sayu ke dalam mata doktor berambut putih itu. “Pasti keputusan CT scan tu silap! Anak saya…anak saya tak mungkin lumpuh…” Air mata Felicyta mulai bergenang. “Tolonglah, doktor. Dia satu-satunya harta yang saya miliki. Tolonglah anak saya doktor,” rayunya. Air matanya kini bercucuran. “To..tolong…”’
             
Doktor Damian menghela nafas. Dia bersimpati dengan nasib wanita itu dan juga anak lelakinya. Namun apakan dayanya. Laporan CT scan tidak mungkin silap.
             
“Beginilah, puan. Saya sarankan anak puan tinggal di hospital untuk satu malam lagi. Saya akan memantau keadaan anak puan dan meneliti rekod perubatannya sekali lagi. Mungkin kita akan menemui maklumat baru berkenaan keadaan anak puan.”
             
Mendengarkan cadangan doktor Damian, Felicyta hanya mampu mengangguk lemah.

*****
             
Patryk merenung kakinya. Beberapa hari yang lalu, dia masih boleh berlari pantas sewaktu kelas kesihatan fizikal. Namun sekarang, hendak berdiri pun dia tidak mampu. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku dengan tubuhnya. Kakinya yang sebelum ini bisa membawanya ke mana sahaja, sudah bertukar menjadi perhiasan. Tiada fungsi.
             
Patryk mengepal penumbuk, cuba menahan marah yang menebal di hati. Dia marah pada kakinya. Dia marah pada doktor yang memberitahu dia sudah lumpuh. Dia marah pada ibu tirinya yang tidak henti-henti mengatakan yang segala-galanya akan jadi baik, dan dia akan dapat berjalan semula. Paling penting, Patryk marah pada dirinya sendiri, dirinya yang kini lemah dan terpaksa bergantung pada orang lain.
             
Air mata Patryk mengalir. Dadanya rasa sebak. Esakannya semakin lama semakin kuat. Dalam sekelip mata, masa depannya yang sepatutnya cerah, bertukar gelap-gelita. Apa yang bisa dilakukannya lagi? Bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan pada hari-hari mendatang?
             
“Arghhh…” Patryk menumbuk-numbuk kakinya. “Kenapa kau langsung tak sakit?! Kaki bodoh! Kaki tak guna!” Kata-kata kesat dihambur.
             
“Arrggghhhh!!!!” Patryk menjerit sekuat hati. Wajahnya basah dengan air mata. “Argghh!!” Patryk menjerit lagi. “Pulangkan kaki aku! Pulangkan kaki aku! Pulangkan kaki aku!” ulang Patryk berkali-kali. Raungannya umpama muzik yang memenuhi bilik.
             
Di luar, Felicyta tersandar pada pintu bilik Patryk. Dia menekup mulut, cuba menahan tangisan. Hiba di hatinya tidak tertanggung lagi. Dia sudah kehilangan suami. Sekarang anaknya pula lumpuh. Berapa banyak lagi ujian yang harus dia tempuh untuk mendapatkan secebis rasa bahagia? Dia tidak sanggup melihat Patryk yang disayanginya bersedih. Dia mahu melihat anak itu sentiasa tersenyum gembira dan bahagia. Cuma itu harapannya.

*****
             
Agnieszka menyusun dua anak patung lelaki di atas meja. Anak-anak patung tersebut disusun bersebelahan satu sama lain. Matanya merenung tajam anak patung berambut warna emas dan bermata merah. Dia menghalakan tapak tangan kanannya di atas anak patung tersebut.
             
Mulutnya mula membaca mantera. “Gdy niebo krzyknął krew, nie ludzka przetrwa, słońce umiera, ciało zniszczone.
                 
Satu kepulan asap  berwarna biru keluar daripada tapak tangan Agnieszka. Kepulan asap itu meresap ke badan anak patung tadi. “Płaczą krwią, Euginiusz Gustaw Biernacki.” Sebaik sahaja ayat mentera tersebut dibaca, satu percikan api tiba-tiba muncul dari tubuh patung berambut emas lalu pantas menyambar tapak tangan Agnieszka. Akibat terperanjat, Agnieska terdorong ke belakang. Tapak tangan kanannya terbakar. “Ogień gaśnie, zimno wzrosty.” Satu mantera dibaca. Api di tangan perlahan-lahan menghilang. Tapak tangan yang terbakar kini diperhatikan. Terdapat satu bulatan serta beberapa bentuk segi tiga di dalamnya.
             
“Daniela.” Agnieszka memanggil.
             
Kepulan-kepulan asap warna biru muncul di belakang Agnieszka. Apabila kepulan-kepulan asap tersebut menghilang, satu susuk tubuh sudah berada di belakang gadis rambut emas itu.
             
“Daniela di sini,” ujar pemilik susuk tubuh tadi. Agnieszka berpusing menghadap Daniela. Gadis berambut ikal mayang warna coklat itu didekati.
             
“Biernacki tak guna tu dah ikat satu perjanjian dengan salah seorang ahli keluarga Patryk. Sebab itulah dia lumpuh. Dan perjanjian tu takkan dapat dileraikan kembali.” Agnieszka memberitahu. Dia menunjukkan tapak tangannya yang disambar api sebentar tadi kepada Daniela.
             
“Bukan Felicyta yang ikat perjanjian dengan Biernacki.” Daniela mengingatkan.
             
“Aku tahu…” ujar Agnieszka. Dia memandang tapak tangannya kembali.
             
“Apa rancangan cik seterusnya?” soal Daniela.
             
“Patryk takkan dapat ikat perjanjian dengan Biernacki sebab Biernacki takkan dapat ambil apa-apa daripada dia. Patryk dah tak ada sesiapa lagi yang penting dalam hidupnya. Dan disebabkan Patryk, Biernacki tak boleh ikat perjanjian dengan Felicyta,” ujar Agnieszka lalu berjalan melintasi Daniela. Agnieska mengambil salah satu lembing emas yang bersandar pada dinding batu granit bilik bawah tanah tersebut. Lembing emas itu diperhatikan dengan teliti.
             
“Felicyta pasti akan meminta pertolongan kita.” Agnieszka tersenyum.
             
Daniela memusing tubuh, memandang tuannya. “Tapi lumpuh pada kaki Patryk bukannya lumpuh akibat kemalangan. Sihir Biernacki terlalu kuat untuk diterbalikkan.”
             
“Ya, kita tak dapat terbalikkan apa-apa yang Biernacki dah lakukan. Tapi…” Agnieszka berpaling. “Kita boleh pindahkannya pada orang lain. Dan ambil benda lain daripada Felicyta sebagai ganjaran memindahkan sihir itu.”
             
Daniela diam. Dia hanya merenung ke dalam mata tuannya.
             
“Dia akan cari kita. Sebab dia sayangkan Patryk.”
             
“Cik pasti cik nak ambil apa-apa daripada dia? Wanita tu dah tak ada apa-apa untuk ditukar.” Daniela inginkan kepastian.
             
“Daniela, Daniela…” Gadis rambut emas itu merapati Daniela. “Kita tak lakukan sesuatu secara percuma. Kita kena ambil sesuatu daripada dia. Tak kisahlah apa-apa pun.”
             
“Ada apa-apa benda yang terlintas dalam fikiran cik?” Daniela menyoal, ingin tahu. Dia pasti tuannya sudah memikirkan apa yang mahu diambil daripada balu muda yang malang itu.
             
Bibir mungil Agnieszka mengukir senyum. “Kau perlu lihat sendiri untuk menyaksikan kesudahannya. Teehehehehehehe…..”

*****
             
“Patryk! Patryk! Bertahanlah Patryk!”
             
Dalam keadaan yang lemah, anak kecil itu membuka matanya perlahan-lahan. Wajah seorang gadis yang cukup dikenali serta-merta menerpa ruangan penglihatan.
             
“Kakak…” Patryk memanggil. Dia melihat dua orang yang tidak dikenali duduk di sebelah kanannya.
             
“Di mana ni?” soal Patryk. Lampu di tempat itu cukup menyilaukan pandangan.
             
“Ambulans. Jangan risau, Patryk. Kita dah dekat dengan hospital. Bertahanlah!” ujar gadis itu.
             
“Kakak Felicyta…” panggil Patryk. Dilihatnya pipi perempuan itu sudah basah dengan air mata. “Jangan menangis…” Patryk memujuk. Jari-jemari kecilnya diangkat ke atas, ingin mengesat air mata si gadis. “Maaf…” ucapnya.
             
Felicyta menggenggam erat tangan Patryk.
             
“Jangan risau, Patryk. Kita dah nak sampai.”
             
Patryk menarik nafas dengan payah. Sakit di tubuhnya sudah tidak tertanggung lagi. Pandangannya berpinar kembali.
             
“Patryk! Patryk!” Felicyta tidak putus-putus memanggil namanya.
             
Anak kecil itu akhirnya menutup mata. Jeritan Felicyta tidak lagi didengarinya.
                                                                         
*****
             
Patryk tersedar dari tidur.  Pantas sahaja cahaya lampu bilik menyinar ke dalam mata. Dia menggosok-gosok mata berulang kali sebelum menoleh ke kiri, melihat ke arah jarum jam yang tergantung di dinding bilik.
             
3.47 pagi.
             
Patryk mengeluh. Dia memusing kepala, memandang siling bilik. Mimpi aneh tadi benar-benar mengganggu tidurnya.
             
Benarkah perempuan yang dilihatnya tadi Felicyta? Ibu tiri yang cukup tidak disukainya itu? Mengapa Felicyta menangis? Dan mengapa dia seolah-olah melihat Felicyta daripada mata seorang budak?
             
“Arghhh...” Patryk memicit kepalanya yang tiba-tiba sahaja sakit. Sesekali dia mengerang.
             
Memori zaman kanak-kanaknya kembali satu-persatu di minda.
             
“Kakak, jom main!”
             
“Kakak, saya paling suka kakak!”
             
Suara-suara itu terngiang-ngiang di telinganya. Semakin lama, suara-suara itu semakin kuat hingga menyakitkan telinga. Segera dia menekup kedua-dua telinga dengan tangan. Gegendang telinga dirasakannya boleh sahaja pecah bila-bila masa akibat bunyi kuat tersebut.
             
“Patryk!”
             
“Patryk!”
             
“Patryk!!!”
             
Tidak tahan dengan suara yang semakin kuat di corong telinga, Patryk akhirnya pitam di atas katil.

*****
             
Jam sudah menghampiri pukul 12 malam namun Felicyta belum dapat melelapkan mata. Fikirannya terganggu apabila teringatkan keadaan Patryk yang tiba-tiba lumpuh dan juga gadis misteri yang ditemuinya minggu lepas. Agnieszka menawarkannya kasih sayang Patryk. Tapi kini Felicyta sudah tidak kisah dengan kasih sayang daripada anak tirinya. Tidak mengapa jika Patryk tidak mahu mengganggapnya sebagai ibu. Apa yang penting, Patryk dapat berjalan seperti sediakala. Senyuman gembira Patryk lebih bermakna daripada apa-apa yang dia miliki di dunia. Kebahagiaan Patryk juga adalah kebahagiaannya.
             
Felicyta mengiringkan badan lalu memejamkan mata. Beberapa saat kemudian, matanya celik semula. Matanya langsung tidak mahu tutup walaupun untuk seketika.
             
Merasakan yang dia hanya membuang masa dengan berbaring, balu muda itu bangun daripada tilam yang menjadi alas tidur. Dia bergerak ke arah pintu berpandukan cahaya bulan yang memancar dari tingkap. Dia mahu ke bilik Patryk untuk memastikan yang anak tirinya itu berada dalam keadaan yang baik.
             
Felicyta memusing tombol pintu dan menariknya. Namun, pintu bilik tidak dapat dibuka. Tangannya mencuba sekali lagi tetapi hasilnya tetap sama. Pintu tersebut seolah-olah sudah dikunci. Felicyta berasa pelik. Mungkinkah tombol pintu ini sudah rosak? Dia berteka-teki sendiri.
             
Felicyta meraba-raba dinding, cuba mencuri suis lampu. Suis lampu dipetik, namun lampu di siling tidak memancarkan sebarang cahaya. Dia mematikan dan menghidupkan suis sekali lagi. Masih juga tiada cahaya terpancar dari lampu. Akhirnya setelah hampir lima minit mencuba, dia berputus asa. Satu rengusan kencang dilepaskan. Mengapalah nasibnya begitu malang? Nampaknya esok pagi sahajalah dia uruskan hal tombol pintu dan lampu yang rosak itu.
             
Baru sahaja dia mahu bergerak ke tilamnya kembali, matanya menangkap satu kelibat yang berdiri di tepi tingkap. Felicyta tersentak seraya terundur ke belakang.        

“Tehehehe…kau takut ke?”
             
Felicyta cukup mengenali suara tersebut.
             
“Agnieszka?” Dia menyoal untuk lebih kepastian.
             
“Ya, Agnieszka.” Gadis rambut emas itu menjawab. Dia kemudian tersenyum.
             
“Kenapa kau datang ke sini?” soal Felicyta. Berkerut-kerut dahinya.
             
“Kau belum beritahu aku jawapan kau.” Agnieszka mengingatkan.
             
“Jawapan? Oh…” Felicyta terdiam. ‘Betul…aku belum beritahu dia sama ada aku menolak atau menerima tawaran dia hari tu… getusnya dalam hati. Felicyta menelan liur. Tawaran Agnieszka minggu lepas terasa tidak begitu penting lagi. Mungkinkah dia bisa meminta Agnieszka menyembuhkan kembali kaki Patryk?
             
“Aku…aku…tawaran tu…” Felicyta teragak-agak. Mahukah gadis misteri ini menerima sekiranya dia mempunyai hajat lain? Gadis ini bukannya manusia biasa. Mungkin juga dia ialah syaitan yang bakal membinasakan hidupnya suatu hari nanti.
             
“Kau ada hajat lain, bukan?” Agnieszka meneka.
             
“Kaki…kaki Patryk…Kakinya tak boleh bergerak lagi…” ujar Felicyta terketar-ketar. Dahinya berpeluh dingin.
             
“Kau nak aku sembuhkan kaki Patryk yang lumpuh?” Agnieszka menyoal. Memang tepat tekaannya sebelum ini.
            
Feliyta tidak menjawab. Dia hanya mengangguk-anggukkan kepala.
             
“Kau pasti? Kau cuma boleh buat satu permintaan sahaja, tahu?”
             
“Aku…aku pasti…”
             
“Kalau kau buat ni, kau takkan dapat rasa kasih sayang Patryk. Kau akan selamanya jadi ‘mak cik’ dia.”
             
Felicyta tertunduk, memikirkan kembali kata-kata Agnieszka.
             
Ya, dia akan selamanya digelar ‘mak cik’ oleh Patryk. Tapi, akan gembirakah dia bila melihat Patryk merenung ke luar tingkap dan melihat remaja seusianya berjalan ke sekolah sedangkan dia terlantar di atas kerusi roda? Gembirakah dia apabila melihat Patryk menyesali nasib sendiri?
             
Tidak.
             
Hatinya akan hancur. Begitu juga dengan Patryk. Daripada kedua-dua hati terluka, lebih baik biar dia sahaja yang menanggung segala-galanya.
             
Entah bagaimana Felicyta terasa bagaikan mendapat satu semangat baru. Dia mengangkat muka, memandang Agnieszka.
             
“Aku tahu. Aku tahu aku akan selamanya jadi ‘mak cik’ kepada Patryk. Tapi aku tak kisah. Patryk ialah kebahagiaan aku. Patryk ialah segala-galanya bagi aku. Dia dah selamatkan aku. Aku sayangkan dia…”
             
Agnieszka diam. Dia hanya merenung Felicyta yang kini sudah menangis teresak-esak. Muncul rasa simpati di hati.
             
“Cik pasti cik nak ambil apa-apa daripada dia? Wanita tu dah tak ada apa-apa untuk ditukar.”
             
Kata-kata Daniela berputar di ingatan.
             
Sihir Biernacki tidak dapat diterbalikkan. Kuasa Agnieszka tidak cukup kuat untuk meleraikan ikatan perjanjian Biernacki dengan salah seorang ahli keluarga Patryk. Apa yang dia boleh buat hanyalah memindahkan sumpahan pada kaki Patryk kepada orang lain, lebih tepat lagi, kepada Felicyta sendiri.
             
Kata-kata Daniela membuat hatinya sedikit terganggu.
             
“Aku akan ambil sesuatu daripada kau, sebagai ganti untuk kaki Patryk.”
             
Felicyta mengangguk faham. Ambillah apa-apa sahaja, asalkan kaki Patryk sembuh semula. Sekiranya kaki Patryk ditukar dengan nyawanya sekalipun, dia tidak kisah! Asalkan Patryk bahagia.
             
“Patryk begitu penting untuk kau?” Agnieszka menyoal. Dia tidak faham bagaimana seorang ibu tiri bisa menyayangi anak tirinya melebihi nyawanya sendiri.
             
“Ya. Dia seorang yang penting…”

8 tahun yang lalu… 
             
Felicyta memandang sungai yang berada di bawah jambatan. Air sungai mengalir dengan deras. Sesiapa yang jatuh pasti akan lemas dibawa arus. Felicyta menghela nafas. Tangannya memegang erat pada pagar jambatan. Dia sudah nekad dengan keputusannya. Daripada dia terus dihambat kecewa, biarlah dia mati sahaja. Ibu bapanya sudah meninggal dan teman lelakinya pula sudah berkahwin dengan gadis lain. Felicyta kini tinggal sebatang kara.
             
Felicyta mengangkat kaki, memanjat pagar di atas jambatan. Namun belum sempat kedua-dua kakinya berada di bahagian pagar yang menghadap ke sungai, seseorang terlebih dahulu memaut lengan Felicyta. Gadis itu terkejut seraya menoleh ke belakang.
             
Seorang budak lelaki rambut perang dan bermata biru memandang tepat ke arahnya.
             
“Kakak tak boleh bermain-main dekat dengan pagar. Nanti kakak jatuh,” ujar budak lelaki itu dalam nada yang risau.
             
Felicyta terpinga-pinga.
             
“Turunlah cepat. Kalau kakak nak main juga, kita boleh main di taman permainan,” ujar budak itu lagi.
             
Wajah comel itu ditatap seketika. Segaris senyuman hambar terbit di bibir Felicyta. Mungkin juga ibu bapanya yang sudah berada di syurga mengirimkan kepadanya budak lelaki ini agar percubaannya untuk membunuh diri tidak berjaya.
             
“Maaflah ya, dik. Kakak turun sekarang.”
             
Budak lelaki itu tersenyum.
             
Felicyta turun daripada jambatan dan kini membongkok menghadap budak lelaki tadi.
             
“Nama adik siapa?”
             
“Patryk. Nama kakak?”
             
“Felicyta.”
             
Patryk menghulurkan tangan tanda persahabatan. “Felicyta ya? Selamat berkenalan, kakak Felicyta.”
             
Felicyta menyambut huluran tangan Patryk. Dia mengukir senyum. “Selamat berkenalan, Patryk.”

No comments:

Post a Comment