Friday, 31 October 2014

Klise Dalam Novel Cinta Melayu

Aspek yang saya amat saya titikberatkan sebelum mengambil keputusan untuk membeli sesuatu novel itu ialah klise.

Apa itu klise?

Klise ialah suatu idea yang berulang-ulang sehingga makna dan kewujudan idea itu sendiri semakin pudar hingga menimbulkan rasa bosan orang yang kerap disajikan dengan idea seperti itu.

Apa yang saya maksudkan dengan klise di dalam novel?

Bagi saya, klise ialah apabila jalan cerita di dalam novel itu hampir sama atau sama dengan lambakan novel yang berada di pasaran sekarang. Satu trend yang saya  perhatikan dalam industri percetakan novel di Malaysia masa kini ialah pembawaan jalan cerita cinta yang serupa tanpa ada variasi yang jelas. Trend sebegini semakin ketara kebelakangan ini, terutama setelah banyak novel cinta dengan jalan cerita seperti ini diadaptasi menjadi drama bersiri. Jalan cerita kebanyakan novel-novel cinta yang saya katakan klise ini ada persamaan yang cukup ketara; kahwin paksa, kahwin muda, kahwin kontrak, dan banyak lagi 'kahwin'. Terus-terang saya katakan yang saya jarang membaca novel berunsurkan 'kahwin' ini. Ini kerana, saya tidak dapat menghadam cerita seperti ini. Bagi saya, cerita 'kahwin' ini tidak perlu saya baca untuk tahu jalan cerita terutama penamatnya. 

Seperti biasa, kebanyakannya bermula seperti turutan ini: gadis dan jejaka pertama kali berjumpa dan bergaduh atas hal yang remeh-temeh<->tanpa pengetahuan mereka berdua, keluarga mereka berdua ingin mengahwinkan mereke<->mereka kahwin, namun setiap hari ada sahaja adegan sindir-menyindir yang mula membibitkan rasa cinta<->kemudian mereka berdua betul-betul jatuh cinta<->selepas itu entah dari mana, muncul pula watak ketiga, dan lebih membosankan lagi, watak keempat yang ingin mendapatkan cinta si jejaka dan si gadis yang sudah menjadi suami isteri ini<->konflik melanda<->terlalu banyak konflik melanda lagi<->si isteri yang kecewa membawa diri jauh daripada suami (jika isteri kaya, kemungkinan dia membawa diri ke luar negara)<->perkara yang sebenar terbongar dan ternyata si isteri menjadi bahan fitnahan si watak ketiga (atau keempat yang muncul tadi)<->si suami kemudian menyesali kesilapannya<->si suami mencari si isteri di tempat dia membawa diri<->si suami beusaha memujuk si isteri<->mereka berbaik. Dan mereka pun hidup bahagia selama-lamanya. Err...ada lagi. Penamatnya biasanya diselitkan dengan cerita si isteri yang hamil anak mereka. Atau jika penulis terlebih rajin, dia akan memberitahu pembaca berapa banyak anak yang si suami dan si isteri ini dapat.

Jadi, pernah baca cerita seperti ini tak?

Apa pendapat anda dengan cerita seperti ini?

Jika cerita seperti ini ialah yang pertama anda baca, syabas! Kerana anda baru sahaja masuk ke dalam dunia percintaan novel-novel Malaysia.

Sebelum anda melangkah lebih jauh lagi untuk membaca novel cinta yang lain, saya nasihatkan anda buat satu kesimpulan atau ringkasan untuk novel yang telah anda baca. Kemudian baca novel kedua anda. Selepas itu tulis lagi ringkasan daripada novel kedua tersebut. Jika novel pertama dan kedua yang anda baca itu ialah novel cinta bahasa Melayu, saya pasti anda dapat melihat seakan suatu corak cerita yang sama atau hampir sama di situ.

Kadangkala saya turut hairan dengan segelintir penulis novel cinta di Malaysia. Gaya penulisan dan ayat mereka di dalam novel diolah dengan baik dan kemas. Gambaran suasana, latar belakang, dan keperibadian watak ditulis dengan terperinci sehingga kita merasakan yang seolah-olah kita berada di dalam novel itu, hidup sebagai watak utama di dalam novel. Namun mengapa mereka seolah-olah sudah kehabisan idea untuk menulis? Atau adakah mereka terlalu malas untuk memikirkan idea-idea baru sehingga menceduk dan mengulangi sahaja idea-idea lama? Bagaimana pula dengan pembaca yang membaca novel-novel dengan jalan cerita seperti ini? Tidakkah mereka berasa bosan? Atau adakah kesetiaan mereka pada seseorang penulis itu membuatkan mereka menerima sahaja apa-apa cerita yang ditulis oleh penulis tersebut, walaupun cerita itu tidaklah menarik mana pun.

Sebagai seorang pembaca, saya sentiasa mengingatkan diri saya agar tidak terlalu fanatik dengan penulis kegemaran saya. Sebagai contoh, saya cukup meminati siri novel Harry Potter karya JK Rowling. Saya turut mengikuti berita terkini mengenai beliau. Tapi saya tidak pula kisah untuk membaca novel-novel beliau yang lain (contohnya The Casual Vacancy) kerana sebaik sahaja membaca sinopsis novel-novel beliau yang lain, saya tahu genre novel-novel itu bukan genre kegemaran saya.

Saya faham perasaan sesetengah peminat yang mahu menyokong usaha dan karya penulis yang mereka minati. Tapi adakah pembaca-pembaca sekalian tahu yang kesetiaan anda kepada seseorang penulis (yang menulis novel dengan jalan cerita yang sama berulang-ulang) akan menghancurkan kreativiti seseorang penulis itu? Dorongan anda menyebabkan penulis menulis lebih banyak lagi cerita seperti yang saya katakan di atas, kerana memikirkan yang anda meminati jalan cerita yang klise itu. Anda pula, tidak mahu menghampakan penulis kegemaran anda, terus-terusan membeli novel-novel mereka walaupun anda sendiri sebenarnya sudah agak bosan dengan klise yang tidak berkesudahan ini. Penulis yang anda sokong pula, tidak mahu kehilangan sokongan daripada anda, terus-terusan menulis novel cinta dengan klise yang kita semua sudah maklum. 

Baiklah, perenggan di atas saya tujukan kepada segelintir penulis yang sudah agak lama berkecimpung dalam bidang penulisan. Bagaimana pula dengan penulis-penulis novel cinta yang baru sahaja hendak naik? 

Keadaan mereka bergantung kepada arus semasa. Jika novel cinta yang melibatkan kahwin paksa, kahwin kontrak, kahwin muda merupakan trend pasaran novel sekarang, itulah jalan cerita yang akan mereka tulis di dalam novel. Entah kenapa saya rasa perkara seperti ini amat menyedihkan. 

Sebagai manusia, kita memiliki impian untuk dikenali dan menjadi perhatian ramai. Begitu juga dengan penulis. Mereka akan rasa gembira jika karya tulisan mereka dipuji. (Dan saya pula, sebagai seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Perisian, berasa amat gembira setiap kali pensyarah memuji program/website yang saya dan kawan-kawan buat.) Sebab itulah saya mengerti perasaan penulis-penulis genre cinta baru yang kalau boleh, ingin mengurangkan kritikan orang ke atas karya tulisan mereka. Mereka menulis mengikut kehendak arus. Mereka takut untuk melawan arus. Takut karya mereka tidak diterima. Takut tak ada orang mahu membeli novel mereka. Mereka tidak mahu usaha menulis mereka menjadi sia-sia. Jadi, apa yang mereka lakukan?

Anda tahu jawapannya, bukan?

-Farhanah Atiqah

3 comments:

  1. Kritikan yg sngt bagus utk penambahbaikan novel Melayu.

    ReplyDelete
  2. try baca novel dari penulis Maria Kajiwa.

    ReplyDelete