Thursday, 11 December 2014

Masa Lapang Saya



Seringkali kita dengar ayat yang mengatakan 'Isi masa lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah'. Tapi saya sendiri tidak pasti sama ada perkara yang saya lakukan pada masa lapang berfaedah atau tidak. Bagi saya, definisi 'berfaedah' itu berbeza pada setiap orang dan asalkan ia tidak memudaratkan sesiapa, sesuatu aktiviti itu boleh tergolong dalam perkara berfaedah. Contohnya, jika seseorang itu bekerja keras setiap hari dan mahu mengisi masa lapangnya dengan membaca komik atau tidur, biarkan dia lakukannya. Kerana kedua-dua perkara tersebut tidak memudaratkan dia. Membaca komik berfaedah? Ya, sudah tentu berfaedah untuk dia sebagai satu cara untuk menghilangkan tekanan selepas bekerja keras setiap hari. Begitu juga dengan tidur. Tapi bagaimana pula jika seseorang yang malas belajar dan malas bekerja menghabiskan masa lapangnya dengan membaca komik? Adakah membaca komik itu berfaedah? Tidak. Ia langsung tidak berfaedah. Di sini anda dapat lihat yang membaca komik pada masa lapang memudaratkan dia. Ia membuatkan dia malas, tidak mahu belajar, dan juga tidak mahu bekerja.

Saya rasa jika anda membaca entri-entri saya sebelum ini anda tahu apa yang saya lakukan pada masa lapang saya. (tersengih)

Ya, saya menghabiskan masa lapang saya dengan membaca buku.

Dalam sehari, paling kurang pun saya akan membaca buku selama satu jam. Sebagai peringatan, bila saya kata buku, saya maksudkan novel Melayu dan Inggeris. Bukannya buku Software Engineering atau Java atau C++. Sila jangan salah sangka.

Sejak kecil lagi saya suka membaca. Waktu itu, buku kegemaran saya ialah siri 7 Penyiasat. Saya sudah tidak ingat nama semua watak di dalam buku itu tapi dalam itu ada watak-watak yang bernama Rama, Alice, Balan, dan seterusnya saya tidak ingat. Hm...jika saya tidak silap anjing mereka dinamakan Bobo. Selain itu, saya juga suka membaca buku cerita kisah dongeng seperti Puteri Beradu (Sleeping Beauty), Puteri Salji (Snow White), Putera Swan Putih, Anak Itik Yang Hodoh dan banyak lagi cerita 'puteri'.

Semasa saya tinggal di Beaufort, Sabah, pejabat ayah saya terletak di dalam bangunan yang juga menempatkan perpustakaan awam. Jadi, saya selalu menghabiskan masa membaca buku di perpustakaan. Polisi perpustakaan cuma membenarkan satu nama pinjam 4 buah buku sahaja. Jadi, saya membuat kad perpustakaan dengan nama saya, ayah saya, ibu saya, dan adik lelaki saya supaya saya boleh pinjam 16 buah buku sekaligus. Maksudnya, saya menggunakan kad perpustakaan dengan nama mereka untuk meminjam buku. 

Bunyinya mungkin agak aneh, tapi selain daripada membaca novel dan buku cerita 'puteri', saya suka membaca ensiklopedia. Ada satu siri ensiklopedia yang saya selalu baca ketika di sekolah rendah. Saya sudah tidak ingat apa namanya tapi di dalam ensiklopedia itu disertakan banyak maklumat mengenai ahli sains dan pereka cipta seperti Thomas Edison, Henry Ford, dan banyak lagi.

Bila masuk bab novel cinta pula, novel cinta Melayu pertama yang saya baca ialah Janji Diana, adaptasi daripada filem Janji Diana. Saya masih lagi memiliki naskhah novel itu hingga sekarang. Sudah 10 tahun ia diletakkan di rak buku saya. Sewaktu di tingkatan 3, rakan baik saya memperkenalkan saya pada novel Adam & Hawa dan sejak itu saya mula membaca novel cinta. Kemudian semasa saya di tingkatan 5, saya membeli novel bertajuk Mikhail oleh Ramlee Awang Murshid. Selera saya pada novel berubah serta-merta (atau anda boleh katakan kembali ke selera lama kerana semasa di sekolah rendah saya suka baca novel penyiasatan). Sekarang, saya memiliki 11 novel karya beliau.

Ketika tahun pertama di universiti, saya tertarik dengan satu novel bertajuk Hereafter tulisan Tara Hudson. Sebaik sahaja habis membaca novel tersebut, saya terfikir untuk membaca lebih banyak lagi novel-novel Inggeris. Eksperimen membaca dan meneroka novel Inggeris menemukan saya pada novel-novel Young Adult (YA), di mana hingga hari ini, masih lagi menjadi genre kegemaran saya.

Okey, membaca hanyalah salah satu daripada beberapa aktiviti yang saya lakukan pada masa lapang.

Aktiviti kedua yang saya gemari ialah menulis, yang mana anda dapat lihat melalui entri-entri blog saya. 

Saya mula menulis cerita sejak berusia 10 tahun. Subjek kegemaran saya semasa di sekolah rendah ialah Penulisan. Saya suka menulis karangan. Saya juga suka apabila mendapat latihan membina ayat.

Contohnya: Bina satu ayat dengan perkataan 'televisyen'

Pada waktu itu, saya akan menulis ayat tersebut seperti ini:

Takao suka menghabiskan masa terluangnya dengan menonton televisyen.

Siapa Takao?

Takao ialah watak dalam siri anime Beyblade.

Ya, saya suka menulis ayat sebab dengan itu saya boleh menamakan karakter dalam ayat tersebut dengan nama karakter anime kegemaran saya. Oh ya, harus saya jelaskan di sini yang Takao bukan watak kegemaran saya daripada Beyblade. Watak kegemaran saya ialah Yuri Ivanov daripada pasukan Demolition Boys.

Yuri Ivanov
Oh, gambar di atas ini betul-betul mengembalikan kenangan sekolah rendah saya yang awesome.

Waktu saya darjah enam, saya menulis cerita berdasarkan siri Beyblade bersama kawan saya yang tua 2 tahun daripada saya. Kami akan bertukar-tukar cerita. Contohnya pada malam ini giliran saya untuk menulis cerita dan malam esok dia akan menyambung cerita yang saya tulis dan begitulah seterusnya. Saya sentiasa teruja untuk membaca bahagian yang ditulisnya. Pada waktu itu saya langsung tidak menyedari yang kami berdua sedang menulis fanfiction.

Berbalik kepada menulis, semasa tingkatan satu, saya menulis 2 buah cerita panjang di mana watak-watak dalam cerita itu saya ambil daripada anime The Prince of Tennis. Watak utamanya pula sudah tentu ialah watak ciptaan saya sendiri.

Kemudian semasa di tingkatan 3, saya memutuskan yang saya sudah terlalu tua bosan untuk menulis fanfic. Jadi saya mula menulis cerita saya sendiri. Cerita panjang pertama yang saya tulis bertajuk Bukan Sekadar Memori. Bahagian I cerita itu sudah siap namun Bahagian II belum lagi siap hingga sekarang (7 tahun berlalu dan ia masih tidak siap-siap lagi).

Sehingga hari ini saya masih lagi menulis cerita. Saya turut memuatnaik cerita yang saya tulis ke Fiction Press. Jika anda ada bakat dalam mencari maklumat seperti saya, anda akan menjumpai akaun saya dengan mudah. :p

Selain membaca dan menulis, saya juga suka melukis. Melukis yang saya maksudkan ialah melukis watak-watak anime. Jika dikira, watak anime yang paling banyak saya lukis ialah Kisarazu Ryou daripada The Prince of Tennis.

Kisarazu Ryou
Sudah lama membaca, menulis, dan melukis menjadi 3 aktiviti kegemaran saya untuk menghabiskan masa lapang.

Tahun ini, saya ada tambahan baru untuk aktiviti masa lapang saya.

Sejak bulan April tahun ini, saya mula menggemari berita tentang foreign fighters dalam perang di Syria. Semuanya bermula dengan berita tentang kesyahidan Abu Huraira Kazakh. Anda boleh membaca entri saya mengenai syuhada ini di sini. Melalui berita itu, saya mengenali kumpulan Jaish al-Muhajireen wal-Ansar (JMA). Saya membaca dan mencari lebih banyak maklumat tentang mereka. 

Abu Huraira Kazakh, mujahid muda asal Kazakhstan daripada JMA yang menggemparkan/memukau sebahagian warga Malaysia dan Indonesia (dan juga segelintir warga China) dengan ketampanannya. Sehingga sekarang nama sebenar mujahid ini masih belum diketahui. Media Kazakhstan tidak ada melaporkan berita tentang mujahid ini begitu juga dengan pengguna laman sosial VK dari Kazakhstan.
Bermula daripada kumpulan JMA, saya mengenali lebih banyak kumpulan; Junud Ash-Sham, Seyfullakh Jamaat, Islamic State, Jamaat Khalifat, Jabhat al-Nusra, Ansar al-Sham, Ahrar ash-Sham, dan lain-lain lagi. 

Dari kiri: Sharpudin Ilyasov (Abu Hamza) dan Aslan Almazov (Abu Bakar). Kedua-dua mereka terkorban di Latakia tahun ini. Mereka berdua berjuang dengan kumpulan Jamaat Khalifat yang beroperasi di Latakia. Rusia menyenaraikan nama Aslan Almazov sebagai individu yang terlibat dalam keganasan (maksudnya jika dia pulang ke Rusia dia akan ditangkap) kerana pergi ke Syria dan berjuang bersama kumpulan yang menentang Presiden Bashar al-Assad. Terima kasih pada senarai yang dikeluarkan Rusia itu, saya sudah pun mendapat banyak maklumat mengenai Aslan Almazov termasuk tarikh lahir, tempat lahir, nombor pasport, dan alamat rumahnya di Grozny, Republik Chechnya. Saya ada menulis entri tentang mujahid ini juga. Anda boleh baca di sini. Sharpudin Ilyasov pula ialah seorang ahli gusti yang sedang meningkat naik dan berasal dari Republik Chechnya. Boleh baca info di sini (Rusia).
Minat saya lebih banyak tertumpu pada kumpulan Russian-speaking foreign fighters. Jangan salah faham, bila saya kata minat, saya tidak bermaksud mahu pergi ke Syria dan jadi sebahagian daripada mereka. Saya cuma mahu mengikuti perkembangan mereka. 

Ada seorang wartawan yang saya ikuti di twitter. Dia memang pakar dalam mengikuti berita dan menganalisis Russian-speaking jihadist di Syria. Namanya Joanna Paraszczuk. Anda boleh menemui twitter miliknya di sini : Joaska .

Saya juga gemar menyelongkar laman sosial VK yang popular dalam kalangan penutur bahasa Rusia. Dan, berjaya menjumpai banyak akaun milik mujahid dari Rusia yang mana saya baca apa yang ditulis mereka dari semasa ke semasa untuk mencari maklumat menarik. 

Oh ya, ada seorang anggota Islamic State ditutup akaunnya padaa 9 Disember 2014 kerana melanggar ToS. Dia kemudian membuat akaun baru dan saya berjaya menemui akaun baru tersebut kerana saya ada bakat semula jadi dalam stalking dan mencari maklumat orang. Di akaun barunya, dia menulis entri ini "прежнюю страницу удалили в подарок, прямо в день рождения" yang bermaksud "akaun sebelum ini telah dipadam sebagai hadiah, tepat pada hari jadi saya." Itu ialah sebahagian daripada entri yang dia tulis. Entri penuh tidak akan saya siarkan atas sebab-sebab tertentu.

Baiklah, terima kasih banyak-banyak kerana membaca. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

-Farhanah Atiqah

Sumber gambar: http://myanimelist.net/character/5875/Ryou_Kisarazu, screenshot anime Beyblade, http://www.akhbarsham.info/2014/03/28/material_33/, dan Kavkaz Soldier.

No comments:

Post a Comment